Rumpai laut mampu jadi pengganti nasi - Utusan Malaysia

Rumpai laut mampu jadi pengganti nasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Rumpai laut merupakan sejenis tumbuhan alga mengandungi 1001 manfaat yang baik untuk kesihatan tubuh badan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kandungannya yang penuh dengan serat dan mineral mampu memberikan khasiat terbaik untuk tubuh badan jika diamalkan secara konsisten.

Sayangnya, pengetahuan tentang kebaikan tumbuhan berkenaan masih belum meluas dalam kalangan masyarakat Malaysia berbanding negara-negara luar.

Indonesia dan Singapura misalnya, sudah pun mempromosikan rumpai laut sebagai superfood kerana khasiatnya yang baik kepada tubuh badan sekali gus melahirkan masyarakat yang mengamalkan pemakanan sihat.

Tidak mahu terus ketinggalan, penyelidik daripada Universiti Malaya (UM), Dr. Adibi Rahiman Md. Nor giat mempromosikan rumpai laut sebagai makanan harian dalam kalangan masyarakat tempatan.
Malah, menjadi salah satu misi terbesarnya adalah untuk melihat rumpai laut dijadikan makanan ruji untuk gaya hidup lebih sihat suatu masa nanti.

“Rumpai laut jenis Gracilaria fishery atau lebih dikenali sebagai Sarer umpamanya sangat sesuai dijadikan makanan ruji atau sebagai pengganti nasi.

“Ia memiliki kandungan fiber yang tinggi dapat memberikan rasa kenyang sama seperti makan nasi tetapi sudah tentu ia lebih berkhasiat.

“Dengan pengambilan secara berterusan ini juga dapat membantu menjimatkan kos penjagaan kesihatan apabila tidak perlu lagi membeli makanan tambahan untuk memenuhi zat dan nutrisi yang diperlukan badan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Malah, tambah Dr. Adibi, rumpai laut juga mampu mengatasi masalah kekurangan nutrisi dalam kalangan kanak-kanak yang menyebabkan masalah seperti pertumbuhan otak yang lambat serta saiz kepala yang besar.

Terutamanya bagi kanak-kanak dalam keluarga yang kurang berkemampuan boleh menggantikan sumber protein daripada ikan dengan mengamalkan rumpai laut yang lebih murah.
Pengkulturan tempatan

Bagi menyokong usaha itu, satu inovasi dilakukan di beberapa buah negeri di semenanjung bagi memastikan kelestarian penghasilan rumpai laut untuk pasaran tempatan.

Kekangan rumpai laut yang sebelum ini hanya terhad di Sabah diatasi melalui pengkulturan tumbuhan berkenaan di semenanjung untuk meluaskan penggunaan rumpai pada masa hadapan.

Antara yang giat diternak pada ketika ini adalah Sarer yang juga merupakan makanan tradisi masyarakat Kelantan khususnya pada bulan Ramadan.

Projek berkenaan diusahakan berskala besar di Parit Bulat, Muar, Johor dan terbaharu di Kampung Pulau Gajah, Pantai Sabak, Kota Bharu bagi mengurangkan kebergantungan bahan mentah tersebut daripada negara luar seperti Thailand.

Kaedah pengkulturan yang digunakan adalah integrasi antara rumpai laut, ikan dan tiram.

Kombinasi spesis berkenaan bertujuan memastikan keseimbangan ekosistem dan kandungan nutrien dalam kolam tersebut.

Menurutnya, setiap spesis itu memberi manfaat antara satu sama lain iaitu ternakan akan menghasilkan banyak nutrien melalui najis dan makanan yang tidak habis dimakan.

“Rumpai laut akan bertindak sebagai penapis biologi yang menyerap lebihan nutrien dalam air manakala tiram memainkan peranan sama bagi menapis partikel yang besar untuk memastikan persekitaran dalam kolam berada dalam keadaan selamat dan sihat,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN