Satu demi satu kontroversi yang menerpa membuatkan namanya menjadi perhatian ramai ketika ini. Namun dalam masa sama, ada yang melihat ini sekadar rancangan empunya diri. Hanya tersenyum menjawab soalan yang diberikan, bagi anak seni kelahiran Palembang, Indonesia ini, tidak pernah terlintas dalam fikirannya untuk menjadi semudah itu. Mengakui kekhilafan dirinya dalam membuat keputusan, namun jelas Tya Ariffin, bukan gimik murahan yang diperlukan untuk melariskan diri.
“Untuk kejadian yang melibatkan adik baru kami, Muhammad Afwa, saya sudah jelaskan bersama suami sebelum ini yang ia berlaku tanpa kami berfikir panjang. Memang ada kesilapan yang kami lakukan apabila mendahului pihak Mak Iti sendiri menyiarkan gambar anak keduanya. Namun apa yang berlaku sebenarnya saya dan suami bukan mencari perhatian atau apa, ia lebih kepada berkongsi perasaan teruja.
“Kalau ikutkan memang saya seorang yang suka berkongsi momen penting. Pada saat itu tiada niat lain, memang saya seronok sangat menyambut orang baharu dalam keluarga kami. Alhamdulillah semuanya sudah diselesaikan dengan baik malah keluarga kami juga faham tiada masalah sebenarnya.
“Mengenai kontroversi kedua yang melibatkan ibu Fauziah Nawi pula, tujuan saya memuat naik dalam laman sosial adalah untuk menjelaskan keadaan sebenar. Tiada niat untuk tular, sebab kita tidak mahu ada perkara berbangkit pada kemudian hari,”katanya kepada Pancaindera.
Tidak menyimpan dendam terhadap warganet yang dilihat sengaja mencetuskan keadaan ini sehingga memberi kesan kepada namanya, balas Tya atau nama sebenarnya, Nurtria Wulandari Arifin, dia tidak pernah melihat golongan ini sebagai musuh.
Malah kata Tya, dengan kehadiran mereka yang akan menilai setiap perbuatannya sedikit sebanyak membantu dirinya daripada terus melakukan kesalahan.
“Saya tidak marah mereka yang mengecam mahu pun meninggalkan komen amarah. Bagi saya semua orang ada hak. Saya juga mengakui kesilapan sendiri. Seperti yang dilakukan sebelum ini, saya sekali lagi meminta maaf.
“Cuma dakwaan saya mahukan melariskan nama mahupun produk Mutyara melalui dua kejadian ini tidak betul. Saya sudah bermula dengan produk ini sejak tiga tahun lalu. Mengapa sekarang saya perlukan jenama saya tular? Ini bukan strategi perniagaan yang saya perlukan, sebab Mutyara sudah ada kedudukan tersendiri dalam kalangan pengguna,”jelasnya.
Melihat apa yang berlaku sebagai satu ujian buat dirinya, kongsi isteri kepada Asyraf Khalid ini juga dia sentiasa mahu dilihat sebagai seorang wanita yang positif.
“Bila berhadapan perkara ini, satu sahaja saya fikir. Ini adalah dugaan yang perlu saya terima dengan reda. Sebab sebagai seorang hamba kita akan sentiasa diuji, tentunya di sebalik apa yang berlaku akan ada perkara lebih baik. Saya sentiasa berpegang kepada perkara itu.
“Jadi tidak timbul saya tertekan dengan apa berlaku. Sebab dalam keadaan ini juga keluarga adalah mereka yang lebih tahu apa yang berlaku. Selagi mereka faham apa yang terjadi itu lebih penting,” jelasnya.
Jaga nama sendiri dan keluarga
Berkahwin dengan suaminya, Asyraf yang juga anak tiri Datuk Seri Siti Nurhaliza, Tya yang sebelum ini terkenal sebagai pelakon di Indonesia sedar akan tanggungjawab yang dibawa untuk berada dalam keluarga popular ini. Menolak ada kekangan untuk menjadi diri sendiri, jelasnya tiada apa yang sukar untuk bergelar menantu kepada penyanyi nombor satu negara itu.
“Tiada apa yang sukar, cuma kita perlu tahu akan tanggungjawab yang digalas apabila menjadi perhatian. Sebagai seorang public figure kita kena jelas apa sahaja perbuatan kita akan menjadi tontonan. Jadi perlu lebih matang dalam membuat keputusan.
“Bukan soal berada dalam keluarga ini sahaja, saya sendiri sebenarnya sangat menjaga setiap kelakuan. Dalam masa sama bukan sahaja untuk menjaga nama keluarga tetapi diri sendiri sebagai seorang isteri dan ibu,”kata ibu kepada dua cahaya mata, Arif Jiwa,4, dan Azzahra Jiwa,2.
Terus berkongsi mengenai keluarga, kali ini ada yang sebak untuk memberitahu tahun keduanya berjauhan dengan keluarga ketika menyambut Ramadan dan Aidilfitri. Melihat pandemik yang melanda dunia ini menjadi dugaan paling sukar buat dirinya, namun Tya, tetap bersyukur untuk mengetahui keluarganya di Indonesia berada dalam keadaan selamat.
“Selalunya setiap dua bulan atau satu bulan saya akan ambil kesempatan pulang ke kampung, kadang-kadang keluarga saya yang akan ke sini melawat saya. Tetapi ini sudah hampir dua tahun kami tidak dapat berkumpul seisi keluarga. Perasaan itu memang sukar mahu digambarkan tambah-tambah dalam musim perayaan ini.
“Namun saya tetap bersyukur keluarga saya di Palembang berada dalam keadaan baik. Itu lebih penting. Jika pandemik ini sudah berakhir memang saya akan ambil peluang pulang dan tinggal lebih lama di sana,”katanya bersungguh.
Darah seni sudah sebati
Memilih untuk berhijrah ke Malaysia ketika namanya mekar sebagai seorang selebriti di Indonesia adalah satu keputusan besar untuk Tya sendiri. Namun melihat itu sebagai satu pengorbanan yang perlu dilakukan, kongsinya tiada sekelumit rasa menyesal untuk diragui sehingga kini. Mengakui bahagia bergelar seorang ahli perniagaan, bukan bermakna dia perlu melupakan status seorang anak seni.
“Sebetulnya darah seni itu tidak akan pernah terhapus dalam diri saya. Akan sentiasa ada di situ sebenarnya. Memang fokus utama saya kini adalah perniagaan. Namun dalam masa sama saya cuba seiringkan seni dan perniagaan. Sebab itu saya cuba berlakon dalam iklan produk sendiri selain mengeluarkan single khas untuk jenama ini.
“Ikutkan memang ada tawaran lakonan bukan sahaja dari Malaysia malah Indonesia sendiri. Namun saya terpaksa jelaskan perniagaan memang memerlukan perhatian lebih dan meletakkan terlalu banyak fokus dalam suatu masa memang saya tidak mampu lakukan. Jadi saya fikir tidak mengapalah, memilih perniagaan dahulu,” akhirinya.










