Pusing-pusing, berjumpa juga nanti - Zarul Umbrella - Utusan Malaysia

Pusing-pusing, berjumpa juga nanti – Zarul Umbrella

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Hampir 27 tahun berada dalam industri seni hiburan, vokalis kumpulan Umbrella, Zarul Husin, 47, mendedahkan dia tidak pernah bergaduh atau mencari hal dengan mana-mana rakan artis lain.

Menurut Zarul, satu daripada caranya untuk mengelak perkara seperti itu berlaku adalah dengan mempraktikkan pergaulan yang terbatas antara sesama teman industri.

“Saya memang jenis yang tak pernah gaduh dan tak suka gaduh. Kalau nak tahu, saya ini tak ada sangat kawan-kawan yang rapat dalam industri seni. Saya bersederhana dalam berkawan dan kalau ada pun cuma dalam gelembung kelompok terdekat saja.

“Contoh, kawan-kawan kru kabin penerbangan, pengikut di media sosial, pihak media, rakan-rakan kru di set penggambaran. Kalau kawan artis yang saya rapat, memang tak ada.

“Memang dari dulu saya macam itu. Dulu masa bekerja sebagai pramugara pun saya cuma rapat dengan teman serumah sahaja. Tapi selepas masing-masing berkahwin, buat hal sendiri lah dan cuma berhubung bertanya khabar sesekali,”katanya.

Zarul berkata demikian ketika ditemui dalam sidang media bagi mempromosikan single terbaru berjudul Sepenuh Hati ciptaan Ajai dan liriknya ditulis oleh Iman Imran.

Selain itu, kata Zarul, dia sedar mengenai perkara yang berlaku dalam industri baru-baru ini apabila ada antara kenalan artis yang terpalit dengan isu tidak sefahaman dan bergaduh di media sosial sehingga melarat kepada isu saman-menyaman.

Bagaimanapun, Zarul meletakkan kepercayaan bahawa sesebuah isu atau perkara itu pasti ada jalan penyelesaian terbaik memandangkan industri seni tanah air tempatan tidaklah sebesar mana.

“Makna kata, pusing-pusing nanti akan berjumpa juga sebab industri kita ini kecil. Saya perhatikan juga kejadian-kejadian seperti ini dan akui kesal bila wujudnya persengketaan.

“Pada saya sebagai orang lama, mana-mana artis yang terlibat dengan isu begini, tak payahlah bergaduh. Kita hidup pun tak lama. Esok lusa kita pun tak tahu masih ada lagi atau tidak.

“Lebih baik kita saling bermaafan. Saya sendiri pun pernah saja terkecil hati dengan pihak produksi misalnya, tapi buat apa nak layan sangat perasaan itu. Ambil masa tenangkan diri dan relaks dulu,”katanya.

Dalam pada itu, berkongsi mengenai penghasilan single Sepenuh Hati, kata Zarul dia amat berbesar hati akhirnya berpeluang untuk mendapatkan sentuhan Ajai dalam karya nyanyiannya.

Katanya, sejak dari awal penglibatannya dalam dunia seni, berkali-kali usaha untuk menjalin kerjasama dengan Ajai seakan tertangguh dna tidak kesampaian.

“Apabila Ajai sendiri kata dia ada lagu untuk saya, tentulah rasa terkejut dan teruja.Akhirnya peluang ini datang juga. Maklumlah, dia antara komposer tanah air yang sudah menang anugerah besar. Siapa yang tak nak kerjasama dengan dia betul tak?

“Saya rasa bertuah kerana selain Ajai, Iman Imran sebagai penulis lirik lagu ini juga adalah perangkul Anugerah Juara Lagu ke-31. Saya tak ada harapan yang tinggi kepada lagu ini selain ikhlas dalam menyampaikannya.

“Cuma, jikalau lagu ini berupaya mendapat tempat di hati peminat dan mara pula ke peringkat anugerah dan sebagainya,sudah tentu saya pun gembira menerimanya,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya