“Tinggalkan Malaysia, demi anak-anak” – Nourul Wahab - Utusan Malaysia

“Tinggalkan Malaysia, demi anak-anak” – Nourul Wahab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEMILIH untuk memulakan kehidupan baharu di negara lain, ketika ini ada yang bertanya sebab sebenar penyanyi ini meninggalkan Malaysia.

Menjawab persoalan yang diberikan, Nourul Wahab Depp menolak dakwaan merajuk sebagai punca dia kini dalam persiapan berhijrah. Masih berbangga dengan status sebagai rakyat Malaysia, namun ini adalah pengorbanan yang perlu dilakukan dirinya demi anak-anaknya.

Khabarnya akan berhijrah ke luar negara, kenapa tinggalkan Malaysia?
Ikut perancangan saya dan keluarga akan berpindah ke luar negara pada Julai nanti. Sekarang dalam tempoh membuat persiapan. Bukan sahaja fizikal malah mental. Bukan apa kita mahu meneruskan kehidupan di tempat baharu pasti banyak yang perlu disediakan. Cuma penghijrahan saya ke negara lain ini bukan sebab merajuk atau apa. Malaysia tetap negara saya, cuma kali ini saya terpaksa berkorban demi anak-anak. Sebetulnya suami memang mahu anak-anak kami meneruskan pengajian di negara tersebut. Di situ terdapatnya sekolah yang dimaksudkan.

Pindah negara sebab sekolah, apa istimewanya sekolah tersebut?
Manusia mempunyai impian sama juga saya dan suami. Sebetulnya suami sendiri memang sudah lama membuat perancangan ini. Sejak kami mula berkahwin lagi saya sudah tahu akan pilihan untuk berhijrah suatu hari nanti demi pelajaran anak-anak. Jujurnya tidak ada masalah pun dengan sistem pendidikan di Malaysia.
Cuma di sekolah tersebut ada silibus yang kami lihat sesuai dengan perkembangan tiga anak kami. Ikutkan dari tahun lepas lagi saya sudah berpindah namun disebabkan pandemik jadi kami tangguh ke tahun ini. Sebab anak-anak saya akan memasuki sekolah tersebut pada Ogos depan jadi kami akan berpindah Julai nanti.
Buat masa ini rumah dan kemudahan di sana semua sudah diselesaikan, tinggal terbang sahaja.

Berapa lama akan berada di sana, tidak rindu Malaysia ke?
Kalau ikut perkiraan mungkin 12 tahun. Sehingga anak-anak kami selesai bersekolah. Negara yang kami akan tinggal ini tidaklah jauh mana. Masih dalam Asia Tenggara, dan penerbangan tidak kurang lima jam pun. Malah saya memang akan pulang setiap bulan ke Malaysia. Sebabnya masih banyak tanggungjawab saya di sini. Termasuk anak sulung saya Ayu juga masih akan tinggal di sini. Jujur memikirkan untuk memulakan kehidupan baru di negara lain takut juga rasa. Namun saya mahu fikir positif sahaja.

Berhijrah dalam tempoh pandemik, tidak takut dituduh golongan kayangan?
Jangan lah pukul sama rata semua orang. Sebagai selebriti tiada keistimewaan pun, saya juga masih melalui prosedur yang sama. Soal berhijrah ini kami melalui proses yang ketat juga memohon visa dan sebagainya. Ini bukan soal untuk kepentingan diri, memang tujuan saya berhijrah adalah demi keluarga. Malah perancangan ini bukan datang sehari dua, sudah bertahun-tahun. Cuma buat masa ini memang saya tidak mahu dedahkan lokasi negara yang akan kami tinggal. Sebab tidak mahu timbulkan apa-apa isu pula.

Bagaimana karier seni, akan dilupakan?
Berhijrah ke negara lain bukan bermakna saya akan lupa diri. Dunia seni akan terus menjadi sebahagian daripada diri saya. Macam saya katakan tadi akan kerap pulang ke Malaysia dalam tempoh sebulan sekali. Jadi kalau ada tawaran nyanyian saya akan tetap terima, tidak ada masalah pun. Cuma buat masa ini selain menyanyi saya juga ada kerjaya utama lain. Memandangkan kerjaya ini membolehkan saya bekerja dari mana-mana, ini membuatkan saya yakin untuk berhijrah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×