Ekspresi kekuatan, ketahanan jati diri menerusi karya seni

Ekspresi kekuatan, ketahanan jati diri menerusi karya seni

BARISAN pemenang Pertandingan Seni MR D.I.Y. 2026 yang bertemakan Strength & Resilience.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kekuatan tidak semestinya diterjemahkan melalui keberanian menghadapi konflik atau kemenangan selepas perjuangan yang getir. Sebaliknya, ia juga boleh hadir dalam bentuk kasih sayang, penerimaan, harapan dan kemampuan untuk bangkit meneruskan kehidupan.

Perspektif ini yang diketengahkan menerusi Pertandingan Seni MR D.I.Y. 2026 yang bertemakan Strength & Resilience.

Sebahagian besar karya yang muncul sebagai pemenang dan turut disenarai pendek berjaya mencabar tanggapan konvensional mengenai makna sebenar kekuatan.

Para peserta memilih mengangkat pengalaman hidup yang dekat dengan masyarakat, sekali gus memperlihatkan bagaimana seni mampu menjadi medium menyampaikan kisah ketabahan dalam pelbagai bentuk.

Karya-karya yang dipamerkan turut mencerminkan realiti kehidupan rakyat Malaysia yang berdepan cabaran peribadi dan sosial dengan penuh daya tahan, selain menonjolkan nilai perpaduan, empati serta semangat untuk terus melangkah ke hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif MR D.I.Y., Adrian Ong berkata, tema tersebut dipilih kerana memberi kebebasan kepada peserta untuk berkongsi pengalaman, pandangan dan perjalanan hidup yang membentuk diri mereka sebagai individu.

Menurutnya, pertandingan kali ini memperlihatkan ramai artis memilih pendekatan yang lebih mendalam dengan mengetengahkan nilai kemanusiaan berbanding hanya memfokuskan kepada konflik atau perjuangan semata-mata.

“Kami menjangkakan akan melihat karya-karya yang indah, tetapi para artis memberikan sesuatu yang jauh lebih bermakna. Mereka mengingatkan kami bahawa seni bukan sekadar mengenai keindahan, malah mengenai keberanian.

“Mereka juga menunjukkan kekuatan boleh hadir dalam bentuk yang tenang dan penuh harapan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Seni MR D.I.Y. 2026 baru-baru ini.

Pertandingan tahun ini menerima lebih 900 penyertaan daripada peserta berusia antara lapan hingga 61 tahun, sekali gus membuktikan tema yang diketengahkan dekat di hati masyarakat tanpa mengira usia mahupun latar belakang.

Menurut Adrian, penyertaan yang pelbagai itu membuktikan kreativiti tidak mengenal batasan umur. Daripada kanak-kanak hingga artis profesional, setiap karya membawa kisah tersendiri mengenai kekuatan, ketabahan dan perjalanan hidup.

“Kreativiti tidak mempunyai batasan umur. Setiap karya yang dipamerkan mengingatkan kita seni ialah bahasa universal yang mampu menyatukan masyarakat,” katanya.

Bagi Kategori Artis Terkenal, Chang Yoong Chia dinobatkan sebagai pemenang utama menerusi karya Weight of a Feather yang menggunakan simbol helang dan kelawar bagi menggambarkan dua perspektif kehidupan yang berbeza.

Karya tersebut mengetengahkan keseimbangan sebagai asas kepada ketahanan, sekali gus memperlihatkan perbezaan bukanlah penghalang kepada keharmonian. Sebaliknya, kepelbagaian menjadi sumber kekuatan yang membentuk identiti serta memperkayakan pemahaman seseorang terhadap dirinya.

Dalam Kategori Umum pula, Ng Chit Keong muncul sebagai juara menerusi karya Shadow and Direction yang menampilkan rama-rama mekanikal dihiasi elemen budaya dan teknologi sebagai simbol identiti yang sentiasa berkembang mengikut perubahan zaman.

Menerusi karya itu, dia menggambarkan ketahanan bukan lahir daripada penolakan terhadap perubahan, tetapi melalui keupayaan menyesuaikan diri tanpa mengorbankan jati diri.

Sementara itu, Brenda Goh Xsue Thoong menjadi pemenang utama Kategori Pelajar menerusi karya Our Birthday, yang mengajak penonton mengimbau kenangan zaman kanak-kanak bersama keluarga.

Keempat-empat pemenang utama bagi setiap kategori akan mewakili Malaysia ke pertandingan peringkat serantau di Indonesia dengan membawa mesej mengenai kekuatan, ketahanan dan keberanian berkarya di pentas antarabangsa.

Penganjuran Pertandingan Seni MR D.I.Y. 2026 turut mencerminkan komitmen syarikat dalam memperkasakan seni dan budaya tempatan dengan menyediakan platform kepada artis daripada pelbagai lapisan masyarakat untuk berkarya, berkongsi idea serta mengetengahkan suara mereka kepada khalayak yang lebih luas.

Acara ini membuktikan seni mampu menjadi medium yang menyatukan masyarakat, menyemai empati dan membuka ruang kepada perspektif baharu tentang makna sebenar kekuatan serta ketahanan dalam kehidupan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN