Pentingnya ucapan insya-Allah - Utusan Malaysia

Pentingnya ucapan insya-Allah

Sebahagian manusia terlalu yakin akan sesuatu perkara sehinggakan terlupa bahawa tingkah lakunya tertakluk kepada keizinan Allah. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sebahagian manusia kadang kala merasa terlalu yakin akan sesuatu perkara sehinggakan terlupa bahawa tingkah lakunya juga tertakluk kepada perancangan dan keizinan Allah. Hal ini termasuklah tidak menyandarkan ucapannya dengan kalimah insya-Allah iaitu kalimah yang mengaitkan atau mengembalikan sesuatu urusan kepada kehendak atau keizinan dariNya.

Secara asasnya, insya-Allah disandarkan untuk perbuatan yang akan dilakukan di masa akan datang.

Perintah atau anjuran mengucapkan kalimah ini dapat dilihat melalui firman Allah bermaksud:

Janganlah engkau mengatakan sesuatu untuk dikerjakan esok, melainkan dengan mengucapkan, in sya Allah. Dan ingatlah kepada Tuhanmu jika kamu lupa dan katakanlah, Mudah-mudahan Tuhanku akan memberiku petunjuk yang lebih dekat kepada kebenaranNya daripada ini. (Surah al-Kahfi: 23-24)

Apabila ditelusuri asbab al-nuzul (sebab penurunan) ayat, ia turun sebagai peringatan kepada Nabi Muhammad S.A.W atas ucapan baginda terhadap orang-orang Quraisy yang telah diarahkan oleh pendeta Yahudi untuk bertanyakan perihal roh, kisah Ashabul Kahfi, dan kisah Zulkarnain. Rasulullah berkata kepada mereka:

Esok akan aku khabarkan kepada kamu atas pertanyaanmu itu.

Menurut Tafsir Ibnu Kathir, Nabi SAW sama sekali tidak mengucapkan lafaz istithna’ (pengecualian) dengan menyebut in sya Allah dan mengakibatkan wahyu tak kunjung turun sehingga 15 hari.
Lalu setelah Rasulullah berada dalam keadaan sedih disebabkan tekanan dari orang Quraisy dan wahyu yang tak kunjung turun, akhirnya Allah menurunkan ayat untuk mengingatkan supaya tidak mengatakan atau menjanjikan sesuatu kepada orang lain kecuali dengan mengucapkan in sya Allah.

Apabila ditinjau dari sudut hukum, para ulama mengemukakan larangan (mengatakan sesuatu urusan di masa yang akan datang tanpa menyebut lafaz in sya Allah) dalam ayat di atas kepada hukum makruh, tidak sampai haram. Maka secara mafhum mukhalafah (pemahaman terbalik), hukum mengucapkannya tidak sampai wajib.

MUSTAJAB
Sebagaimana dikemukakan oleh Ibnu Muflih rahimahullah di dalam kitab al-Adab asy-Syar’iyyah, bahawa memberikan tambahan kata insya-Allah dalam memberikan khabar terhadap sesuatu urusan, hukumnya mustahab (dianjurkan).

Imam an-Nawawi rahimahullah di dalam kitab Syarh an-Nawawi ‘ala Muslim pula berkata:

Dianjurkan bagi seseorang ketika mengucapkan, “Saya akan lakukan itu dan ini”, untuk menambahkan lafaz insya-Allah dalam rangka untuk “tabarruk” (ambil berkah) dan mentaati perintah Allah.
Walaupun ucapan ini bukan suatu yang wajib menurut para ulama, namun hakikatnya ia telah menjadi amalan dan kebiasaan oleh Rasulullah dan para nabi terdahulu.

Dari Itban bin Malik radhiyallah ‘anhu, dia berkata:

Wahai Rasulullah, aku berharap anda dapat mendatangi rumahku, lalu anda mengerjakan solat di sana, kemudian akan aku jadikan tempat tersebut nantinya sebagai ruangan solat di rumahku.
Kemudian Rasulullah SAW bersabda kepadanya bermaksud:

Aku akan lakukan itu, in sya Allah. (HR. Bukhari, no. 425)
Contoh ungkapan insya-Allah para nabi terdahulu dapat dilihat melalui ayat-ayat al-Quran. Sebagai contoh, ucapan Nabi Isma’il ‘alaihissalam kepada ayahandanya Nabi Ibrahim ‘alaihissalam sewaktu peristiwa penyembelihan:

Engkau akan dapati diriku, in sya Allah seorang yang sabar. (Surah as-Saffat: 102)
Begitu juga sepertimana diucapkan oleh Nabi Yusuf ‘alaihissalam di dalam surah Yusuf, ayat 99, Nabi Musa ‘alaihissalam di dalam surah al-Kahfi, ayat 69 serta Nabi Syu’aib ‘alaihissalam di dalam surah al-Qasas, ayat 27.

Peri pentingnya ucapan ini juga terlukis melalui kisah manusia terdahulu sepertimana diceritakan dalam al-Quran dan hadith.

Apabila ditelusuri dalam al-Quran, surah al-Qalam, ayat 17-33, dikisahkan perihal pemilik kebun yang dilimpahi nikmat buah-buahan. Mereka kufur nikmat dikurniakan Allah ke atas mereka hingga tidak mahu mengeluarkan sedekah walau sedikitpun kepada orang faqir.

Mereka dengan penuh sombongan mengungkapkan lafaz sumpah bahawa mereka pasti akan memetik hasil di pagi hari tanpa mengucapkan lafaz insya-Allah.
Diringkaskan cerita, lalu Allah membuat mereka melanggar sumpah mereka sendiri dan mendatangkan musibah yang mengakibatkan kebun mereka terbakar dan menjadi hitam dan kering seperti malam yang gelap gelita sehingga akhirnya menjadikan mereka menyesal.

Apabila diteroka hadith pula, terdapat kisah berkenaan Nabi Sulaiman ‘alaihissalam sepertimana diriwayatkan dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu:
Sulaiman bin Dawud berkata, pada malam ini, aku benar-benar akan menggilir seratus orang isteri, sehingga setiap wanita akan melahirkan seorang anak yang berjihad di jalan Allah.” Lalu Malaikat pun berkata kepadanya, Ucapkanlah in sya Allah.

Namun ternyata beliau tidak mengatakannya dan lupa.

Kemudian beliau pun menggilir (isteri-isterinya) pada malam itu, namun tak seorang pun dari mereka yang melahirkan, kecuali seorang yang melahirkan bayi yang berbentuk setengah manusia. Nabi bersabda bermaksud:

Sekiranya Nabi Sulaiman mengucapkan in sya Allah, nescaya semua anak yang lahir akan menjadi mujahid fi sabilillah semuanya. (HR. Muslim, no. 3123)

Dari kisah terkandung dalam hadith di atas, Nabi Sulaiman ‘alaihissalam diuji oleh Allah dengan “kealpaan” sepertimana termaktub di dalam surah Saad, ayat 34.

Sehingga akhirnya menjadi pelajaran penting perihal adab tentang anjuran mengucapkan insya-Allah dalam sesuatu urusan dari generasi umat Islam terdahulu sehingga ke hari ini.
Wallahu a’lam.

——-
Artikel ini sumbangan Pengasas Pusat Pengajian Abu Faqih Centre, Muhammad Fahmi Md. Ramzan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya