Jangan 'hangat-hangat tahi' isu Israel-Palestin

Jangan ‘hangat-hangat tahi ayam’ isu Palestin-Israel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LEDAKAN teknologi semasa termasuk penggunaan media baharu dilihat sebagai antara pencetus kepada tahap kesedaran yang lebih tinggi dalam kalangan umat Islam di negara ini khususnya generasi muda berhubung konflik yang melibatkan Palestin dan Israel.

Timbalan Pengarah Pusat Islam Universiti Sains Malaysia (USM), Zayd Zhari berkata, meskipun isu tersebut sudah berlarutan sejak beberapa dekad lalu, beliau berpendapat, perhatian yang diberikan oleh generasi muda terhadap isu berkenaan semakin serius.

“Seingat saya, sejak 1948 lagi isu ini telah mendapat perhatian dunia, namun, di negara ini terutamanya, ia bersifat tidak menentu. Adakalanya ia agak rancak, panas, lesu dan suram.

“Bagaimanapun, kesedaran itu sejak akhir-akhir ini tampak berlainan dan secara peribadinya saya berpandangan, ia mungkin berpunca daripada ledakan media baharu.

“Kalau kita lihat, ledakan ini telah digunakan oleh anak-anak muda untuk sama-sama menghayati selain cuba menjiwai apa yang sedang berlaku di bumi Palestin sekarang.

“Pembunuhan, pengeboman, anak-anak kecil mati, warga tua mati syahid dan sebagainya yang dikongsi menerusi ledakan media baharu ini telah mencetuskan suatu kesedaran tinggi di peringkat global termasuk Malaysia dan ia dilihat lebih memuncak berbanding sebelum ini,” katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.

Zayd berkata, ledakan luar biasa itu juga telah mencetuskan suatu tindakan boikot yang disifatkannya sangat memberi kesan berbanding sebelum ini sehingga tokoh agama termasuk mufti serta pihak yang menjadi mangsa pemboikotan terpaksa tampil mengeluarkan kenyataan yang hukumnya harus berjual beli serta jangan terlampau memboikot.

“Isu jual beli dan melampau dalam sesuatu perkara itu sudah tentu ada pandangan berbeza kerana agama Islam itu dibina atas dasar ‘wasatiyyah’ atau kesederhanaan.

“Dalam hal ini, paling penting adalah bagaimana untuk merangka satu strategi untuk menghadapi sesuatu perkara itu termasuk isu antarabangsa. Ia (tindakan boikot dan sebagainya) tidak boleh dilihat sebagai ‘one-off’ atau jika berlaku sesuatu isu, baru ada tindakan susulan yang diambil.

“Islam adalah agama yang mementingkan strategi dan Rasulullah SAW sendiri pun amat menitikberatkan strategi. Nak berperang kena ada strategi, nak kuasai ekonomi kena ada strategi dan sebagainya. Kalau tidak, semua perkara akan jadi ‘hangat-hangat tahi ayam’ sahaja,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Zayd yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Masjid Al-Malik Khalid, USM berkata, solidariti untuk Palestin sebenarnya adalah satu tuntutan agama selagi ia tidak bercanggah perkara-perkara yang digariskan oleh Islam.

“Boleh berhimpun (demi solidariti Palestin) tapi ia perlu disertai dengan adab tata susila serta tatakelola yang tinggi seperti berhimpun untuk menyatakan pandangan, tidak membuat kerosakan, tidak melampau dan sebagainya.

“Dalam hal ini, agama Islam sendiri menuntut kita untuk bersama dengan bersolidariti agar menjadi satu ummah yang lebih kuat,” katanya yang gembira dengan solidariti yang ditunjukkan oleh generasi muda ketika ini khususnya mahasiswa USM dalam isu melibatkan Palestin.-UTUSAN

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.