Rahmat 'Mega' kini pekebun nanas - Utusan Malaysia

Rahmat ‘Mega’ kini pekebun nanas

RAHMAT kini mengusahakan tanaman nanas secara komersial di Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMEGANG prinsip ‘kalau tak jatuh terduduk, tak mungkin juga akan naik ke kemuncak’, Rahmat Mega tetap berdegil untuk meneroka pelbagai cabang perniagaan meski pernah dua kali meratap kekecewaan gagal berniaga.

Pernah terlibat dalam perniagaan sewaan tapak medan selera, vokalis yang popular dengan lagu Bayangan Gurauan ini sudi berkongsi cerita bagaimana dia terpaksa pejam mata menanggung kerugian sehingga RM400,000.

Bukan kerana ditipu, tetapi kata Rahmat, keadaan semasa telah menyebabkan dia terpaksa melupakan bisnes tersebut yang terletak di Puchong, Selangor meski sempat beroperasi selama setahun.

Memulakan perniagaan tersebut pada hujung tahun 2018, entah mengapa sedari awal seakan sudah ada petanda bahawa dia tidak akan berlama-lama dengan tapak medan selera tersebut.

“Satu ketika medan selera itu pernah dilanda ribut dan roboh sampai saya terpaksa mengeluarkan modal sekali lagi untuk membaik pulih tempat berkenaan. Bayangkan, saya terpaksa menjual beberapa aset yang ada termasuk kereta untuk dijadikan modal.

“Tetapi setelah RM400,000 dihabiskan, tetap juga bisnes tersebut tidak balik modal apatah lagi masuk sahaja bulan Mac tahun ini, dunia pula dilanda pandemik Covid-19.

“Bila lalu kawasan itu dan tengok, rasa sedih juga.Jujurnya, memang saya menangis bila memikirkan telah banyak yang dilaburkan untuk memastikan bisnes itu mampu digerakkan. Tetapi, apakan daya,” katanya.

Meski pelbagai usaha telah dilakukan, Rahmat bagaimanapun gagal mendapatkan penyewa di tapak medan selera tersebut menyebabkan dia tidak mempunyai pilihan lain kecuali berhenti.

Mengubati nestapa di hati, penyanyi ini kemudiannya ditakdirkan bertemu dengan seorang individu yang memberinya jalan untuk meneroka pula bidang perniagaan lain berasaskan pertanian.

Sesuatu yang belum pernah diceburi olehnya, Rahmat kemudiannya memberanikan diri untuk belajar selok-belok dunia perladangan dengan fokusnya adalah tanaman nanas di Muar dan Kulai.

“Semasa awal tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saya ada cuba berjinak-jinak dalam projek mencari tanah untuk tanaman ini. Dalam masa sama, bekerjasama dengan peladang sedia ada untuk bantu mereka menjual hasil tanaman.

“Tanaman nanas yang popular adalah kategori MD2 yang mendapat banyak permintaan di serata negara,” katanya.

Jelas teruja saat bercerita mengenai penerokaan baharunya ini, Rahmat sedar barangkali ada yang tertanya-tanya mengapa seorang artis atau selebriti sepertinya ingin keluar daripada bidang seni dan menjerumuskan diri dalam bidang yang jauh berbeza seperti perladangan.

Baginya, dalam keadaan pelbagai sektor terjejas kerana pandemik, dia tidak boleh bergantung harap pada satu cabang sahaja dan perlu berani keluar dari zon selesa.

“Kalau dilihat, industri pertanian tidak terkesan dan mampu mandiri berbanding industri lain ketika pandemik ini. Pasar dibuka dan orang masih perlu untuk membeli sayur, ikan dan bahan mentah untuk keperluan di rumah.

“Jadi tak salah jika saya mencuba bidang ini pula memandangkan permintaan itu ada selain dapat membantu peladang dan petani kecil lain menerusi pembelian secara pukal dan menjualnya pada skala yang lebih besar,” katanya.

 

RAHMAT menghabiskan banyak masa di ladang nanas berbanding kehidupan sebagai artis.

 

Dilihat begitu komited dengan perniagaan nanasnya kini, Rahmat mengakui lebih gembira dan tenang menceburi bidang ini tanpa perlu memikirkan soal persaingan sebagaimana hidupnya ketika bergelar artis.

“Nampak saya gembira kah? Ya betul lah tu, saya rasa lebih tenang dan dihargai dalam bidang ini. Kalau dibandingkan dengan dunia hiburan, memang banyak cabaran dan persaingan di mana, setiap hari ada sahaja wajah-wajah baru muncul.

“Berbeza dengan industri pertanian, kita sama-sama saling memerlukan dan membantu. Awak ada ladang, saya ada ladang, hasil kita tuai sama-sama.

“Kalau industri hiburan, saling berlumba-lumba untuk menonjol. Bukanlah nak kata ada yang saling menikam, tetapi masing-masing mestilah nak ke hadapan. Maka wujudlah persaingan,” katanya.

BUAT APA MALU?

Bercerita lanjut mengenai perniagaan nanasnya, kata Rahmat, dia tidak malu andai kata ada pihak selepas ini menggelarnya dengan panggilan ‘Rahmat Nanas’ berbanding Rahmat Mega.

Menganggap ia juga adalah satu daripada promosi berkesan, penyanyi ini mengaku tidak perlu merasa malu dengan perniagaan yang dijalankan.

“Okeylah tu. Lagipun, dalam industri pertanian, mereka pun sedang mencari ikon artis yang terlibat dalam bidang ini. Memang sebelum ini ada, tetapi kebanyakannya dibayangi oleh orang lain di belakang.

“Contohnya ada orang beri dana dan sebagainya. Macam saya, segala-galanya diusahakan daripada bawah, mengguna­kan modal sendiri bersama rakan niaga. Pendek kata, daripada A sampai Z, saya usahakan sendiri.

“Sekarang alhamdulillah, orang sudah mula tahu mengenai perniagaan yang saya buat ini dan ada yang minta saya membantu mereka meluaskan pemasaran hasil tanaman,” katanya.

LAGU ISTIMEWA

Mungkin kedengaran agak pelik, tetapi kata Rahmat, dia juga telah menghasilkan sebuah lagu mengenai tanaman nanas sebagai signifikasi dan dedikasinya kepada cabang baharu bisnesnya itu.

Menulis sendiri lirik dan lagu, Rahmat mengambil kesempatan yang sama untuk mengkomersialkan lagu berjudul Puteri Mahkota itu untuk semua pendengar dan peminat.

“Lagu itu memang bercerita mengenai nanas dan kepelbagaian jenisnya. Antara jenis yang disebut dalam lagu ialah MD2, Moris, Josephine, Yankee dan Madu Kaca.

“Sengaja saya hasilkan lagu itu, bukan untuk tujuan korporat pun, tetapi sekadar suka-suka.

“Kalau ada pihak nak lagu itu, contohnya lembaga pertanian, boleh sahaja saya nyanyikan dalam majlis mereka dan sebagainya,” katanya.

Ditanya faktor menjadikan dirinya kuat saat berdepan dengan gelombang tidak menentu dalam dunia perniagaan, kata Rahmat: “Jatuh bangun, melabur duit dan rugi ini bagaikan sudah lali dirasakan. Sampaikan mahu melabur dalam sesuatu perniagaan itu, dah tiada rasa takut dah.

“Sebab, kita hanya merancang. Dan selebihnya, Dia yang tentukan, Paling penting, mental kena kuat. Kebanyakan orang, kalau sudah gagal sekali, mereka dah serik. Tetapi macam saya katakan awal-awal, kalau kita tidak jatuh, kita tidak akan naik,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×