TIDAK pernah sekali berpaling daripada cinta, Puan Sri Normala Samsudin melangkah kembali membuktikan dia masih teguh berdiri sebagai salah seorang ikon pengacaraan yang disegani ramai.
Tidak hairan, kemunculan semulanya membuat ramai peminat ‘menjerit’ suka.
Bukan menghilang apatah lagi berkecil hati, kasih dan sayang membina keluarga bahagia perlu diutamakan. Cintanya kepada dunia seni tidak pernah punah namun perlu dimalapkan sementara. Memberi izin hatinya dipenuhi bunga cinta bersama keluarga.
Ibarat sirih pulang ke gagang, kemunculannya sebagai mentor program realiti, Ratu Hijabista membuatkan rata-rata peminat tertanya-tanya, adakah kelibat Normala Samsudin bakal terus mewarnai layar kaca kita?
Hanya tersenyum manis secocok wajah anggunnya, Normala dengan nada penuh santun berkata, kemunculannya adalah untuk berkongsi ilmu dan memberi tunjuk ajar kepada anak muda khususnya gadis remaja bagi mendalami dunia pengacaraan.
Malah dia juga bersedia untuk berdepan cabaran dunia seni modenisasi kini yang semakin berliku. Kecaman dan kritikan dilempar begitu sahaja. Tanpa mengenal sakit dan pedih di hati sesiapa.
“Orang tetap akan mengkritik. Dahulu juga ada cuma sekarang sangat berbeza. Cuma saya berpegang kepada kata, tiada manusia yang sempurna. Kita semua ada buat silap, itu lumrah. Belajar dan terus memperbaiki diri.
“Apatah lagi saya sudah lama meninggalkan dunia pengacaraan, pasti ada kekoknya. Cuma bila cakap soal cinta kepada dunia seni ini, sedikit sebanyak rindu itu terubat. Mana tahu, comeback saya memberi warna kepada dunia seni kini,” kata wanita berusia 56 tahun ini.
Pastinya kemunculan semulanya memberi tamparan kepada pengacara muda. Sering kala namanya diangkat sekiranya perbandingan mahu dilakukan. Rata-rata pengacara muda pasti dibanding dengan ikon penuh wibawa ini.
Tidak mahu berpandangan negatif, bagi Normala, dibandingkan dengan pengacara lebih senior adalah perkara biasa. Malah dia juga pernah berada dalam situasi itu. Namun, pengalaman mematangkan seseorang.
Kita tidak patut menghakimi atau mem-bandingkan seseorang. Memang itu mungkin perkara biasa, kita tidak boleh halang namun, berpada-pada. Setiap orang ada kelebihan masing-masing.
“Saya juga pernah buat salah. Begitu juga dengan pengacara lain. Jadi gilap bakat kita. Buktikan kepada peminat kita mampu memperbaiki diri seiring doa dan harapan mereka,” katanya yang mendapat gelaran Wanita Melayu Terakhir daripada peminat.

Bersenam, jaga makan kunci awet muda
Cuba mengorek rahsia kecantikan, Normala menyambut soalan dengan tawa kecil. Menjaga pemakanan dan sentiasa berfikiran positif adalah antara kunci awet muda. Malah, kematangan seseorang juga menampakkan diri matang dan berwibawa.
“Make-up semua ini! Di usia ini, kita kena belajar mencintai setia apa yang ada. Jaga makan dan selalu bersenam. Macam saya suka mendaki. Wanita makin lama makin expired, itu lumrah cuma kita kena bijak membawa diri. Pengalaman itu emas.
“Suami saya juga beri lampu hijau untuk saya kembali ke dunia seni. Cuma kena pandai jaga dan susun jadual. Kami orangnya sederhana, hidup seadanya. Lebih suka hidup begini. Tenang sahaja,” katanya mengakhiri bicara.










