Ain Edruce lebih aktif tahun 2021 - Utusan Malaysia

Ain Edruce lebih aktif tahun 2021

AIN EDRUCE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MAHU memastikan tahap kesihatan-nya sentiasa memuaskan sepanjang kehamilan ini kongsi Ain atau nama sebenarnya Nurulain Edruce, dia turut mengambil keputusan mengurangkan aktiviti seni.

Tentunya selepas kejadian dimasukkan ke hospital beberapa minggu lalu akibat demam dan penat memberi sebab untuk dia lebih berhati-hati.

“Saya dimasukkan ke hospital kerana demam dan terlalu penat. Jadi memang sepanjang kehamilan ini, saya sudah banyak kurangkan aktiviti seni dalam memastikan diri berada dalam kondisi terbaik.

“Memang tawaran untuk lakonan saya terpaksa tolak sebab kita tahu berlakon lebih penat. Saya lebih fokus kepada pengacaraan sahaja.

“Saya akui lebih memilih sekarang.Cumanya saya tidak akan berhenti terus cuma mengambil tawaran yang betul-betul saya mahu sahaja.

Saya akan melahirkan anak pada Mei ini, memang selepas itu baru saya betul-betul akan kembali aktif seperti biasa,” jelasnya.

TIDAK AKAN KONGSI SEMUA

Menjadi wajah pilihan di laman sosial, bukan sesuatu yang mengejutkan untuk melihat perkongsian Ain sendiri diterima baik peminat.

Malah dengan tontonan hampir dua juta mengenai kehamilan di saluran YouTube miliknya juga menjadi bukti bagaimana aura yang dimiliki Ain mampu membuatkan sesiapa yang menonton dirinya terhibur.

Namun dalam memastikan dia sentiasa menepati kemahuan diri, kata Ain, dia tidak akan sesekali melanggar prinsip diri semata-mata dalam mencari pengiktifaran di laman sosial.

“Bila menonton kembali video yang di muat naik itu saya sendiri menangis sebenarnya, melihat reaksi keluarga. Di dalam video itu, bila mereka gembira dengan berita kehamilan, saya sebak.

“Saya memilih untuk memuat naik video seperti ini adalah sebagai satu kenangan.

“Kita tidak boleh simpan semua dalam telefon nanti pasti ada yang hilang. Jadi bila ada saluran YouTube, kita tahu benda itu lebih selamat, kita boleh menonton pada bila-bila masa sahaja,” katanya.

Masih menghormati pendirian mereka di luar sana setiap kali mahu berkongsi apa sahaja konten yang disediakan, kala ini, Ain juga akan menjadikan nasihat rakan-rakannya sebagai panduan sebelum membuat apa-apa keputusan.

“Untuk berkongsi momen melahirkan anak itu memang tidak akan berlaku. Perkara itu tidak akan mungkin diterima dengan baik rakyat Malaysia. Malah, saya juga anggap perkara itu terlalu peribadi.

“Ikutkan setiap kali menyiapkan apa-apa konten saya akan tanyakan kepada rakan-rakan dahulu sama ada sesuai untuk dikongsi. Jika ada yang kata tidak saya memang akan buang sahaja,” jelasnya yang kini semakin meniti tangga populariti.

Ain mengakui peminat suka melihat gelagat suaminya yang kelakar di media sosial

KEJUTAN

MEMILIH untuk tidak mahu tahu jantina bakal bayinya, kongsi Ain Edruce, itu adalah kejutan yang mahu dikekalkan sehingga melahirkan anaknya kelak.

Mengakui sukar, tetapi jelas pengacara dan pelakon ini, dia yakin momen yang akan berlaku itu nanti menjadi antara kenangan paling indah buat dirinya dan suami, Amirul Hafiz Mustaffa.

“Saya dan suami memilih untuk mengetahui jantina anak kami selepas selamat melahirkannya nanti. Jujurnya suami saya mungkin boleh tahan untuk tidak tahu akan jantina bayi ini tetapi saya sendiri tidak tahu (ketawa)

“Ikutkan tidak ada masalah doktor sendiri akan hormat kalau permintaan kita begitu, cumanya tidak akan ada lah majlis baby shower.Tetapi tidak mengapalah, lebih seronok begitu. Buat masa sekarang kami juga hanya membeli keperluan bayi mengikut warna selamat sahaja semuanya putih,” katanya.

Berada dalam fasa lima bulan kandungannya, kata Ain ketika ini ada yang berbeza mengenai dirinya. Bukan sahaja perubahan bentuk badan tetapi apa yang cukup membingungkan dirinya kini bagaimana dia mampu berubah menjadi seorang wanita yang cukup sensitif.

“Perbezaan bagaimana waktu malam memang saya sukar mahu tidur, badan jadi tidak selesa. Selain itu, saya lebih sensitif. Apa sahaja filem boleh buat saya menangis tanpa sebab.

“Ikutkan saya bukan seorang yang begitu. Memang sangat berbeza dengan diri saya sebelum ini. Terlalu emosional.

“Cumanya sepanjang pengalaman mengandung ini saya tidak nafikan suami menjadi lebih romantik dan bertanggungjawab. Setiap malam juga dia akan mengambil masa mengurut kaki selain sentiasa berkongsi nasihat mengenai apa yang boleh dan tidak boleh makan,” katanya.

Dalam dunia berhadapan dengan penularan wabak Covid-19, tentunya banyak aktiviti yang perlu dihadkan dirinya. Bagaimanpun dalam melalui kehidupan harian tanpa kerisauan kongsi wanita berusia 29 tahun ini dia sentiasa berhati-hati.

“Tipulah kalau saya tidak rasa gementar setiap kali keluar rumah, malah dengan banyak tempat diisytihar sebagai kawasan merah kini memang menakutkan.

“Tetapi sebagai ibu mengandung kadang-kadang memang timbul rasa teringin mahu makan sesuatu di luar, jadi saya juga kadang tidak terlalu tertekan dalam memikirkan soal itu,” tambahnya.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN