Drama The Spies Who Loved Me yang ditayangkan di iQIYI mendapat perhatian ramai. Malah, penonton memuji jalan cerita serta permainan setiap karektor yang berbeza daripada drama lain.
Apatah lagi, penampilan Ratu Drama Komedi-Romantik, Yoo In Na berjaya mencipta populariti drama yang turut dijayakan Eric Mun dan Lim Ju Hwan. Keserasian mereka memancing minat penonton.
Cukup popular menerusi drama yang mencetuskan fenomena, Goblin, Yoo In Na mempunyai alasan sendiri menerima tawaran drama The Spies Who Loved Me itu. Ikuti temu bual dengan pelakon cantik ini.
HITS: Bergelar pelakon popular pastinya sukar untuk mengekalkan gelaran itu. Apa kriteria utama dalam menerima tawaran? Adakah watak? Jalan cerita atau bayaran?
Yoo In Na: Pastinya bukan sebab bayaran! (ketawa). Saya mudah ‘dipengaruh’ dengan kekuatan watak. Sebagai contoh dalam drama The Spies Who Loved Me ini, watak saya sebagai Kang Ah Reum ini cukup berbeza.
Kang Ah-reum adalah seorang wanita yang lantang bersuara dan berdikari. Itu antara sebab saya tertarik kepadanya. Malah setiap watak dalam drama itu mempunyai kisah dan cabaran sendiri.
Anda cukup hebat melakonkan watak-watak dalam komedi-romantik. Apakah perbezaan antara The Spies Who Loved Me dengan drama komedi-romantik anda sebelum ini?
Saya rasa perbezaannya adalah bukan hanya drama itu adalah sekadar komedi romantik tetapi gabungan aksi, komedi dan pengembaraan. Sebab itu jalan cerita juga sangat penting.
Malah, menerusi permainan watak, jika anda terikat secara sentimental dengan emosi setiap karakter, penonton akan berkongsi perasaan mereka dan menikmati pengalaman tontonan yang menyeronokkan.
Apakah cabaran-cabaran yang perlu dihadapi semasa memainkan watak Kang Ah-reum? Bagaimana anda membuat persediaan untuknya?
Kang Ah-reum adalah pereka gaun pengantin yang hebat namun dalam masa yang sama, memiliki kepakaran lain untuk menjadi seorang pengintip. Menarik bukan?
Untuk watak itu, saya mendapat tunjuk ajar daripada pereka pakaian perkahwinan untuk mempelajari selok-belok dunia pereka fesyen. Malah, saya berlatih menjahit dan membuat pakaian di rumah pada waktu senggang.
Bagi menjiwai watak perisik, saya berlatih menembak dan berlawan. Walaupun masih terdapat kekurangan, saya sentiasa melakukan yang terbaik.
Ini pertama kali bekerjasama dengan dua pelakon lelaki popular, Eric Mun dan Lim Ju Hwan bukan? Bagaimana anda mengeratkan hubungan kerjasama dan menjalin pemahaman dengan mereka?
Sepanjang penggambaran, kami mencipta keserasian menerusi persahabatan yang terjalin di luar set. Mereka melayan dan menjaga saya dengan cukup baik sekali gus melancarkan penggambaran.
Dalam drama ini, Jeon Ji-hun (Eric Mun) dan saya beraksi seakan-akan kami sudah berkawan dan bercinta sejak dulu manakala Derek Hyun (Lim Ju Hwan) dan saya saling menjaga dan menghormati antara satu sama lain.
Bagi Kang Ah-reum, Derek Hyun adalah suami keduanya setelah perkahwinannya yang gagal dengan Jeon Ji-hun. Oleh itu, dia mungkin lebih ragu-ragu dan berhati-hati dalam mengenal seseorang.
Bolehkah anda kongsikan tanggapan anda terhadap Moon Jung-hyuk dan Lim Ju-hwan? Apakah perasaan anda tentang daya tarikan mereka?
Kedua-dua mereka adalah pelakon yang saya sangat ingin bekerjasama. Moon Jung-hyuk selalu menjaga saya dengan baik manakala Lim Ju-hwan selalu bergurau dengan saya. Persahabatan itu yang menjadikan kami begitu serasi dalam drama itu.
Digelar ‘Ratu Drama Romantik’, adakah anda suka memilih karya bergenre begitu sahaja?
Betul ke? Apa pun, terima kasih kepada semua yang memberikan saya gelaran itu. Saya rasa sangat penting untuk seseorang pelakon mempelbagaikan genre dalam kerjaya seni mereka.
Namun bagi saya, drama komedi-romantik dapat menafsirkan cinta dengan lebih komprehensif. Inilah daya tarikan drama romantik dan juga sebab saya menggemari drama romantik.
Tetapi saya ingin mencuba watak yang bergaya dan pandai berlawan! Saya akan melakukan yang terbaik untuk melakonkan watak seperti itu pada suatu hari nanti!










