Menyebut tentang wang simpanan, kita hendaklah memastikan bahawa hak orang lain di dalamnya dikeluarkan pada setiap tahun. Itulah zakat wang simpanan. Suatu zakat yang perlu kita tekuni dengan lebih terperinci.
Hakikatnya, zakat wang simpanan itu dikenakan ke atas semua jenis wang simpanan kita, sama ada wang itu disimpan di dalam bank, di dalam peti besi, di dalam tabung buluh, di bawah tilam atau di mana sahaja. Selagi mana wang itu disimpan, maka ia masuk dalam kategori wang simpanan.
Begitu juga jika wang disimpan dalam bentuk pelaburan. Ada orang yang melabur dalam bentuk pelaburan jangka pendek, maka dia mendapat keuntungan segera. Ada yang membeli emas, lalu menyimpan wangnya dalam bentuk nilaian emas yang selalunya akan naik pada masa akan datang. Pokoknya wangnya boleh berkembang.
Ada juga wang yang disimpan mengikut mata wang negara tertentu. Mereka yang suka melancong selalunya rajin mengumpul mata wang negara asing. Itu juga sejenis wang simpanan. Ingatlah, wang itu ada nilaiannya dalam RM malah ada yang lebih tinggi dari RM bila ditukarkan.
Ada juga orang yang menukar wangnya kepada dinar atau dirham, katanya mahu mengikut sunnah nabi. Era Revolusi Industri (IR) 4.0 kini, ada orang yang menyimpan wang dalam crypto currency atau wang digital (Selangor sedang dalam proses memfatwakannya) dan ada yang menyimpannya dalam e-Wallet.
Pendeknya, mekanisme penyimpanan wang pada hari ini adalah pelbagai dan sangat variatif bentuknya. Wang simpanan tidak lagi boleh diindikasikan hanya kepada simpanan wang di bank semata-mata. Inti atau dasarnya, setiap wang simpanan itu ada zakatnya.
Di Selangor, Fatwa Zakat 2017 menyatakan, zakat ke atas wang simpanan hendaklah dikira dengan mengambil baki keseluruhan wang simpanan pada penghujung haul. Kenapakah Selangor tidak mengenakan zakat wang simpanan ke atas baki terendah di dalam haul? Ada beberapa justifikasinya.
Berdasarkan kaedah fiqh, iaitu at-tabi’ tabi’ iaitu zakat harta berkembang dikira bermula dari induk pengembangannya. Ia disamakan seperti zakat ternakan, dilihat pada penghujung haul jumlah keseluruhan ternakan dan bukannya dilihat pada sepanjang haul jumlah terendah ternakan yang dimiliki.
Mengelakkan elemen helah dalam kalangan muzakki yang mungkin dilakukan dengan sedar atau tanpa sedar. Jika Abu mempunyai dua akaun bank dan masing-masing akaun bank itu baki terendahnya di bawah nisab, maka Abu bebas daripada zakat wang simpanan.
Padahal, Abu telah membuat silang transaksi di pertengahan haul dengan mengeluarkan wang dari akaun A masuk ke akaun B, sehingga menyebabkan masing-masing akaun mempunyai baki terendah di bawah nisab.
Untuk mengira zakat wang simpanan di Selangor, maka pemilik wang simpanan perlu melihat jumlah keseluruhan simpanannya pada penghujung haul. Jika dia mempunyai lebih daripada satu akaun atau jenis simpanan, sila campurkannya semua. Kemudian, hendaklah dibuat pelarasan dengan menolak wang simpanan yang telah dizakatkan.
Contoh: Ali telah membuat potongan zakat pendapatan melalui gaji, lalu lebihannya dimasukkan ke dalam akaun simpanannya. Maka lebihan pendapatan itu sudah dizakatkan.
Nanti di penghujung haul, Ali hendaklah mengambil jumlah keseluruhan simpanan dan ditolak dahulu lebihan pendapatannya yang disimpan. Hanya bakinya sahaja yang perlu dizakatkan.
Ali turut mempunyai pelbagai bentuk simpanan, misalnya matawang asing, dinar, dirham, dan juga pelaburan emas. Maka Ali perlu mencampurkan keseluruhan bakinya dan menukarkannya ke dalam RM.
Formula: (Jumlah wang simpanan penghujung haul + pelbagai bentuk simpanan lain) – Jumlah simpanan yang telah dizakatkan = Baki mencapai atau melebihi nisab x 2.5%.
Jika seseorang itu menyimpan wang di dalam institusi yang sudah membayarkan zakat bagi pihaknya, misalnya Tabung Haji (TH) maka dia tidak perlu lagi menunaikan zakat bagi wang simpanan itu.
Namun, sekiranya wang simpanannya yang berada di luar TH masih tidak mencapai nisab, maka dia wajib mencampurkannya dengan jumlah wang simpanan di dalam TH untuk melihat jumlah keseluruhannya adakah mencapai nisab atau tidak. Jika mencapai nisab, dia wajib mengeluarkan zakat atas wang simpanannya yang berada di luar TH itu.
Bagi wang KWSP yang dikeluarkan, ia bukanlah termasuk dalam kategori wang simpanan, sebaliknya ia adalah sebahagian daripada pendapatan yang wajib dizakatkan sebagai zakat pendapatan. Maka pengeluaran wang KWSP tidak perlu dicampurkan dengan lain-lain simpanan untuk dizakatkan.
Jika seseorang itu menyimpan wangnya di sektor yang tidak halal atau tidak patuh syariah, maka dia tidak boleh mencampurkan apa sahaja pengembangan daripada simpanannya. Misalnya faedah tahunan yang diberikan. Hanya pokok simpanannya yang wajib dizakatkan.
Di Selangor juga, mulai tahun 2017 semua jenis wang simpanan hendaklah dicampurkan dengan pelaburan dan emas yang dimiliki (sama ada emas bukan perhiasan dan emas perhiasan yang melebihi uruf), kemudian baharu dikirakan zakatnya.
Formula: Wang simpanan + Wang pelaburan + Emas bukan perhiasan + Emas perhiasan melebihi uruf = Jumlah mencapai atau melebihi nisab x 2.5%.
Wallahua’lam.
- Disediakan oleh Ustaz Hamizul Abdul Hamid, Pengurus Jabatan Sekretariat Dakwah, Lembaga Zakat Selangor (MAIS) dan sebarang persoalan sila emel ke [email protected].










