Buaya Darat dalam industri - Wafariena - Utusan Malaysia

Buaya Darat dalam industri – Wafariena

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEBERAPA kali juga wanita berdagu lekuk ini menzahirkan kata maaf jika kehadirannya ke Ibu Pejabat Media Mulia, tempoh hari dianggap lewat hingga menimbulkan rasa kurang senang.

“Seminggu berada di luar ibu kota kerana komitmen satu penggambaran drama dan sampai di rumah juga sudah pukul 3 pagi. Maaf kalau terlewat,”ujar pemilik nama Wafariena Roslan ini.

Terselit juga kata pujian dalam hati. Walhal, kelewatan itu tidaklah mengapa-apa.

Mengisi perbualan kami tentang kerjaya seni dari sudut pandangnya sebagai seorang pendatang baharu, dia yang mesra disapa sebagai Wafa sedar mungkin ramai meletakkan dirinya masih terlalu hijau dalam industri.

Nilai tambah itu kemudiannya diiyakan dengan faktor tiada kontroversi sensasi. Tiada naskhah yang benar-benar ‘boom’ yang kononnya diyakini mampu menjerumus Wafariena ke lembah gelaran ‘artis biasa-biasa’ sahaja.

“Mengapa? Salahkah kalau saya ini bersih daripada sebarang kontroversi? Gelaran ‘One Hit Wonder’? Itu semua soal peluang dan rezeki. Kalau ada peluang, saya memang akan berusaha.

“Lagipun setakat ini tak pernah lagi saya katakan nak berhenti berlakon hanya kerana merasakan diri tak berjaya. Insya-Allah, kalau diberi peluang saya nak jadikan dunia seni sebagai kerjaya sepanjang hayat,”katanya.

Tidak melenting apabila dia dikatakan terlalu selesa dengan imej budak baik, lantaran masih ada sifat malu-malu, Wafa bagaimanapun memberi isyarat, itu tidak bermakna dia seorang wanita yang naif.

“Memang saya begini. Kalau boleh nak jaga biar diri tiada kontroversi walau orang kata sebagai artis itu perlu. Tetapi itu bukan bermakna saya nak suruh orang anggap diri ini baik.

“Tak pernah cakap pun saya baik sebab faham itu semua pandangan masing-masing dan suka hati merekalah untuk fikirkan apa pun, hatta menganggap saya ini acah-acah budak baik.

“Malah bila dah jadi artis sejak dua tahun ini pun, tak adalah nak terlalu menjaga sangat imej bersih sebab dari dulu lagi inilah diri saya sebenar. Tak suka perhatian melainkan soal lakonan dan kerja,”katanya.

Menurut Wafa lagi, sifat malu yang semulajadi ada pada dirinya juga tidak bermakna dia seorang yang penakut untuk melakukan sesuatu hal.

Cuma, secara peribadi, keberanian juga wajar bertempat.

“Sebagai contoh, ada pengarah dan penerbit yang enggan disebut nama di satu set penggambaran sebelum ini menyuruh saya menukar pakaian lain atas tuntutan watak.

“Bila diberikan pakaian tersebut, rupanya saya disuruh pakai skirt di atas paras lutut selain baju yang menampakkan lurah dada. Pendek kata baju itu memang sangat seksi.

“Rasa-rasa saya akan pakai ke? Tentulah tidak! Sudahlah babak ketika itu memerlukan saya untuk berlari.Tak mungkinlah sedikit pun tak akan ternampak bahagian belakang punggung jika saya berlari dengan pakaian macam itu,”katanya.

Bukanlah seorang artis yang suka membuat kerenah merepek di lokasi, namun kata pelakon ini, dalam situasi berkenaan, dia juga tidak dimaklumkan perlu berpakaian seksi semasa perbincangan awal dengan pihak produksi.

Sebelum ini pernah menolak watak hitam seperti gadis GRO seksi, Wafa bagaimanapun percaya adakalanya seksi itu tidak hanya terletak pada pakaian mencolok mata.

Jangan terpancing

Atas tiket anak seni, tentulah dia seharusnya berani untuk melakukan apa sahaja demi melonjakkan nama dan populariti. Tetapi bagi Wafa biarlah ia sehingga tidak memperjudikan maruah.

“Realitinya, ada sahaja dalam kalangan orang industri kita yang berperangai bak buaya darat. Mengeksploitasi dan tak hormat orang. Jangan disebabkan status Budak-Budak Baru Nak Naik (BBNU) macam saya ini maka kelompok kami ini dianggap mudah diperlakukan apa sahaja.

“Asal BBNU sahaja, mulalah fikir kami mudah dipancing dengan duit dan ayat-ayat manis, ‘ohh saya akan jadikan awak bintang, begitu dan begini kalau awak ikut cakap saya’.

“Buaya darat memang ada di mana-mana ya? Tolonglah, hentikanlah. Tak semua budak baru itu termakan umpan busuk macam itu,”katanya.

Salahkah jadi anak emak?

Pernah beberapa kali melalui peristiwa pahit seperti itu, barangkali itu juga menjadi penyebab Wafariena lebih tenang dan selesa andai ibunya, Suzana Hamad, sentiasa berada di sisi walaupun ke set penggembaran.

Malah, kata pelakon ini, bukannya dia tidak tahu ada yang mengejeknya dengan gelaran anak emak lantaran di usia 26 tahun mengkelek ibunya ke mana-mana.

“ Buat apa nak kecil hati. Sudah sememangnya saya ini anak dia, bukannya anak jiran atau anak orang lain. Jadi tak ada sebablah saya nak marah betul tak?

“Sebenarnya, tak peduli sangat apa yang orang nak kata atau ejek itu sebab bukannya saya minta duit atau menyusahkan mereka. Cukuplah untuk semua orang tahu ibu adalah sumber kekuatan saya.

“Sebab itulah jika terpaksa ke lokasi penggambaran di luar daerah, kalau produksi tidak menyediakan tempat untuk bawa ibu atau keluarga, saya rela cari dan sewa rumah atau bilik sendiri asal tidak terpisah dengan mereka,”katanya.

Dek selalu berkepit dengan ibu, sempat juga pertanyaan dilayangkan seandainya sudah masanya dia bertemu jodoh, bagaimana pula keadaannya?

Dalam tertawa, Wafa berkata belum terfikir ke tahap itu memandangkan pada ketika ini pun, belum ada lelaki yang berani keluar temu janji dengannya dengan ‘pakej’ ibu.

“Bukan temu janji sahaja, setakat nak keluar minum di kedai pun tak ada yang berani bila saya kata nak bawa ibu sekali. Ramai yang tak boleh terima katanya kenapa perlu bawa?

“Saya faham, kebanyakan lelaki akan ingat bila jumpa ibu, mereka fikir, ia adalah satu bentuk paksaan untuk ke fasa hubungan lain. Walhal dari situ saya mahu tahu adakah niat mereka benar-benar ikhlas dan baik untuk berkawan.

“Ramai juga tak percaya bila saya kata lebih suka duduk di rumah berbanding keluar. Bagi saya duduk dengan keluarga lebih aman daripada terlibat dengan perkara tidak tentu hala,”katanya.

Macam SRK

Lanjut berbicara mengenai variasi lakonan, kata Wafa, dia sebenarnya sudah berasa begitu beruntung dikenali dengan watak Nurul Ain dalam drama popular 7 Hari Mencintaiku.

Namun sedar, untuk dia berbangga selamanya dengan watak itu tentulah tidak kena kerana seseorang pelakon yang bagus, harus dikenali dengan kekuatannya membawakan pelbagai watak.

Enggan dilihat sebagai pelakon yang membosankan, Wafa sebolehnya mahu mencuba seberapa banyak watak berbeza demi mencabar potensi dalam diri.

“Senang cerita, saya nak jadi macam Shah Rukh Khan (SRK) atau Wan Mainumah. Mereka ini bagi saya sangat versatil dan memiliki pelbagai warna daripada aspek lakonan.

“Boleh bawa apa sahaja watak tanpa menghampakan. Baik serius, antagonis, malah komedi sekali pun.Saya nak jadi macam mereka.

“Selepas ini saya nak cuba pula bawa watak aksi. Ini paling diimpikan bahkan saya sanggup ambil kelas instensif atau latihan jika diberi peluang,”katanya.

Menanam hasrat agar penonton dan peminat boleh menilai dirinya menerusi bakat dan bukannya kontroversi, Wafa mahu setiap watak yang dibawakannya selepas ini dapat memberi impak dan kesan di hati semua.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN