Cukup sinonim dengan watak isteri teraniaya, ketika ini ada syarat yang mahu disampaikan pelakon yang cukup terkenal melalui watak Juweta ini. Jelas Nad Zainal memberitahu Takdir Yang Tertulis adalah drama terakhir dan dia akan menolak untuk watak sebegitu lagi.
“Takdir Yang Tertulis adalah drama terakhir untuk saya berlakon watak seperti itu. Bukan sebab apa, tidak mahulah asyik watak yang sama sahaja. Saya juga takut terlalu sinonim dengan watak seperti itu.
“Ikutkan ramai lagi pelakon lain yang boleh bawa watak itu, janganlah kata saya seorang sahaja mampu. Sebagai pelakon semua orang ada peluang yang sama cuma pandai pilih atau tidak sahaja,”katanya.
Berkongsi pengalaman membawakan watak berat sewaktu mengandung anak keduanya ini, kata Nad dia tidak pernah mengalami waktu yang sukar. Malah sebagai seorang pelakon keadaan emosinya tidak pernah terganggu.
“Ikutkan pada mulanya memang tidak mahu terima watak itu sewaktu usia kandungan empat bulan.Tetapi bila terima memang saya tidak ada masalah mahu bawa watak berat, cuma di set penggambaran krew dan pengarah yang paling risau, sebab takut apa-apa.
“Sebagai pelakon saya sendiri tidak suka terbawa-bawa dengan watak di luar kamera. Lepas habis kerja sahaja saya akan berehat dan makan benda manis-manis tidak ada masalah pun,” tambahnya.
Jangan dengki rezeki orang
Melihat pertikaian yang terhadap golongan selebriti laman sosial yang kini turut merebut peluang bergelar anak seni, ternyata ada pandangan berbeza daripada pelakon hebat ini. Sentiasa meraikan kepelbagaian, jelasnya dia sentiasa meletakkan rezeki sebagai sebab untuk sentiasa bersyukur.
“Bagi saya apa yang berlaku ini mungkin ada pelakon lama yang sukar mendapat tawaran tetapi dalam masa yang sama peluang ini diberikan kepada wajah-wajah baharu. Pada pandangan saya jangan pernah pertikai rezeki. Sebagai seorang pelakon saya juga sentiasa mengharapkan yang terbaik untuk industri kita.
“Bukan semua selebriti yang lahir melalui laman sosial itu tidak bagus sebab ada di antaranya sangat bagus,”katanya lagi.
Melihat bakat sebagai elemen penting untuk bergelar anak seni, ketika ini bukan jumlah tahun pengalaman yang perlu dibangkitkan tetapi bagaimana dua golongan ini sentiasa mempunyai sikap hormat dan menghormati.
“Saya pernah bergelar pelakon baharu dan melalui pengalaman yang sama. Pernah jadi kayu juga jadi semua itu memerlukan proses. Sebab itu jangan anggap pelakon baru ini tidak mahu belajar kadang sebagai pelakon lama kita yang tidak beri peluang. Percayalah jika berkawan dengan mereka, hasilnya akan lebih baik di hadapan kamera.
“Sebab itu apa yang penting adalah bakat dan kesungguhan, cuma kalau tidak ada dua perkara penting ini jangan rugikan peluang yang patut diberikan kepada mereka yang lebih layak,” akhirinya.
Menghitung hari
TIDAK sabar untuk melahirkan anak keduanya kurang seminggu lagi, saat ini kongsi Nad Zainal segala persiapan juga sudah selesai dilakukan. Sekali lagi bakal melahirkan anaknya ini secara pembedahan, kali ini dia lebih bersedia.
Berkongsi serba sedikit perjalanan kehamilan kali ini, ada yang berbeza selain lebih mudah penat, ternyata dia juga lebih tenang sepanjang bergelar seorang ibu mengandung.
Belum mahu mendedahkan jantina mahupun nama bakal anaknya ini jelasnya, dia lebih selesa menunggu waktu yang sesuai.
“Saya akan memasuki dewan bedah pada 30 Mac ini. Kali ini tiada perasaan berdebar atau apa sebab memang tidak sabar sebenarnya untuk melihat wajah bayi. Kali kedua pembedahan. Cuma kali ini pembedahan elektif, sebelum ini secara kecemasan.
“Soal persiapan juga memang semua sudah dibuat, mungkin sebab itu juga saya dan suami tidak sabar lagi menunggu tarikh kelahiran anak kedua kami,”katanya nama dan jantina bayinya juga akan dikongsi suaminya melalui laman sosial.
Selain lebih mudah penat, antara yang paling ketara, bagaimana dirinya tidak boleh berhadapan dengan keadaan rumah yang berselerak. Malah dalam tempoh sarat ini juga kongsi Nad dia masih sibuk mengemas rumah.
“Saya tidak tahulah kali ini memang tidak boleh tengok rumah berselerak. Asyik mahu mengemas, memanglah elok tapi dalam keadaan sarat macam ini suami sendiri larang saya rajin sangat.
“Tetapi itulah kalau tengok keadaan yang tidak elok saya akan mudah marah. Bila diselidik bukan saya sahaja yang melaluinya, ramai lagi ibu-ibu lain yang mengalami pengalaman yang sama rupanya,”jelasnya yang berkahwin dengan Muhammad Faliq Amirudin,, pada 18 Disember 2015.
Tidak akan mengambil masa lama untuk kembali ke dunia lakonan selepas melahirkan anak keduanya ini, tambah Nad, 31, atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin ketika ini juga dia sudah menerima beberapa tawaran.
“Kalau tiada apa mungkin saya akan masuk set kembali selepas sambutan hari raya. Memang sekarang juga sudah ada ada yang merisik. Jadi cuti itu memang tidak lama dalam sebulan lebih sahaja. Ikutkan memang ada yang masih mahu saya berlakon dalam waktu sarat ini tetapi memang saya terpaksa tolak sebab tidak larat,” katanya yang baru sahaja dilantik sebagai duta rasmi produk MommyHana.
Dalam majlis yang sama, selain Nad, Amyra Rosli juga turut berkongsi tanggungjawab sebagai duta untuk mempromosi produk MommyHana yang direka khusus untuk menggantikan gajet kanak-kanak.










