Apa yang boleh kita jangka untuk tahun ini? - Utusan Malaysia

Apa yang boleh kita jangka untuk tahun ini?

Sekumpulan Orang Gila (SOG). MINGGUAN/ FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM rancangan Korek Fizikal pada 2019, Loque bersetuju dengan Adly Syairi bahawa ‘subuh’ untuk muzik independen Malaysia sudah hampir ketika mereka membelek album PSJKB oleh Iqbal M.
Subuh yang dimaksudkan adalah permulaan kebangkitan muzik independen, seperti yang berlaku sekitar 2007 dahulu.
Saya melihat ‘subuh’ itu adalah 2021. Ketika dunia bagai terjeda pada 2020 akibat pandemik, ia seperti malam, waktu kita mengumpul tenaga sebelum bangkit pada subuh keesokannya untuk meneruskan kehidupan.
Saya melihat subuh yang terang untuk muzik independen tahun ini. Untuk itu, saya senaraikan lima kugiran yang dijangka menyuluh dalam tahun gemilang ini.

No Good
Hanya dengan sebuah EP berdurasi kurang 10 minit, No Good menjadi buah mulut peminat muzik sepanjang tahun lalu. Gabungan muzik punk dengan elemen kerakyatan negeri Kelantan yang dibawa mereka sangat menjadi.
Mereka juga menang besar dalam TAPAUawards 2020 yang diadakan minggu lalu. Empat kemenangan daripada empat pencalonan, gila! Tahun ini mereka dijangka tampil dengan album pertama. Beberapa lagu dipersembahkan dalam beberapa acara.
Kugiran seperti No Good hanya memerlukan platform. Jika kita berjaya menangani Covid-19, dunia akan dihadiahkan dengan lebih banyak persembahan secara langsung oleh No Good. Saya jangka mereka akan menjelajah jauh ke luar negara dan memperkenalkan kepada dunia apa erti sebenar ‘gedebe Kelate’.

Sekumpulan Orang Gila (SOG)
2019 sudah cukup baik buat SOG. Mereka cemerlang dalam ALI dan melancarkan satu video muzik yang sangat berkualiti.
Tahun ini, album ketiga mereka dijangka dilancarkan. 2nd Voyage akan menjadi sesuatu yang klasik. Bukan sahaja album itu dirakam dan diproses di Perancis, ia juga satu eksperimen SOG untuk keluar dari zon selesa yang dibentuk melalui Bahtera dan Dermaga.
Tiada lagi kekecohan tentang ‘muzik nusantara’. Mereka mahu buktikan yang muzik mereka lebih luas dari rantau ini. Sailors Of Sorrow menampakkan pengaruh bunyian dari Asia Selatan. Saya sangat teruja menanti, bunyian apa lagi yang mahu mereka hidangkan dalam album itu.

Pohon Sidra
Pohon Sidra dikaitkan dengan kebangkitan semula Komplot. Saya secara peribadi menganggap Komplot legenda kerana hanya dengan empat lagu, mereka berjaya memahat nama pada ingatan peminat yang mengikuti perkembangan gelombang kedua muzik independen lebih sedekad lalu
Pohon Sidra dibentuk oleh dua semangat Komplot, Amrud dan Haekal selain ditambah semangat baharu daripada Aidil sebagai anggota ketiga. Julai lalu mereka mengumumkan penubuhan dan mencari anggota keempat untuk mengisi posisi vokal.
Pencarian vokalis itu masih diteruskan sehingga kini. Buat anda yang rasa cukup rencah untuk menjadi penyanyi kugiran ini, segeralah hubungi mereka. Hanya satu kepingan puzzle sahaja lagi yang diperlukan untuk melengkapkan Pohon Sidra. Apabila sudah lengkap nanti, saya pasti mereka akan menggegar negara!

A. Limin
Kugiran ini menghasilkan album Adam pada 2019 tetapi kerana Covid-19, tidak banyak yang dapat dilakukan pada 2020.
Namun, bukanlah semuanya negatif dan suram. Mereka berjaya layak ke separuh akhir Anugerah Lagu Indie (ALI) 2020 dan menyertai beberapa projek muzik. Paling cemerlang adalah apabila mereka tercalon untuk kategori Best Release dalam TAPAUawards 2020.
Vokalisnya memberitahu saya, mereka kini dalam proses menyiapkan album kedua yang dijangka dilancarkan tahun ini. Keunikan A. Limin dari segi komposisi lagu menjanjikan sesuatu. Saya sangat berharap mereka mendapat lebih tumpuan tahun ini kerana jika kugiran ini hilang, ia satu kerugian besar buat kita.

Couple
Kugiran paling ‘otai’ dalam senarai ini. Itu yang menarik sebenarnya kerana walaupun usia Couple sudah lebih suku abad, mereka masih mampu menghidangkan muzik segar dan relevan.
Malam Minggu dan Be My Baby membuktikan hal itu. Aura Couple masih kita rasa tetapi bunyi dan gayanya sangat masuk dengan zaman ini. Couple dijangka melancarkan album mereka tahun ini. Malam Minggu dan Be My Baby hanyalah pembuka selera. Kita akan dihidangkan dengan banyak trek lagi selepas ini.  – Rondivu, Pancaindera

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya