Penampilan di pentas peragaan bukan hanya bergantung pada rekaan busana, malah turut dipengaruhi elemen kecantikan termasuk gaya rambut yang melengkapkan keseluruhan konsep.
Seiring itu, Panasonic Beauty menjalinkan kerjasama dengan Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) sebagai rakan rasmi alat dandanan rambut belakang pentas.
Kerjasama itu sekali gus menyatukan fesyen, kecantikan dan inovasi teknologi Jepun dalam menghasilkan penampilan pentas peragaan yang bertaraf profesional.
Pengarah Urusan Panasonic Malaysia, Keisuke Nishida berkata, inovasi yang diketengahkan bukan sekadar berkaitan penggayaan rambut, sebaliknya turut memberi fokus kepada penjagaan kesihatan rambut dan kulit kepala menerusi teknologi terkini.
“Gabungan kejuruteraan moden dan pemahaman mendalam terhadap keperluan pengguna membolehkan kami terus membangunkan teknologi penjagaan rambut.
“Kami percaya rambut memainkan peranan penting dalam melengkapkan setiap gaya di pentas peragaan.
“Selain mengetengahkan koleksi fesyen, gaya rambut yang kemas dan sihat turut menguatkan visi kreatif setiap pereka serta melengkapkan keseluruhan estetika rekaan,” katanya.











