Sasar lahirkan 1,500 penyembelih haiwan bertauliah - Utusan Malaysia

Sasar lahirkan 1,500 penyembelih haiwan bertauliah

Peserta diberi tunjuk ajar menyembelih haiwan ternakan dengan cara yang betul dalam Kursus Tauliah Penyembelihan Untuk Ahli Kariah Peringkat Daerah Port Dickson di Masjid Kariah Kampung Paya, Port Dickson baru-baru ini.. – UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Aktiviti penyembelihan ternakan seperti lembu, kambing dan bebiri sering dilaksanakan umat Islam di negara ini apabila ia berkaitan keperluan untuk ibadah akikah, korban atau majlis keraian.

Bagaimanapun, kebanyakan pengetahuan masyarakat ketika ini berhubung proses penyembelihan adalah secara turun-temurun daripada satu generasi ke satu generasi yang lain tanpa sebarang pentauliahan daripada mana-mana pihak bertanggungjawab.

Bagi mengatasi perkara itu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) menyasar melahirkan 1,500 penyembelih bertauliah di negeri ini terutamanya dalam kalangan orang awam menjelang Disember tahun ini.

Pengarah JHEAINS, Datuk Mohd. Zaidi Ramli berkata, sasaran itu boleh dicapai menerusi program kursus tauliah penyembelihan dalam kalangan ahli kariah masjid.

“Kami melihat kursus penyembelihan haiwan ini sangat baik dan ia pengiktirafan kepada mana-mana individu tersebut untuk membolehkan mereka mempunyai ilmu tentang penyembelihan.

“Di zaman dunia serba canggih ini, kami tidak mahu sebarang pertikaian berkaitan cara dan hukum-hakam penyembelihan diambil remeh.

“Penyembelih ada sijil dan binatang yang disembelih juga ada pengiktirafan halal, ia sekali gus dapat memberi keyakinan kepada masyarakat. Setiap masjid perlu di negeri ini perlu menghantar seramai lima wakil untuk mengikuti kursus ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kursus Tauliah Penyembelihan Untuk Ahli Kariah Peringkat Daerah Port Dickson di Masjid Kariah Kampung Paya, Port Dickson baru-baru ini.

Seramai 111 ahli kariah masjid di Port Dickson mengikuti kursus melibatkan 23 daripada 24 masjid di daerah ini.

MOHD. Zaidi Ramli (kanan) menyerahkan sijil pentauliahan penyembelihan kepada wakil peserta iaitu Pengerusi Masjid Jamek Datuk Abdullah Sijang, Shafie Mohamad.

 

MODUL ASAS

Sementara itu, kata Zaidi, terdapat beberapa modul asas yang perlu diikuti sepanjang kursus sehari bertujuan memastikan proses penyembelihan sempurna dan diiktiraf.

“Tiada sebarang isu berkaitan penyembelihan awam namun pihak kami mahu memberi pengiktirafan kepada masyarakat (ahli kariah) yang terlibat sewaktu penyembelihan pada hari raya korban.

“Kami juga ingin melatih generasi baharu untuk mengetahui cara yang betul untuk menyembelih. Selepas kursus selama sehari ini kami akan memberi sijil pengiktirafan kepada peserta yang terlibat,” katanya.

Jelasnya, kursus itu turut memberi pendedahan kepada peserta teknik penyembelihan yang betul, ceramah berkaitan penyembelihan serta ujian bertulis bagi semua peserta.

“Antara modul yang digunakan sepanjang kursus ini adalah garis Panduan Ibadah Korban dan Prosedur Permohonan Tauliah Penyembelihan bagi memberi pendedahan kepada peserta,” katanya.

Sementara itu, seorang peserta, Amiruddin Muttaqin, 24, berkata, pelbagai manfaat dapat diperoleh pada kursus penyembelihan yang diadakan oleh JHEAINS itu.

AMIRUDDIN MUTTAQIN

“Dalam kursus ini, saya dapat mempelajari pengenalan tentang penyembelihan dengan lebih terperinci, selain dapat mengetahui tentang urat-urat yang putus ketika penyembelihan berlaku. Ilmu seperti ini banyak manfaat,” katanya.

Amiruddin yang juga Pegawai Masjid Jamek Pasir Panjang berkata, ia merupakan pertama kali dia menyertai kursus sedemikian walaupun pernah sebelum ini menyertai aktiviti penyembelihan.

Seorang lagi peserta, Norfaizal Md. Nor, 41, berkata, kursus itu membantunya menambah ilmu berkaitan penyembelihan malah mendapat petua daripada tenaga pengajar yang berpengalaman daripada pihak JHEAINS.

NORFAIZAL MD. NOR

 

“Kali pertama saya menyertai kursus sebegini, memang sangat bagus dan bermanfaat terutama yang tidak mempunyai pengalaman dalam sembelihan haiwan ternakan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya