Keunikan Masjid Buluh Gua Musang - Utusan Malaysia

Keunikan Masjid Buluh Gua Musang

MASJID Buluh menjadi pilihan para musafir melalui Jalan Gua Musang-Kuala Krai. – Utusan/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JIKA anda ke Gua Musang, Kelantan jangan lepaskan peluang untuk berkunjung ke Masjid Buluh. Sama seperti namanya, hampir 90 peratus binaan masjid itu dibuat daripada buluh betong tempatan (Dendracalamus asper) dan buluh hitam (Phyllostachys nigra) yang diimport dari Bandung, Indonesia.

Masjid yang tersergam indah dan unik itu diilhamkan oleh bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Masjid binaan buluh yang pertama di negeri Kelantan itu dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada 17 Mac 2018 selepas dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Terletak di tepi Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Masjid Buluh yang dibuat menggunakan lebih 5,000 batang buluh itu berkonsep terbuka dan mesra musafir.

Panorama masjid yang ditanam dengan pokok buluh di sekelilingnya turut diindahkan lagi dengan gua batu kapur, Gua Musang yang berada berhampiran masjid itu.

Masjid Buluh itu dibina oleh Kerajaan Negeri Kelantan dengan kos RM400,000 di atas tanah berkeluasan 2.8 hektar.

Selain ruangan solat masjid itu boleh memuatkan seramai 200 jemaah pada satu masa, antara kemudahan asas yang disediakan ialah seperti ruangan solat, tandas yang selesa, tempat wuduk dan tempat letak kereta yang luas.

 

Masjid ini dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada 17 Mac 2018.

Menurut Setiausaha Masjid Buluh, Hussain Ibrahim, binaan buluh yang dianyam menjadi dinding bertindak sebagai saluran udara keluar masuk, sekali gus mencipta suasana dalaman yang nyaman dan selesa.

Katanya, masjid itu dibina oleh tenaga kerja Orang Asli tempatan dan Indonesia.

“Kami juga menggunakan buluh betung yang diambil dari kawasan Orang Asli di Kuala Betis di sini.

“Rahsia ketahanan buluh bergantung pada beberapa faktor termasuklah usia matang, kaedah dan waktu penebangan buluh, spesies buluh yang digunakan serta cara rawatannya.

“Bagi mengekalkan ketahanan buluh, kita merendam dan awet buluh yang telah dipotong,” katanya.

Hussain berkata, ketika tempoh penularan pandemik Covid-19 ini, Masjid Buluh menjadi tumpuan musafir untuk berhenti berehat dan menunaikan solat kerana konsepnya yang terbuka dan mesra musafir.

Katanya, ahli jawatankuasa masjid sentiasa terbuka menerima kedatangan pengunjung apabila menyediakan kemudahan yang selesa.

“Kita telah menambah baik kemudahan masjid ini daripada semasa ke semasa seperti membuat papan tanda dan menara.

“Dengan bantuan Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) kita merancang untuk membina taman tema, kiosk jualan dan inap desa bagi menarik tumpuan orang ramai,” katanya.

 

HUSSAIN Ibrahim menunjukkan ruang solat Masjid Buluh Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Kelantan.

 

MASJID BULUH MESRA MUSAFIR

MASJID Buluh yang diperbuat daripada batang buluh yang pertama di negeri ini menjadi pilihan kepada para musafir atau pengguna Jalan Gua Musang-Kuala Krai, untuk berhenti rehat dan menunaikan solat.

Seorang pegawai bank, Zubir Ahmad Ghulam Kadir, 46, berkata, sekiranya melalui jalan Gua Musang dia menjadikan Masjid Buluh sebagai tempat persinggahan.

Katanya, kawasan masjid yang luas itu begitu selesa dan tidak perlu bersesak dengan orang ramai seperti masjid lain.

“Jika ke Kelantan, kami sekeluarga tidak akan melepaskan peluang untuk singgah ke Masjid Buluh.

“Masjid Buluh ini juga mempunyai kemudahan ruangan solat, tempat letak kereta yang luas dan tandas selesa. Suasananya juga nyaman dan redup kerana binaannya struktur buluh,” katanya.

 

ZUBIR AHMAD GHULAM KADIR

Seorang pengguna jalan raya, Zulkifli Mohamad, 56, dari Pasir Puteh berkata, dia akan menunaikan solat di masjid itu ketika berhenti dalam perjalanan pulang ke kampung.

Katanya, menjelang cuti perayaan pengguna jalan raya tidak perlu lagi bersesak di masjid yang berada di bandar Gua Musang.

“Masjid Buluh ini sebagai pilihan orang ramai untuk berhenti mengerjakan solat kerana ianya dibuka 24 jam.

“Setiap kali melalui Gua Musang saya mengambil kesempatan untuk berhenti rehat bersama keluarga sambil menunaikan solat di masjid ini,” katanya.

 

ZULKIFLI MOHAMAD

Sementara itu, seorang penjawat awam, Siti Sarah Abas, 39, pula berkata, dia tertarik dengan Masjid Buluh walaupun pertama kali singgah di kawasan itu.

Katanya, rekaan begitu unik dan berpotensi menjadi tarikan ekopelancongan.

“Sepanjang hidup saya tidak pernah lagi melihat masjid binaan buluh di negeri lain. Ini kali pertama saya melihat binaan buluh yang unik serta kukuh.

“Saya tidak melepaskan peluang untuk merakamkan gambar kenangan sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi pilihan,” katanya.

SITI SARAH ABAS
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN