Wajib ada unsur budaya dalam lagu - Utusan Malaysia

Wajib ada unsur budaya dalam lagu

LUCA SICKTA -MINGGUAN/ MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA zaman teknologi semakin berkembang ini, segalanya hanya di hujung jari. Mungkin itulah salah satu faktor mengapa masyarakat sekarang lebih mudah terpengaruh dengan budaya Barat dan Asia Timur tanpa sedar budaya di tanah air mempunyai keunikan sendiri.

Itulah yang diperjuangkan oleh pemilik nama Shameer Ashraf Shahruddin Luca, atau lebih dikenali sebagai Luca Sickta, penyanyi rap dan penerbit yang kian membina reputasi dengan lagu-lagunya.

Jejaka berusia 31 tahun itu mula jatuh cinta dengan muzik hip hop seawal usia 14 tahun. Dia sering mendengar lagu penyanyi rap antarabangsa, Tupac Shakur yang banyak berkongsi perasaannya melalui lirik.

“Saya bukan daripada keluarga senang sehingga pernah makan nasi dengan lauk bawang sahaja. Jadi, lirik dan mesej yang disampaikan Tupac dalam lagunya memberi saya motivasi, sekali gus selamatkan saya daripada diri sendiri.

“Tanpanya saya tak pasti apa akan jadi kepada diri. Mungkin akan jadi mamat yang ‘tarik bulan’,” selorohnya kepada Pancaindera.

Menjadikan Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd. Zain dan Allahyarham Tan Sri S.M Salim sebagai idolanya, karya seni mereka telah memberinya inspirasi untuk menerapkan elemen tradisional Melayu dalam setiap lagunya.

“Projek pertama saya bersama Kmy Kmo adalah mencampurkan bunyi hiphop dari Barat dan bunyi tradisional pada tahun 2018 dengan lagu bertajuk Gong Nekara.

“Dari situ jugalah orang ramai mula mengenali kami, diikuti dengan lagu Zuhud dan Tujuh Nasihat,” kata anak kelahiran Pahang itu.

Luca menekankan, rakyat Malaysia patut sedar budaya kita mempunyai bunyi sendiri yang harus dihargai dan diperjuangkan sampai bila-bila.

“Kami mahu orang muda tahu bahasa Melayu lama yang pernah ada. Lagu yang saya keluarkan akan mengekalkan unsur warisan budaya supaya semua orang boleh dengar termasuk orang tua.

“Cuba bayangkan jika tiada orang yang mahu mempertahankan budaya kita, makin lama pasti orang sudah tidak kenal siapa itu Datuk Seri Siti Nurhaliza atau Datuk M.Nasir. Saya tidak mahu perkara itu berlaku,” jelas anak tunggal itu.

Mengulas mengenai hubungan peribadinya pasti ramai tertanya-tanya mengapa jejaka muda dan rupawan ini masih belum mempunyai pasangan. Namun, jawapannya hanyalah kerana dia fokus kepada karier dan mahu berusaha menstabilkan diri dahulu.

“Perempuan yang ada dalam hidup saya sekarang hanyalah emak saya. Jika mahu ada pasangan, saya mahu yang sanggup susah senang bersama.

“Saya tidak tengok rupa sahaja, chemistry itu harus ada dan yang paling penting dia mesti pandai,” katanya yang bakal mengeluarkan single baharu tidak lama lagi.

Luca berharap pada masa hadapan, akan ada pelapis yang akan terus memperjuangkan warisan budaya Melayu. Ini adalah visi seninya yang terbuku lama dalam diri. – Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya