Kenapa anak cepat ‘tangkap’ bahasa Indonesia?

Kenapa anak cepat ‘tangkap’ bahasa Indonesia?

KONTEN berbahasa Indonesia mudah didapati dalam media sosial kerana negara itu mempunyai pengguna Internet yang besar, selain jumlah pempengaruh yang ramai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

‘Enak banget!’, ‘nggak’, ‘seru’, ‘gemas’ mungkin kedengaran biasa dalam konten media sosial, tetapi apabila perkataan itu tiba-tiba keluar daripada mulut anak kecil di rumah, ramai ibu bapa mula tertanya-tanya mengapa anak lebih mudah terikut-ikut bahasa Indonesia berbanding bahasa sendiri?

Jawapannya bukan kerana bahasa Indonesia lebih menarik atau lebih hebat daripada Bahasa Melayu, sebaliknya terdapat beberapa faktor psikologi yang menyebabkan bahasa itu mudah melekat dalam ingatan kanak-kanak Malaysia.

Pakar Psikologi Klinikal Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Putri Intan Dianah berkata, dari sudut perkembangan psikologi, kanak-kanak sememangnya berada dalam fasa penuh rasa ingin tahu dan gemar meneroka perkara baharu.

Memuatkan artikel berkaitan…

HAMPIR SAMA DENGAN BAHASA MELAYU

Katanya, Bahasa Indonesia mempunyai kelebihan tersendiri kerana bunyinya hampir dengan Bahasa Melayu, sekali gus mudah difahami, tetapi pada masa sama mempunyai kosa kata, intonasi dan gaya percakapan yang sedikit berbeza.

Perbezaan kecil itu menjadikan bahasa Indonesia sesuatu yang ‘baharu’ tetapi tidak terlalu asing bagi mereka.

“Anak masih boleh memahami jalan cerita atau apa yang diperkatakan pencipta kandungan, sambil pada masa sama tertarik dengan perkataan dan sebutan yang berbeza daripada apa yang biasa didengar di rumah.

“Fenomena itu boleh dikaitkan dengan Teori Pembelajaran Sosial oleh Albert Bandura yang menjelaskan kanak-kanak belajar bukan sahaja melalui pengajaran secara langsung, tetapi juga melalui pemerhatian dan peniruan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

TERIKUT TANPA DISEDARI

Putri Intan Dianah berkata, apabila seorang pencipta kandungan menggunakan perkataan tertentu berulang kali dalam video yang lucu, menghiburkan atau menarik perhatian, kanak-kanak bukan sahaja mendengar perkataan itu, malah melihat bagaimana ia digunakan dalam sesuatu situasi.

Menurutnya, proses itu boleh berlaku tanpa disedari. Apabila perkataan yang sama didengar berkali-kali, ia menjadi semakin biasa dan mudah diingati. Akhirnya, anak mula menggunakannya dalam perbualan harian walaupun tidak pernah diajar secara formal.

“Lebih kuat lagi apabila penggunaan perkataan tersebut mendapat reaksi daripada orang sekeliling. Misalnya, apabila anak menyebut sesuatu perkataan Indonesia dan ibu bapa ketawa atau memberikan perhatian, reaksi itu boleh menjadi satu bentuk pengukuhan yang menyebabkan anak terdorong mengulanginya.

“Sebab itu tidak pelik jika ibu bapa tiba-tiba mendengar anak menggunakan perkataan yang tidak pernah digunakan oleh sesiapa di rumah. Mereka sebenarnya membawa masuk bahasa yang diperoleh daripada pengalaman menonton ke dalam kehidupan sebenar,” ujarnya.

PEMPENGARUH MAIN PERANAN

Menurut Putri Intan Dianah, kandungan yang menghiburkan juga memainkan peranan besar. Humor, muzik, animasi, kejutan, cabaran dan jalan cerita yang ringkas mampu membuatkan kanak-kanak memberikan perhatian lebih lama.

Dalam pembelajaran melalui pemerhatian, perhatian merupakan langkah penting sebelum sesuatu maklumat dapat diingati dan ditiru.

Katanya, pencipta kandungan juga boleh menjadi figura yang dianggap menarik oleh kanak-kanak. Apabila mereka menonton individu sama berulang kali, wujud rasa biasa dan dekat walaupun hubungan itu sebenarnya hanya berlaku secara satu hala atau dikenali sebagai parasocial relationship.

“Kanak-kanak bukan sahaja mungkin meniru perkataan, malah gaya percakapan, intonasi, ekspresi muka dan cara pencipta kandungan berinteraksi dengan orang lain.

“Namun, ibu bapa tidak perlu panik jika anak sesekali menggunakan perkataan Indonesia. Pendedahan kepada pelbagai bentuk bahasa memang boleh menyebabkan kanak-kanak mencuba dan mencampurkan kosa kata yang mereka dengar.

“Apa yang lebih penting ialah keseimbangan. Jika anak masih banyak berkomunikasi dalam Bahasa Melayu, membaca bahan Bahasa Melayu, belajar di sekolah dan berinteraksi dengan keluarga, penggunaan beberapa perkataan Indonesia tidak semestinya menunjukkan masalah perkembangan bahasa,” katanya.

BETULKAN BAHASA

Ibu bapa juga boleh membetulkan penggunaan bahasa secara tidak langsung tanpa memarahi atau melarang anak. Jika anak berkata, ‘Mama, ini enak banget’, ibu boleh menjawab, ‘Ya, memang sedap sangat’.

Dengan cara itu, anak mendapat model Bahasa Melayu yang betul tanpa berasa dirinya melakukan kesalahan.

Putri Intan Dianah berkata, pendekatan terbaik bukan mengharamkan kandungan berbahasa Indonesia, sebaliknya membimbing anak ketika menggunakan media sosial.

Katanya, ibu bapa boleh menggunakan kawalan ibu bapa, menetapkan had masa skrin dan sesekali menonton bersama anak sambil bertanya, “Apa maksud perkataan itu?” atau “Dalam Bahasa Melayu, kita biasa sebut apa?”

“Pada masa sama, ibu bapa perlu memastikan Bahasa Melayu turut hadir dalam bentuk yang menyeronokkan melalui buku, rancangan berkualiti, permainan bahasa dan paling penting, perbualan sebenar dalam keluarga,” ujarnya.

JUMLAH PENGGUNA INTERNET YANG BESAR

Kandungan berbahasa Indonesia sememangnya sangat banyak dalam media sosial disebabkan jumlah pengguna internet dan pencipta kandungan di Indonesia yang jauh lebih besar berbanding Malaysia.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Ts. Dr. Novia Admodisasatro berkata, keadaan ini menyebabkan kanak-kanak Malaysia lebih mudah terdedah kepada kandungan dari negara tersebut, khususnya menerusi platform media sosial yang menjadi sebahagian daripada rutin harian mereka.

Katanya, selain faktor jumlah pengguna, kandungan dari Indonesia juga banyak dibangunkan dengan pendekatan yang lebih menarik dan menghiburkan.

“Gaya penyampaian yang santai, penggunaan teknik penceritaan atau storytelling, muzik, visual yang menarik serta penghasilan kandungan berasaskan trend semasa menjadikan bahan tersebut lebih mudah mendapat perhatian, termasuk dalam kalangan kanak-kanak.

“Apabila sesuatu kandungan disampaikan dengan cara yang menarik, mudah difahami dan dekat dengan dunia kanak-kanak, mereka akan lebih cenderung untuk menontonnya berulang kali.

“Dalam keadaan ini, bahasa yang digunakan bukan lagi menjadi faktor utama kerana perhatian mereka lebih tertumpu kepada jalan cerita, penyampaian dan unsur hiburan yang terdapat dalam kandungan tersebut,” katanya.

Pada masa sama, persamaan antara Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia turut menyebabkan kandungan berkenaan lebih mudah difahami oleh kanak-kanak Malaysia.

Walaupun terdapat perbezaan dari segi kosa kata, sebutan dan gaya bahasa, kandungan itu masih cukup dekat dengan bahasa yang mereka gunakan setiap hari, sekali gus memudahkan proses penerimaan dan peniruan.

FAKTOR ALGORITMA

Menurut Dr. Novia, faktor algoritma media sosial juga tidak boleh diketepikan kerana semakin banyak sesuatu kandungan ditonton, semakin besar kemungkinan platform berkenaan mencadangkan kandungan yang sama atau serupa kepada pengguna.

“Apabila kanak-kanak kerap menonton kandungan berbahasa Indonesia, algoritma akan membaca corak minat tersebut dan terus memberikan cadangan yang seumpamanya. Akhirnya, pendedahan mereka terhadap kandungan berkenaan menjadi semakin tinggi,” katanya.

Justeru, ibu bapa dan pendidik perlu memainkan peranan dengan memastikan kanak-kanak turut diberikan pendedahan kepada kandungan berkualiti dalam Bahasa Melayu.

Ini bukan bermakna kandungan berbahasa Indonesia perlu dijauhi sepenuhnya, sebaliknya keseimbangan perlu diwujudkan supaya kanak-kanak dapat menikmati kepelbagaian kandungan tanpa mengabaikan penggunaan dan penguasaan bahasa sendiri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini