DUA tahun hidup bermasam muka, ia barangkali satu tempoh yang sebentar cuma buat sesetengah orang.
Tetapi, yakinlah, bagi individu yang benar-benar menghargai sebuah persahabatan yang sudah bertahun-tahun lamanya terjalin, bergaduh dalam tempoh selama itu bagaikan satu penyeksaan jiwa.
Bak kata orang, hilang kekasih tidak seberat dan seseksa kehilangan sahabat baik yang selama ini sudah terbiasa hadir membayangi perjalanan hidup.
Apa lagi kalau keakrabannya umpama sudah sama-sama makan sepinggan, tidur sebantal, mengharungi dasawarsa ini dengan susah dan senangnya. Maka kerana itu, apabila ada jalan untuk berbaik semula, Zarina Anjoulie dan Fathia Latiff tidak ragu-ragu lagi untuk membersihkan hati, sekali gus memberi ruang buat mereka untuk sama-sama kembali bermaafan.
Kata Zarina, sejak dipertemukan oleh pendandan rambut selebriti yang juga teman baik mereka, Ridzokimura awal tahun lalu, dia dan Fathia kini bagaikan sukar dipisahkan lagi.
“Memang melekat hari-hari! Jujurnya saya amat berterima kasih kepada Ridz kerana membuat pertemuan istimewa itu dan pada hari tersebut, kami berdua berpelukan kuat dan saling bermaafan atas segala sengketa yang pernah berlaku sebelum ini
.
“Bayangkan, selepas jumpa di salon Ridz, tiga hari kemudian kami tak balik rumah dan duduk bersama. Tak sangka hari itu (bermaafan) datang juga akhirnya sebab rupa-rupanya bukan cuma saya, tetapi Fathia juga ada terfikir untuk berbaik semula,” katanya.

Dalam celah, Fathia memberitahu, dia berasa pelik apabila ada yang cuba mempertikaikan tindakan mereka berbaik semula sedangkan dalam mana-mana hubungan, bahkan antara suami isteri pun pasti ada pertelingkahan atau salah faham.
“Standardlah kalau gaduh baik, gaduh baik dan kemudian tak bertegur sapa, ada sahaja orang pernah alami perkara serupa. Adik-beradik pun ada gaduh, apatah lagi dalam bab berkawan.
“Saya tak kisah dengan apa yang orang nak kata, asalkan saya sudah berbaik dengan Zarina, kami sudah okey, itu cukup,”katanya.
Tambah pelakon ini, dia sedar akan ada sahaja pihak bertepuk tangan gembira apabila melihat keruntuhan hubungan persahabatan mereka.
Namun dia percaya, jika Tuhan mengizinkan kedua-duanya untuk kembali berkawan, maka tiada sesiapa yang mampu menafikannya.
Hal itu turut diakui Zarina yang menganggap ramai sahaja yang suka melihat orang lain bergaduh dan atas nama artis, dia dan Fathia tentulah lebih menjadi bahan perhatian umum.
“Orang gaduh, orang bertumbuk, benda-benda macam tu memang orang suka dan anggap ia macam hiburan.
“Sudahlah, saya tak mahu cakap pasal ini lagi. Hubungan saya dengan Fathia sudah baik dan kami kembali bersahabat malah lebih rapat lagi. Orang mungkin tak akan faham cara kami bersahabat, jadi terpulanglah pada mereka dengan apa yang ingin difikirkan,”katanya.
Fathia tak perlukan lelaki

Membawa Fathia kepada topik kehidupannya kini, dia menganggap tiada apa yang luar biasa untuk dikongsikan kepada umum sementelah dia cuma menjalani sebuah kehidupan yang normal sebagaimana orang lain.
Pun begitu, jika ditanya mengenai lelaki, dia akui tidak lagi mahu memikirkan soal itu kerana baginya tidak penting.
“Sesiapa yang datang pun akan pergi jua akhirnya, jadi saya tidak mengharapkan apa-apa. Rasanya, saya tidak perlukan lelaki buat masa ini. Lebih baik fokus pada bisnes dan kerjaya sahaja.
“Bagi saya, lelaki bukan pengukur kebahagiaan pada diri kita. Cukuplah saya ada keluarga dan kawan baik saya ini,”katanya merujuk kepada Zarina.
Zarina selesa sendiri

Bersetuju dengan Fathia, Zarina yang kini kembali memegang status janda selepas bercerai dengan bekas suaminya, Eilyas Azhar, menganggap ia adalah satu lagi takdir yang sudah tertulis buat dirinya.
Tidak ralat untuk melepaskan perkahwinan yang cuma mampu dipertahankan selama enam bulan, pelakon berusia 34 tahun ini mengaku menyesal berkahwin dengan perasaan terburu-buru.
“Masing-masing ada kesilapan. Kami berdua pun tidak bergaduh, malah sehingga sekarang saya anggap dia kawan. Bagi saya, percintaan tidak seharusnya berada dalam keadaan terpaksa jika tidak bahagia. Saya menyesal kerana sepatutnya tidak terburu-buru dalam soal kahwin.
“Sepatutnya kami perlu saling mengenali lagi lebih dalam sebelum membuat keputusan untuk berkahwin,” katanya.
Melihat banyak kes perceraian melibatkan pasangan muda, Zarina sedar tidak wajar terlalu mengikut perasaan tanpa berfikir panjang.
“Hidup sendiri lebih baik. Satu nasihat, janganlah jadi macam saya atau ulangi kesilapan ini. Ini kerana kita merasakan sudah mengenali pasangan kita itu dengan baik, tetapi hakikatnya tidak.
“Di akhirnya nanti, kita sebagai wanita, jarang bertemu dengan orang yang benar-benar hendak kenang jasa baik kita kerana apa yang lebih dipandang adalah hal yang buruk,” katanya.
Enggan berkata lebih mengenai perihal perceraian keduanya itu, Zarina bagaimanapun tidak menolak anaknya, Awangku Gabriel Martin Ezra yang kini sudah berusia empat tahun sering bertanya keberadaan Eilyas.
“Martin sayang dia.Lagipun Yas memang rapat dengan dia. Jadi adalah sesekali Martin bertanya di mana Yas dan saya cakap dia pergi kerja. Itu sahaja,”katanya sambil mendoakan kebahagiaan bekas suaminya itu.
Zarina dan Eilyas mendirikan rumah tangga pada 17 Julai, tahun lalu di Pejabat Agama Islam Daerah Seremban, Negeri Sembilan selepas empat tahun bergelar ibu tunggal.
Namun, dia mengejutkan ramai pihak apabila memuat naik satu hantaran dalam Instagram memaklumkan dirinya sudah bercerai dengan Eilyas. Sebelum berkahwin dengan Eilyas, pelakon drama Anak Pontianak itu pernah mendirikan rumah tangga dengan jejaka dari Brunei, Pangiran Mohd. Ilham Syazwan pada 2015. Bagaimanapun, perkahwinan itu tidak bertahan lama dan kedua-duanya bercerai pada Disember 2016.
Nilai persahabatan
Ketika ditanya mengenai apakah yang paling dirindukan saat kedua-duanya tidak bertegur sapa sebelum ini, kata Zarina, dia rindu masa bergembira dengan sahabatnya itu.
“Dia adalah seorang yang sangat menyeronokkan dan baik sudah tentu. Dia nampak lebih lembut dan tenang, berbanding saya yang agak ganas. Mungkin dengan sikapnya itu maka dia paling pandai menenangkan saya dalam waktu-waktu sukar,”katanya.
Sementara itu, bagi Fathia, Zarina pula ialah seorang sahabat yang jujur dalam berkata-kata walau adakalanya perkataan yang terbit dari mulutnya mampu memberi kesan di hati orang.
“Itu kerana dia seorang yang jujur, orang yang tidak kenal dengan dia mungkin tidak boleh berkawan lama dengannya. Bagi saya, Zarina ialah seorang wanita yang penuh dengan sifat kasih sayang.
“Malah,suka atau tidak, sebenarnya, Zarina adalah orang yang banyak membantu saya mengharungi susah senang dalam hidup. Itu yang paling dirindukan semasa saya ‘hilang’ sekejap dirinya,”katanya.









