Saya gugup, gelabah, menggigil ketika naik pentas... – Blank - Utusan Malaysia

Saya gugup, gelabah, menggigil ketika naik pentas… – Blank

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Rindu tenggelam berselubung pilu
Bunga-bunga cinta kembang terhalang
Kemarau menghampiri
Mungkinkah dia merawat lara
Di tinggalkan pergi untuk selamanya
Bagai diriku jua

SIAPA sangka lagu Kembang Terhalang nyanyian Gamma yang bertapak di Batu Arang, Selangor ini mampu memikat jiwa pendengar. Kumpulan yang pada awalnya hanya ‘cari makan’ di majlis-majlis perkahwinan sekitar Rawang, Kuala Selangor dan Tanjung Malim ini akhirnya berjaya menempa nama sebagai kumpulan rock disegani.
Mengkaji resepi serta mengolah rencah untuk disajikan kepada peminat bukanlah sesuatu mudah apatah lagi kumpulan ini hadir pada tika yang lewat, namun ‘pakej lengkap’ dan ‘kesempurnaan’ yang dipersembahkan antara faktor utama mereka mudah diterima, malah tidak perlu menunggu lama untuk memahat nama sebaris dengan kumpulan-kumpulan ‘otai’ di kala itu.
Menyingkap lembaran baharu 2021, Khabar Legenda berjaya menemu bual penyanyi Gamma, Rosli Mohd. Sharif, 66, atau lebih di kenali dengan panggilan Blank. Pelbagai cerita turut dikongsikan bersama Mingguan Malaysia, terutamanya pengalaman ketika bergelar anak seni.
“Saya mula aktif bermain muzik ketika dalam tingkatan tiga pada 1971. Ketika itu muzik rock tidak wujud lagi di Malaysia, jadi kami banyak praktis lagu popular zaman itu terutamanya irama Melayu deli dan pop seperti lagu dari The Mercys dan D’lloyd,” katanya.

Cerita Blank, ayahnya seorang anggota polis yang juga aktif muzik dan bermain saksafon untuk Kelab Polis Rawang. Pengalaman itu sekali gus mendorong dia tujuh beradik bergiat secara aktif.
Pada awal tahun 80-an, kata beliau, ayahnya membuat kejutan dengan membeli semua kelengkapan alat muzik untuk memudahkan mereka, adik beradik bermain muzik.
“Tujuh adik beradik saya yang kesemuanya lelaki memang ‘satu kepala’ iaitu minat muzik, jadi bila masing-masing dah pro dan boleh buat persembahan kami mula bermain di majlis-majlis perkahwinan sekitar Tanjung Malim, Rawang dan Kuala Selangor,” katanya.
Sebelum tertubuhnya Gamma yang membawa maksud Gabungan Anak Muda Malaysia, kumpulan ini pernah menggunakan banyak nama lain antaranya, Seriwarna, Black Jacket, Otak Kuning dan Road Block.
Menjana pendapatan hasil titik peluh sendiri dalam usia remaja pastinya membanggakan. Jujurnya mereka langsung tidak pernah terfikir untuk menjengah ke dunia glamor.
Buktinya hampir enam tahun mereka selesa mengusung alat muzik ke lokasi majlis perkahwinan, sehinggalah seorang teman menawarkan mereka mencuba nasib untuk merakamkan album.
“Syarikat Solid Gold bersetuju ambil kami sebagai artis naungan mereka. Ketika itu hanya saya dan adik bongsu sahaja berminat. Lima yang lain semua keberatan dan tarik diri. Jadi kami terpaksa cari anggota baharu untuk lengkapkan anggota kumpulan ketika itu.
“Hampir setahun kami tunggu untuk buat album namun syarikat masih belum bersedia dan beri pelbagai alasan. Lantas kami matikan kontrak dan berhijrah ke syarikat lain iaitu EMI,” jelasnya.
Menurutnya, di EMI album pertama mereka berjudul Suara Pasrah siap dirakamkan dalam tempoh sebulan. Walaupun tidak punya pengalaman bekerja dalam studio, namun mereka belajar dengan cepat.
“Saya juga tidak duga menyanyi dalam studio rakaman amat jauh bezanya dengan di bawah khemah. Semuanya harus detail dan teliti, tanpa perlu ada salah walau sekelumit pun,” katanya.
Kerja keras Gamma akhirnya membuahkan hasil apabila Kembang Terhalang ciptaan Sani Sudin dan lirik oleh Azida NS meledak hits dan berjaya menjuarai carta mingguan di beberapa stesen radio tempatan. Album ini juga berjaya dijual melebihi 80,000 unit.
“Jika sebelum itu peminat kami hanyalah pengunjung yang menyaksikan persembahan di rumah kenduri kahwin, namun kali ini agak berbeza apabila peminat itu datangnya dari setiap pelosok daerah dan negeri. Sedikit sebanyak merupakan kejutan budaya kepada kami, maklumlah ketika itu sudah ramai peminat wanita meminati Gamma.
“Tapi situasi itu berbeza dengan saya kerana waktu itu sudah berusia 35 tahun dan berkahwin. Anak pun sudah lima orang, jadi feel itu tak samalah macam anggota lain yang masih bujang. Pergaulan dengan peminat pun kena ada batas dan hadnya. Nak lebih-lebih pun kena fikir yang ada di rumah itu,” ujarnya ketawa.
Pembikinan album kedua Gamma pada 1991 berjalan lancar tanpa masalah. Berbekalkan pengalaman lalu kumpulan ini terus mencipta sesuatu terbaik buat peminatnya.
Album Lembayung yang mempertaruhkan lagu hits Bahang Asmara sekali lagi mencetuskan fenomena apabila karya tersebut sekali lagi mudah diterima peminat muzik rock tanah air.
Namun angka jualan album kedua agak merosot berbanding sebelumnya. Selain faktor lanun cetak rompak berleluasa ketika itu, kemunculan beberapa kumpulan rock ternama seperti XPDC dan Iklim sedikit sebanyak memberi kesan dalam persaingan jualan album kerana pengaruh dan genre muzik baharu yang mereka tonjolkan cukup memberi impak kepada peminat.
“Namun begitu ribuan peminat masih membanjiri setiap persembahan Gamma. Tidak dinafikan adakalanya saya gugup kerana terpaksa beraksi di depan penonton yang ramai,” katanya.
Situasi itu, katanya, amat berbeza. Jika dahulu kalau mereka buat persembahan di bawah khemah orang kahwin penonton datang percuma tanpa bayaran. Apabila penonton bayar tiket, jadi pasti mereka inginkan persembahan yang bagus dan berkualiti.
“Pernah satu ketika saya gugup dan menggigil satu badan sebab terlalu gelabah untuk naik menyanyi di pentas. Waktu itu jantung berdebar kencang dan saya terpaksa jalan perlahan sambil berpaut pada besi tiang di tangga. Semangat rasa hilang dan melayang. Dalam hati berkata, boleh atau tidak aku perform depan ribuan orang ini,” ujarnya.

Kekal imej rock

Album ketiga dan keempat Gamma menyaksikan pertukaran beberapa anggota kerana kebanyakannya tarik diri meninggalkan kumpulan atas alasan ingin menumpukan kerjaya dan komitmen kepada keluarga.
Blank yang merupakan tunjang utama Gamma ketika itu nekad untuk meneruskan perjuangan kumpulan walaupun ketika itu ‘demam rock’ sudah perlahan-lahan tenggelam gara-gara genre ini tidak lagi menjadi pilihan anak-anak muda.
“Bagaimanapun kegemilangan bersama Gamma adalah kenangan terindah buat saya kerana layanan dan sambutan terbaik diberikan peminat selama ini. Kumpulan kami tidak pernah diejek atau dibaling batu dan telur busuk. Peminat cukup menghargai kami.
“Kami memperjuangkan muzik dengan niat betul dan mencipta nama tanpa kontroversi. Kami naik ke pentas untuk menyampaikan karya yang ikhlas kepada peminat. Walaupun tidak kaya raya seperti artis lain hari ini, namun itu sudah cukup bermakna buat kami.
“Kami tidak mewah seperti artis sekarang ini yang dibayar ribuan dan puluhan ribu ringgit untuk sekali persembahan.
“Duit show kami dahulu setelah dibahagi-bahagikan sesama anggota dan crew cukuplah sekadar duit poket. Ada ketikanya duit poket pun tak nampak bayang, hanya lepas duit minyak,” katanya ketawa mengakhiri perbualan. – Pancaindera

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.