PETALING JAYA: Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia (KHPM) 2026 menjadi acara yang sesuai untuk dikunjungi apabila ia membuka tirai buat pertama kalinya di Pulau Pinang pada 26 dan 27 September ini.
Dianjurkan di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang, acara selama dua hari itu menghimpunkan peniaga di bawah satu bumbung dan menyediakan ruang untuk pemilik perusahaan kecil dan sederhana (PKS), usahawan, persatuan industri serta pemain perniagaan daripada pelbagai sektor bertemu, bertukar pengalaman dan membuka peluang kerjasama.
Dianjurkan oleh Monie, sebuah jenama di bawah Foodie Media Berhad, bersama Spire Digital serta dengan kerjasama Kementerian Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), KHPM 2026 membawa pendekatan terbuka, menggabungkan perkongsian ilmu, perbincangan industri, sesi pitching, networking, bengkel dan hiburan dalam satu program.
KHPM 2026 akan menjadi tempat pertemuan antara usahawan dengan wakil agensi dan persatuan yang memainkan peranan dalam pembangunan perniagaan di Malaysia, termasuk INSKEN, IKMa, TEKUN Nasional, SME Bank, AIM, SKM, Bank Rakyat, BPHV, UDA Holdings, SME Corp. Malaysia, BDHA dan BPES.
Sepanjang dua hari berlangsung, pengunjung boleh mengikuti perbincangan panel selama 45 minit bersama wakil persatuan dan pakar industri, selain sesi perkongsian individu selama 30 minit yang menampilkan usahawan daripada pelbagai latar sektor. Perbincangan yang diketengahkan pula merangkumi bidang yang cukup dekat dengan kehidupan seharian dan perkembangan ekonomi semasa seperti makanan dan minuman (F&B), perniagaan digital, kecantikan serta teknologi.
Menjelang waktu petang, suasana acara dijangka menjadi lebih santai menerusi sesi fireside bersama pengasas syarikat sebelum pentas diteruskan dengan konsert penutup, manakala sepanjang karnival berlangsung, pelbagai aktiviti termasuk cabutan bertuah, majlis perasmian dan sesi lawatan sekitar acara turut melengkapkan pengalaman pengunjung.
Dengan semua sesi disampaikan dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris, KHPM 2026 turut membuka ruang yang lebih luas untuk peserta daripada pelbagai latar belakang mengikuti perkongsian dan perbincangan yang disediakan.
Pengunjung hadir dengan idea, ada yang datang mencari pelanggan atau rakan niaga, manakala tidak kurang juga yang mungkin sekadar mahu melihat bagaimana orang lain mengembangkan perniagaan mereka.
Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia (KHPM) 2026 akan berlangsung pada 26 dan 27 September 2026 di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang, dengan penganjuran oleh Monie bersama Spire Digital serta kerjasama KUSKOP.









