Lambat popular pun tak apa - Hariz Hamdan - Utusan Malaysia

Lambat popular pun tak apa – Hariz Hamdan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPATUTNYA mengikut tekaan ramai, tiket sebagai peserta Hero Remaja memudahkan laluan untuk popular. Apatah lagi, di kala media sosial menjadi katalog bergambar, ramai yang jadi popular sekelip mata.

Namun berbeza pula prinsip pendatang baharu, Hariz Hamdan. Dia tidak mahu populariti itu hadir hanya kerana rupa dan jumlah likes dalam media sosial. Dia mahu mempertaruhkan bakat dan kemampuan.

Ya, bunyi klise sekali bukan? Namun tidak semua pendatang baharu mendambakan populariti semata-mata. Ada yang benar-benar ikhlas dan mahu berjaya sebagai pelakon atau penyanyi dengan kudrat serta usaha.

“Kalau lambat popular pun tidak mengapa. Ya, memang populariti itu adalah perkara yang diimpikan ramai orang. Cuma bagi saya, kalau popular tanpa bakat tak cukup. Kita kena buktikan kemampuan.

“Mungkin klise kalau saya cakap bakat itu lebih penting namun itulah hakikat. Bukan satu perkara sia-sia jika popular itu datang seiring kelak dengan bakat kita yang diperakui peminat serta industri,” katanya.

Di tangga usia 19 tahun, jejaka ini masih muda. Perjalanan seninya masih jauh namun jika cantik susunan kerjaya, tidak hairan dia mampu setanding pelakon lelaki hebat lain. Mahu menjadi seperti idolanya, Bront Palarae, Hariz berusaha semampu boleh.

Tidak kisah andai lakonan ditegur, dikecam, bagi Hariz dia cuba memperbaiki setiap kelemahan dengan memasuki kelas dan menimba ilmu daripada pelakon senior. Namun semahunya, biarlah komen itu membina dan positif.

‘Kita sedia maklum bagaimana warganet mengkritik dan mengecam kalau ada artis buat silap. Bagi saya, kalau nak kritik atau tegur itu boleh. Saya terima dengan hati terbuka dan belajar untuk perbaikinya.

“Di set penggambaran pun, saya terima jika pengarah memarahi dan menegur lakonan saya.Itu adalah satu proses pembelajaran. Saya percaya, tiada siapa yang pertama kali masuk set sahaja terus hebat. Mungkin ada tapi tak ramai,” katanya.

Wajahnya kini menghiasi layar kaca rumah anda menerusi drama bersiri, Kisah Cinta Rumi. Bergandingan dengan Khai Bahar dan Riena Diana, anak kelahiran Shah Alam ini teruja menanti reaksi peminat.

“Setakat ini, komen positif saya terima. Tetapi mestilah ada yang kurang suka. Saya ambil itu sebagai teguran. Saya banyak belajar dengan rakan pelakon. Kami masing-masing belajar sesama sendiri.

“Saya tidak berdiri atas pujian. Jika ada yang suka, Alhamdulillah. Ilmu itu tidak akan habis. Sebab itu saya menanti detik bergandingan dengan pelakon-pelakon hebat lain kelak,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×