Kalau orang gembira, saya pun dapat pahala - Bell Ngasri - Utusan Malaysia

Kalau orang gembira, saya pun dapat pahala – Bell Ngasri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“ABANG memang tak ada pembantu peribadi ke?” tanya penulis dengan hairan kerana melihat lelaki bertubuh kecil ini berusaha mengendong beg galas sambil di tangan kiri dan kanan penuh dengan gantungan baju yang akan dipakai semasa sesi fotografi berlangsung.

“Mana pernah ada. Tak payah hairan, abang sudah biasalah. Dari kecil sudah biasa macam ini,” jawabnya sambil berjalan menuju tempat duduk di penjuru pejabat.

Sempat lagi penulis mengusik, mana mungkin orang popular, maaf, semakin popular, perlu buat kerja seorang diri seperti itu sedangkan artis baru lain, sehari jadi pelakon atau penyanyi sudah tayang ada pembantu.

Dia cuma tergelak. Katanya, inilah dia Bell Ngasri kalau anda semua hendak tahu. Seorang yang tidak pandai menganggap dirinya popular atau berbangga dengan dunia glamor yang telah menyaksikan perjalanan hambanya selama lebih tiga dekad ini.

Kongsi Bell, dia sudah terlebih dahulu merasa indahnya jadi orang popular sementelah sejak berusia 6 tahun telah bergelar seorang pelakon.

“Dulu, berlakon iklan pun orang anggap popular dah. Pula itu, zaman itu ada tiga siaran saja. Dapat keluar satu siaran pun dah popular rasanya, orang berebut nak ambil gambar.

“Saya sebenarnya tak pernah anggap penting sangat untuk popular. Dikenali orang itu, iya. Tetapi itu pun bukan fokusnya sebab saya ini cuma fikir kerja saja. Orang suruh dan panggil berlakon, kita buat. Itulah saya,”katanya.

Tidak menyangka kalangan generasi muda dan anak kecil turut mengenali dirinya, Bell menganggap semua itu rezeki apa lagi setelah menyedari ramai pengikut setia drama Kampong Pisang Bersiri-Siri termasuk 16 Puasa, 17 Puasa dan 18 Puasa.

Kuatnya penangan watak Barkoba membuatkan Bell terkedu seketika lantaran tidak menyangka dirinya diminati sedemikian rupa sehinggakan dia tergelak besar saat membaca artikel dan komen orang ramai tentang cadangan gelaran Datuk kepadanya baru-baru ini.

“Rupanya ramai suka dengan saya ya? Sampai nak suruh beri gelaran Datuk itu, saya rasa tinggi sangat impian itu. Terima kasihlah sebab mencadang dan mendoakan, tapi mana ada orang dapat Datuk sebab jadi ikon orang tak puasa?

“Tergelak betul saya. Orang yang sesuai dapat pangkat itu bukan saya, tapi Mamat Khalid sebab dia lah orang ramai suka dengan naskah drama dan filem lakonan saya itu.

“Selama saya kerja dalam bidang ini, tak pernah sekali pun terfikir tentang pangkat atau gelaran. Datuk Bell? Macam tak sesuai saja, lebih baik panggil adik Bell. Sampai bila-bila nampak muda ye tak?”katanya.

Meski sudah berusia 40 tahun, kongsi Bell, kerana tubuhnya yang kecil, ramai menyangka dirinya masih muda dan tidak jauh beza dengan artis-artis generasi baru lain.

Malah, dek awet mudanya itu, teman-teman kepada anaknya sendiri tidak memanggilnya dengan gelaran pakcik, sebaliknya menyapa dengan panggilan nama, Bell.

“Tak tahulah sebab muda atau kerana mereka selalu nampak saya berlakon, tapi memang mereka panggil Bell saja. Tak kecil hati atau timbul isu tak hormat sebab saya sendiri memang tak kisah.

“Satu tentang saya, tak suka ada jurang dengan sesiapa. Contohnya dalam industri, pelakon baru atau lama, saya anggap kita semua sama sahaja. Tak pernah anggap saya ini pelakon lama, senior, maka saya hebat.

“Kalau awak hebat, saya akan cakap awak hebat. Tapi kalau orang kata saya hebat, saya tak pernah mengakuinya. Sebagai pekerja seni, kita tak patut anggap diri sendiri bagus sebab setiap kalinya akan ada sahaja orang lain yang lebih layak dinilai begitu,”katanya.

Keajaiban niat

Kongsi Bell, melihat rezekinya yang tidak pernah putus dalam dunia seni sehingga ke hari ini, semua itu membawanya kembali kepada satu momen ajaib yang mana dia pernah memasang niat tanpa sengaja akan satu hal ini.

Ceritanya, gara-gara sering sangat membawa naskah berat dan serius, ada satu ketika, dia berdoa dalam hati, alangkah seronoknya jika dia dapat membuatkan orang gembira dengan lakonannya.

“Saya doa begitu, bukan sebab sudah bosan berlakon. Tapi rasa nak buat orang terhibur atau gelak-gelak pula. Niat saya waktu itu selain nak seronokkan orang, diri sendiri pun nak rasa seronok.
“Tak sangka, dari hari ke hari rupanya itulah yang benar-benar terjadi. Saya akui, seronok bila bekerja sekarang.

“Ada yang kata, kalau kita buat orang lain gembira, ketawa, kita pun dapat pahala. Kalau baik begitu, saya pun suka. Mungkin sebab itu jugalah saya selalu awet muda,” selorohnya.

Bila Bell serius?

Mengaku tidak tahu bagaimana dia kini diangkat sebagai seorang pelawak, kata Bell, semua itu barangkali ada kaitannya dengan pengamatan teman-teman dalam industri terhadap karektornya secara peribadi sejak 15 tahun lalu.

Menurutnya, jika apa yang anda lihat di kaca televisyen atau di video media sosial menerusi gelagat bersahaja dan lucu-lucunya, itu juga adalah gambaran sebenar diri lelaki ini.

“Teman-teman industri nampak perangai saya seperti itu dan suruh bawakannya ke depan kamera. Bermula dari situlah saya banyak ditawarkan naskah komedi termasuk sitkom. Dulu bukan tak pernah berlakon cerita komedi, ada.

“Tapi itu semua lakonan dan bukannya betul-betul seorang pelawak. Sekarang, ramai pula yang anggap saya pelawak. Tak apa, saya tak kisah, janji orang suka dan seronok,”katanya.

Ditanya sama ada dia memiliki sisi lain yang tidak pernah dilihat orang, misalnya garang atau serius di dunia realiti, Bell ringkas mengatakan tidak ada.

Menjelas lanjut, kata Bell, tiada keperluan untuknya memotretkan diri serius sepanjang masa sedangkan hidup ini boleh dicorak dan diwarnakan dengan lebih baik daripada itu.

“Susah orang nak tengok saya serius di luar set sebab inilah diri sebenar Bell Ngasri. Saya nak kerja relaks sahaja, buat apa nak stres? Lagipun memang saya suka melawak dan menghiburkan orang.

“Kalau orang nak marah saya pun adakalanya mereka tak jadi nak marah dan gelak dengan perangai saya. Orang lainlah, kalau di rumah, isteri sajalah yang menyampah dengan lawak saya sebab sudah biasa,”katanya ketawa.

Anak ikut cabang berbeza

Dalam pada itu, mencuit pertanyaan adakah dia menyokong minat anak-anaknya untuk meneroka bidang seni sama seperti dirinya sewaktu kecil, Bell bagaimanapun melihat keadaan itu wujud dari sisi yang berbeza.

Jelas Bell, ketiga-tiganya baik Nasfazril, 13, Nasfarisya, 12, Nasfazira, 6, setakat ini tidak menunjukkan minat untuk berada di depan kamera seperti dia dan adik-beradiknya yang lain sewaktu kecil, tetapi cenderung menyukai tawaran untuk berada di belakang tabir.

“Mereka ini boleh berlakon, tetapi minat itu lebih kepada bidang alih suara latar. Kalau perasan atau yang kenal, suara anak-anak saya banyak digunakan untuk video-video iklan atau lagu jinggle kanak-kanak.

“Sesekali saja saya akan pujuk mereka terlibat di depan kamera. Itu pun saya tengok pada kemahuan mereka. Dalam bab ini, saya tak suka memaksa sebab kalau mereka tak nak, ia tak akan menjadi juga nanti,”katanya.

Mengaku tidak pernah menghalang apa sahaja minat si anak, sebagai seorang bapa, tentunya dia mahukan yang terbaik buat anak-anaknya selain begitu memahami jadual persekolahan anak masa kini yang begitu padat.

“Bezalah dengan kita dahulu. Contohnya dulu mak ayah saya rajin bawa pergi sesi uji bakat dan sebagainya. Bukan tak nak buat sekarang, tapi bila tengok jadual sekolah anak pun padat, tak mahulah ganggu.

“Melainkan kalau mereka betul-betul nak dan minat, saya akan bawa. Nak jadi anak seni tak boleh main-main sebab bidang ini pun menuntut pengorbanan yang tinggi terutama daripada aspek masa,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×