WARISAN budaya Malaysia tidak wajar hanya diraikan ketika berlangsungnya festival atau sambutan tertentu, sebaliknya perlu dibawa lebih dekat dengan masyarakat agar terus relevan.
Atas semangat itu, FM Group yang diasaskan oleh pereka fesyen, Farel Mikhail dan Jonathan Kok meneruskan penganjuran Precious of Malaysia Citraloka 2026 iaitu Festival Budaya Malaysia yang sarat dengan pengisian acara.
Acara yang menyasarkan kehadiran setengah juta pengunjung sepanjang enam hari penganjuran dengan menghimpunkan elemen fesyen, seni, muzik, tarian, warisan, pendidikan dan kreativiti dalam satu ekosistem.
Farel berkata, sasaran 500,000 pengunjung itu bukan sekadar angka, sebaliknya mencerminkan hasrat pihaknya untuk membawa budaya Malaysia kepada khalayak yang jauh lebih besar.
“Kita tidak mahu budaya hanya dilihat sebagai sesuatu yang diraikan ketika sambutan tertentu. Sebaliknya, kami mahu orang ramai datang, melihat, belajar, mengambil bahagian dan merasai sendiri kepelbagaian budaya Malaysia,” katanya semasa majlis pelancaran festival itu di Kompleks Kraf Kuala Lumpur.
Farel berkata, jumlah kehadiran pengunjung juga penting bagi memastikan mesej mengenai pemeliharaan warisan dapat disampaikan kepada lebih banyak lapisan masyarakat, khususnya generasi muda.
“Generasi muda hari ini membesar dalam dunia digital. Jadi, cara kita memperkenalkan budaya juga perlu berkembang mengikut zaman tanpa menghilangkan identiti asalnya,” katanya.
Bagi Farel, warisan tidak perlu diubah identitinya semata-mata untuk menjadikannya trendy, sebaliknya pendekatan dalam mempersembahkan warisan kepada generasi baharu yang perlu berubah.
“Untuk itu, Precious of Malaysia menggunakan pendekatan yang lebih dekat dengan dunia anak muda menerusi fesyen, kandungan media sosial, pertandingan, catwalk, muzik, pendidikan dan kolaborasi,” katanya.

RAI KEPELBAGAIAN BUDAYA
Precious of Malaysia Citraloka 2026 yang dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), selain membabitkan pelbagai institusi pendidikan, pereka, artisan, penggiat seni dan rakan industri bakal berlangsung dari 11 hingga 16 September ini di Taman Tasik Titiwangsa.
Pelbagai aktiviti dan pengisian disediakan sepanjang tempoh berkenaan termasuk International Cultural Fashion Week, Gema Tari Etnik Malaysia, Si Cilik Busana Kreasi Tradisi, Lenggok Si Bulus, aktiviti masakan dan bakeri, persembahan muzik serta tarian dan pengisian seni Telepuk.
Kemuncaknya adalah pada 16 September bersempena Hari Malaysia menerusi Precious Cultural Walk yang menghimpunkan peserta berbusana tradisi dan budaya untuk bersama-sama membawa semangat perpaduan mengelilingi tasik.
Farel berkata, konsep penganjuran tahun ini bukan sekadar mengajak masyarakat datang menonton, sebaliknya memberi peluang kepada mereka untuk terlibat secara langsung.
SENI TELEPUK DEKATI GENERASI MUDA
Antara elemen yang turut diberi penekanan ialah seni Telepuk yang diperkenalkan menerusi pendekatan pendidikan dan pengalaman secara langsung.
Farel berkata, pihaknya sebelum ini sudah memulakan bengkel bersama pelajar bagi memberi peluang kepada golongan muda mempelajari proses menghasilkan Telepuk sebelum hasil karya dibawa ke pertandingan dan pentas fesyen.
“Contohnya Seni Telepuk. Dalam acara sebelum ini, kita bukan sekadar pamerkan Telepuk.
“Kita sudah mulakan bengkel bersama pelajar, mereka belajar menghasilkan Telepuk, kemudian hasil itu dibawa ke pertandingan dan pentas fesyen.
“Kita mahu anak muda rasa bahawa memakai batik, kebaya, songket atau mengangkat seni tradisi itu bukan sesuatu yang ‘old-fashioned’,” katanya.
Precious of Malaysia Citraloka 2026 juga membuka ruang kepada pelajar, pereka muda, artisan, usahawan kreatif, model, penggiat seni, sekolah, kolej vokasional, universiti dan masyarakat umum untuk terlibat secara langsung.

SUNTIK NILAI EKONOMI
Jonathan Kok berpendapat usaha memperkasakan budaya tempatan perlu bergerak seiring dengan industri kreatif supaya warisan bukan sahaja terus dipelihara, malah memberikan nilai ekonomi kepada penggiatnya.
FM Group mahu Precious of Malaysia bukan sahaja terus hidup sebagai acara tahunan, malah berkembang menjadi platform yang mampu menghubungkan warisan, masyarakat dan industri kreatif.
Jonathan berkata, sasaran besar tahun ini juga diharap dapat membuka lebih banyak peluang kepada penggiat seni dan budaya tempatan untuk memperkenalkan hasil karya mereka kepada khalayak yang lebih luas.











