Kebun sayur unik dijana komuniti Seksyen 8 Prima - Utusan Malaysia

Kebun sayur unik dijana komuniti Seksyen 8 Prima

PARA Penduduk Seksyen 8 Prima, Bandar Baru Bangi, Selangor bergotong-royong mengusahakan kobuniti dalam kejiranan mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAYANGKANLAH sudut kecil padang permainan kanak-kanak yang subur dipenuhi dengan kacang buncis, cili padi, peria, kangkung, kailan, timun Jepun, tomato dan kacang panjang

Bukan sahaja ‘meriah’ batas pelbagai jenis sayur-sayuran, malah sebuah kolam kecil ternakan ikan air tawar turut terdapat di tepi kawasan padang rekreasi awam seluas empat hektar itu.

Bagaimanapun, ia bukan hasil kerja bersendirian. Sebaliknya usaha bersama ribuan warga perumahan Seksyen 8 Prima di Bandar Baru Bangi, Selangor yang bermula akhir Ogos lalu.

“Ia tercetus apabila ramai penduduk kerja dari rumah susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” kata pesara swasta yang juga Pengarah Projek Kebun Komuniti, Mohd. Said Jaafar.

Justeru ujarnya, mesyuarat kali pertama awal Julai lalu menyaksikan penubuhan Biro Kebun Komuniti dan disertai 80 ahli sebelum mendapat kelulusan dari Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Pihak berkuasa tempatan itu bahkan mengizinkan Persatuan Komuniti Seksyen 8 Prima yang dipengerusikan Mohd. Safuan Radzali bagi mengusahakan satu perlima zon padang tersebut.

“Kebetulan lokasinya terletak strategik di tengah perumahan ini dan kami mula gotong-royong sebulan kemudian dengan inisiatif dana sendiri,” jelas Mohd. Said yang kini berusia 60 tahun.

 

MOHD. SAID JAAFAR

USAHAKAN TANAMAN KONTAN, JUAL LEBIH MURAH

Mereka memilih tanaman jenis kontan dan komersial kerana ia mudah ditanam serta hasilnya cepat dituai untuk dijual kepada para penduduk dengan harga lebih murah daripada pasaran.

Selain itu kata Mohd. Said, beberapa pokok buah antaranya rambutan dan nanas turut ditanam di lereng padang berkenaan menerusi kaedah pertanian moden bagi mengisi kawasan lapang.

Usaha gigih mereka turut menarik perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Ramal, Mazwan Johar yang sudi hadir merasmikan kebun komuniti itu sambil meninjau tapak di situ, baru-baru ini.

Beliau turut berjanji sedia menyalurkan bantuan kewangan dan meluahkan rasa syukur dek projek itu turut dilawati Pejabat Pertanian Daerah Hulu Langat bagi memberi khidmat nasihat.

 

Mazwan Johar (duduk kanan) melakukan gimik melepaskan ikan di kolam sebagai simbolik perasmian dalam majlis perasmian Kebun Komuniti Seksyen 8 Prima di Bandar Baru Bangi.

KOBUNITI ERAT HUBUNGAN

Dalam pada itu, Mohd. Safuan, 56, ketika ditemui berkata, seksyen itu yang dibuka awal 2003 lalu mengandungi lima fasa dan merupakan perumahan teres terbesar di Bandar Baru Bangi.

Dengan 645 unit kediaman dan lebih 3,000 penduduk, kebun komuniti itu bukan sekadar ‘ajak’ mereka bertani, malah mengeratkan perhubungan masyarakat dan amalan gaya hidup sihat.

“Kami juga mahu menolong penduduk kurang berkemampuan untuk mendapatkan produk tani pada harga murah menerusi program Laman Dapur tanpa perlu ada orang tengah,” katanya.

Beliau yang bertugas sebagai Pengarah Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) berkata, beberapa pihak luar turut berminat menjadi rakan strategik antaranya Nas Agro Farm.

Ini membolehkan kebun komuniti tersebut dapat menanam cendawan bermutu tinggi dengan kerjasama syarikat terkenal berpusat di Sepang, Selangor itu dan dipasarkan ke seluruh negara.

“Persatuan ini berharap, jika aktiviti kebun komuniti berjaya, kami dapat mewujudkan platform e-dagang tersendiri bagi jual segala hasil tani dengan lebih luas lagi,” tambah Mohd. Safuan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN