Cinta dan bahagia Amyra Rosli - Utusan Malaysia

Cinta dan bahagia Amyra Rosli

AMYRA ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

EMPAT tahun menyulam kasih sebagai suami isteri, dugaan dan ujian yang hadir tidak perlu dicanang. Mereka hadapi bersama berbekalkan sumpah janji sehidup semati tatkala lafaz akad bergema satu ketika dahulu.

Semakin matang dalam mengemudi bahtera perkahwinan, baik Amyra Rosli mahupun Amar Baharin, kedua mereka seakan sudah sebati dan tunas kepercayaan yang dahulu disiram dibaja saban hari semakin merimbun.

Malah kehadiran cahaya mata kedua mereka juga membuktikan kasih dan sayang tetap utuh tidak berganjak. Biar pun kedua mereka bergelar anak seni, namun kesibukan dan kerja tidak menghalang mereka bersama mematangkan diri.

“Alhamdulillah, pejam celik sudah empat tahun hidup bersama. Banyak yang kami lalui. Semua itu satu pengalaman yang mamatangkan. Saya gembira dengan keluarga kecil yang cukup membahagiakan ini.

“Baik saya atau Amar, masing-masing tahu dan faham dengan peranan sendiri. Tidak ada lagi istilah simpan dalam hati. Semuanya diluahkan secara matang dan terus dibincangkan mencari solusi.

“Kepercayaan adalah tiangnya. Kalau tak perlu dibahaskan, kita boleh elakkan salah faham. Cukup kita tahu, keluarga ini lebih penting untuk dipertahankan,” kata Amyra membuka bicara.

AQEEF Anaqi dan Ayra Aryssa adalah bukti cinta serta kebahagiaan Amyra dan Amar.

 

Berbicara soal kehidupan sebagai anak seni, pelakon cantik ini tahu langkahnya perlu diatur dengan berhati-hati. Terutama di kala ada sahaja kakitangan jabatan netizen yang memerhati. Silap sedikit, berduyun kecaman diterima.

Namun dia lebih mudah menghabiskan sahaja masa bersama keluarga. Malah perkongsian di media sosial juga atas dasar kerja dan peminat. Selebihnya dia simpan sendiri dalam memori bersama keluarga.

“Saya sebenarnya lebih selesa menghabiskan masa bersama keluarga. Lepas penggambaran pun saya terus pulang ke rumah, tak pandai lepak luar. Saya pun tak ramai kawan. Keluarga besar, jadi lebih seronok.

“Bagi saya, lepak di luar itu seperti membuang masa. Jadual saya ketika penggambaran memang sibuk dan padat. Nak berjumpa pun susah. Jadi lebih baik saya luangkan bersama keluarga bila ada kekosongan waktu,” kata wanita berusia 29 tahun ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×