BUKAN mahu menuding jari kepada sesiapa, apatah lagi mahu menyalahkan takdir.
Tetapi, benarlah hakikat kehilangan pekerjaan tanpa disangka-sangka barangkali cuma akan difahami oleh mereka yang senasib atau pernah diduga dengan pengalaman pahit seperti itu.
Mencuba meneruskan survival dalam arus dunia yang kini dilanda dengan pandemik Covid-19, sekumpulan pengamal media yang pernah mencurah khidmat dan bakti dalam sektor yang diceburi kini tiada pilihan.
Mengubah kerjaya baharu dengan meneroka dunia muzik, Geng Upahan yang diwakili oleh Nan Hidayat Nan Azmie memberitahu, dia dan satu daripada anggota kumpulannya, Qayyum, sedar bahawa mereka perlu bangkit daripada kejatuhan.
Kebetulan, masing-masing memiliki bakat dalam bidang muzik dan Sarang Suara Studio menjadi saksi bagaimana bekas wartawan dan juru foto ini bergerak dari bawah demi sebuah kelangsungan hidup.
“Kami memilih untuk 100 peratus mendambakan diri berkarya dengan muzik, terlibat dalam penghasilan gubahan lagu termasuk penggambaran muzik video bakat-bakat baharu yang berhasrat untuk berkongsi repertoir dan membina jenama masing-masing di studio kami.
“Kalau nak tahu, ada dalam kalangan rakan media kami yang sebelum ini kehilangan mata pencarian kini bekerja sebagai tukang kayu, tidak kurang juga ada yang berniaga burger serta pewangi kereta demi meneruskan kehidupan.
“Kami sedar bukan mudah untuk menjadikan muzik sebagai punca pendapatan tetap. Tetapi apa salahnya mencuba kerana kami percaya pada peluang dan rezeki. Sekurang-kurangnya, ia menjadi bukti bahawa kami tidak mudah menyerah biarpun kehilangan kerjaya,” katanya.
Kongsi Nan Hidayat, pengalaman mereka selama lebih 15 tahun sebagai wartawan dan juru foto sebelum ini akan cuba dimanfaatkan sebaik mungkin biarpun dia dan Geng Upahan tidak lagi terlibat secara langsung sebagai pengamal media.
Malah, katanya, platform yang disediakan Sarang Suara Studio juga mampu membantu bakat-bakat baharu mengetengahkan muzik masing-masing bagi menarik perhatian khalayak, sekali gus lebih dikenali serta merancakkan lagi industri muzik tanah air.
“Selain proses rakaman dan gubahan lagu, kami juga menyediakan pelbagai perkhidmatan lain seperti pembikinan muzik video.
“Kami turut membantu dalam aspek promosi mana-mana artis baharu yang berminat menggunakan perkhidmatan kami menerusi pendekatan konvensional dan juga digital sebelum mereka dilamar mana-mana syarikat rakaman,” katanya.

Menurut jejaka yang turut dikenali dengan panggilan Daei ini, perit jerihnya bersama Geng Upahan juga mula membuahkan hasil apabila single terbaharu mereka, Berkongsi Langit kini mula mendapat perhatian di platform YouTube setelah dikongsikan oleh beberapa halaman (Page) viral baru-baru ini.
“Berkongsi Langit merupakan single terbaharu kami selepas lagu Lebih Disayang Tuhan dan Tiada Lagu Lagi yang turut diterima baik audiens di media sosial sebelum ini.
“Alhamdulillah, kami bersyukur dengan sambutan positif pendengar terhadap lagu itu biarpun Geng Upahan masih boleh dianggap hijau dalam industri muzik tanah air.
“Sebenarnya, single-single kami termasuk Berkongsi Langit pada mulanya hanya disifatkan sebagai portfolio untuk pelanggan berpotensi Sarang Suara Studio, tak sangka pula ia turut mendapat respons yang memberangsangkan di media sosial.
“Jika tertulis rezeki buat kami untuk melangkah lebih jauh, sudah tentu Geng Upahan menerima ketentuan-Nya dengan berlapang dada. Buat masa ini, kami benar-benar bahagia dan gembira dengan apa yang kami ada,” ceritanya lagi.
Bagi yang ingin mengetahui perkembangan terkini mereka boleh mengikuti laman Instagram masing-masing di @daei.azmie, @gengupahan dan @sarangsuara atau mendengar dan berkongsi material-material lagu nukilan mereka di YouTube: Daei Nan Azmie dan juga Sarang Suara.










