MENELUSURI ranjau dunia hiburan yang rata-rata tahu bukan mudah, kumpulan Iklim kekal memahat nama sehingga kini. Di usia emas, mereka masih punya aura kehebatan.
Agak sukar sebenarnya mencari mereka yang bukan dalam kalangan peminat lagu-lagu dendangan Iklim. Paling tidak pasti mereka pernah dibuai rasa mendengar lagu Bukan Aku Tak Sudi atau Suci Dalam Debu.
Namun itu kegemilangan lama yang masih kekal dalam ingatan. Sementelah, kepulangan bekas vokalis Iklim, Saleem ke negeri abadi mungkin menyirna sedikit sinar dalam kumpulan itu.
Namun di kala dunia berdepan pandemik Covid-19, kumpulan yang kini masih diterajui anggota lama bersama vokalis baharu, Azmani kembali dengan single, Mawar Kasturi. Sambutan yang diterima bukan calang-calang.
Dalam tempoh sebulan, muzik video lagu ciptaan Mohalim dan lirik bersama A. Rahman Afandi dan Umarul ini berjaya mendapat tontonan hampir satu juta. Itu membuktikan kumpulan Iklim masih ada pengaruh dan peminat tersendiri.
“Sebenarnya kami sendiri tidak mengharapkan apa-apa pun. Sekadar mahu memeriahkan kembali industri. Malah, ini mula-mula projek suka-suka. Tetapi tidak sangka, peminat masih sokong dan terima lagu kami,” kata Mohalim memulakan bicara.
MAWAR KASTURI
Membuka cerita bagaimana idea melancarkan single Mawar Kasturi menjadi kenyataan, Mohalim berkata, dia hanya menghubungi Kamal sekadar untuk suka-suka menerbitkan lagu baharu.
Namun percaturan tuhan siapa mampu meramal. Daripada sekadar projek suka-suka akhirnya, mereka terus melancarkan lagu itu. Walaupun dalam negara sedang berdepan pandemik, itu bukan satu penghalang.
“Lagu Mawar Kasturi itu sudah lama ‘diperam’ dan apabila Kamal bersetuju, kami terus menghubungi anggota lain. Namun, masalahnya siapa nak nyanyikan? Jadi saya terfikir Azmani (bekas kumpulan Kulit).
“Bila masing-masing dengar demo lagu itu dengan tambahan suara Azmani, kami sepakat untuk menjadikan ini satu projek serius. Malah, hasrat kami dipermudah apabila MVM mahu mengedarkannya,” katanya.
Soalan terus terarah ke Azmani. Apa yang membuatkan dia kembali membuka hati menyerikan dunia seni suara. Apatah lagi, sudah hampir 20 tahun dia meninggalkan industri seni apabila Kulit ‘berkubur’.
“Pada mulanya saya pun macam ragu-ragu. Yelah, setelah Kulit berakhir saya terus pulang ke kampung hidup seperti biasa. Tetapi masih lagi menyanyi sekadar untuk suka-suka di studio sendiri.
“Tetapi siapa akan tolak apabila kumpulan Iklim menawarkan posisi sebagai vokalis. Jadi saya beranikan diri mencuba sekali lagi. Alhamdulillah, respons setakat ini positif maksudnya suara saya masih boleh jual,” selorohnya.
KELUAR BELANJA SENDIRI
Bukan mudah sebenarnya untuk menjadikan Mawar Kasturi satu realiti. Mereka berlima harus mengeluarkan simpanan sendiri bagi menerbitkan single tersebut. Satu percaturan yang tiada ketentuan.
Keberanian itu akhirnya berhasil. Malah, mereka juga kini ‘seronok’ menjual kemeja-t sebagai satu cara menambah pendapatan kumpulan. Sambutan yang diterima juga sangat memberangsangkan.
Apatah lagi, perancangan awal mereka untuk melancarkan single ini Julai tahun lepas selepas merakamnya pada Mac. Namun ketika itu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan merencatkan percaturan mereka.
“Lagu itu bukan tangkap muat. Kami sendiri yang bergolok-gadai mengeluarkan duit simpanan untuk menghasilkan satu single. Berpakatlah kami mengumpul duit untuk merakam lagu itu.
“Ini soal keyakinan dan kepercayaan. Memang kita tak berani nak cakap lagu ini boleh diterima atau tidak. Lagipun apabila PKP dilaksanakan, kami sendiri hanya berserah dan reda. Ada rezeki, adalah,” kata Mohalim.
Ditanya adakah peminat Iklim sukar menerima kehadiran Azmani sebagai vokalis baharu, Umarul punya pandangan sendiri. Analoginya mudah, rumah masih sama cuma kali ini, warnanya berbeza.
Jelasnya, hidup perlu diteruskan dan tidak semestinya menjadikan Azmani sebagai vokalis baharu menutup kenangan bersama Allahyarham Saleem. Ini demi kelangsungan hidup Iklim sendiri.
“Memang kita tidak boleh banding-bandingkan sesiapa. Mustahil untuk memadam nama sesiapa daripada Iklim. Tetapi ini adalah satu rumah sama, warna catnya sahaja berbeza, lebih baharu.
“Kami juga bukan kecil-kecil anak dalam industri. Sudah banyak pengalaman pahit manis kami lalui, jadi ini adalah sesuatu yang harus dilakukan,” katanya yang turut teruja apabila mengetahui Azmani bersetuju menjadi vokalis Iklim.

MINI ALBUM
Bakal melancarkan mini album tidak lama lagi, Umarul berkata, mereka memang merancang untuk terus aktif menghasilkan lagu-lagu baharu untuk peminat.
Malah, mereka juga sedang menjadi pengedar dan promoter bertauliah di Indonesia.
“Memang dalam perancangan pun untuk keluarkan single seterusnya tetapi bagi saya, lebih baik kami terus menghasilkan mini album. Peminat juga ada banyak pilihan lagu untuk didengar.
“Kalau boleh kami hendak keluarkan lima single terus. Macam zaman kegemilangan dahulu. Malah peminat kami di Indonesia juga selalu bertanya khabar dan bertanyakan bila lagi kami akan ke sana,” katanya.
Ditanya apakah resipi lagu-lagu Iklim yang kekal malar segar, jelas Umarul, pemilihan bait-bait kata yang puitis dan mesra pendengar sebagai lirik adalah salah satu sebab peminat masih memilih lagu mereka.
“Saya rasa lagu-lagu dahulu memang mudah diterima. Liriknya lebih dekat dan melodinya juga senang masuk. Bukan nak cakap lagu sekarang tak bagus tetapi macam saya cakap, kita tak boleh banding-bandingkan.
“Zaman sudah berubah dan tiba masa untuk kita juga seiring dengan peredaran masa. Tak boleh berpaut pada kenangan dan cara dahulu,” katanya.









