Sembilan tahun dalam bidang fertigasi menjadi pencetus idea bagi seorang belia juga generasi kedua Felda Semenchu, Kota tinggi di Johor membantu warga peneroka dalam meningkatkan pendapatan melalui kaedah bertani secara moden yang mudah.
Buktinya apabila seramai 50 peserta pertama dari Program Pembangunan Peneroka (PPP) Felda di kampung berkenaan berjaya menjadi perintis melalui kaedah tanaman cili secara ‘kotak fertigasi’.
Pencetusnya, Mohamad Noralam Sahroni, 40 berkata, ‘kotak fertigasi’ ini adalah yang pertama di Malaysia dan golongan peneroka serta penerokawati Felda adalah yang terawal menggunakan sistem tersebut.
Menurutnya inovasi tersebut terhasil melalui perbincangan pihaknya dengan Felda melalui Jabatan Pertanian Perikanan Ternakan (JPPT) untuk mewujudkan konsep tanaman selari dengan hasrat PPP yang berkehendakkan peneroka mengaplikasikan teknologi moden pertanian.
“‘Kotak fertigasi’ adalah satu inovasi baharu yang ditambah baik daripada sistem fertigasi yang sedia ada. Berbanding dengan sistem fertigasi biasa ‘kotak fertigasi’ ini lebih mesra pengguna yang merangkumi sistem pengairan dan pembajaan yang lebih ringkas serta mudah alih pada saiz yang kompak.
“Kotak ini mudah dipasang dan hanya memerlukan ruang yang minima. Ia didatangi dengan spesifikasi saiz yang tertentu iaitu 25 kaki x 3 kaki x 6 kaki yang mampu menampung 100 polibeg melalui sistem gantung.
“Ini secara tidak langsung membantu menyelesaikan masalah kekangan tapak juga kos yang dapat dikurangkan,” katanya.
BANTU JANA PENDAPATAN
Mohamad Noralam berkata, beberapa prototaip telah dibuat sebelum kaedah ‘kotak fertigasi’ dapat dihasilkan yang dalam masa sama membantu warga peneroka meningkatkan pendapatan antara RM200 ke RM300 sebulan.
Katanya, pihaknya mensasarkan kotak itu digunakan semua golongan penduduk sama ada di kawasan bandar mahupun desa yang mempunyai kadar ruang halaman yang sederhana mahupun kecil.
“Kaedah ini sangat sesuai digunakan oleh golongan yang baru berkecimpung dalam bidang pertanian.
“Alhamdulillah kini 50 peserta PPP di Felda Semenchu mula menghantar hasil cili pada setiap Isnin dan Khamis di Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian (PPHP) di tempat kami dan secara tidak langsung dapat meningkatkan ekonomi mereka,” katanya.


Noralam berkata, beliau juga berhasrat mendaftarkan ‘kotak fertigasi’ dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dalam masa terdekat bagi memastikan ciptaan yang dihasilkan terpelihara.
Menceritakan lanjut berkenan latar berlakangnya, Noralam berkata, dia mula berkecimpung dalam bidang pertanian fertigasi sejak tahun 2013 dengan 800 polibeg cili ditanam di belakang rumah ibu bapanya di Felda Semenchu.
“Bemula dengan mengusahakan tapak fertigasi secara kecil-kecilan kemudian pernah menguruskan hampir 35,000 polibeg. Alhamdulillah kini kami sudah ada Pusat Sehenti Fertigasi di Felda Semenchu.
“Di pusat ini terdapat akademi latihan fertigasi, pusat jualan, pusat pengumpulan hasil pertanian myGap dan kebun fertigasi yang terletak di dalam satu tempat yang sama di felda ini.
“Kami juga mempunyai 15 kakitangan tetap tidak termasuk kira-kira 10 peneroka dan penerokwati yang memberi khidmat sambilan di sini,” katanya.
Bagi Noralam apa yang diharapkan inovasi ‘kotak fertigasi’ yang dihasilkan dapat digunakan serta memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat, warga peneroka Felda khususnya dan seluruh rakyat Malaysia amnya yang terlibat dalam bidang pertanian.










