Parut berlekuk atau atrophic scar bukan sekadar kesan selepas jerawat, malah merupakan perubahan kekal pada struktur kulit yang sukar dipulihkan tanpa rawatan khusus.
Walaupun ramai menganggap keadaan itu boleh dipulihkan dengan penggunaan krim atau produk penjagaan kulit, hakikatnya ia berlaku apabila badan gagal menghasilkan kolagen yang mencukupi semasa proses penyembuhan.
Kekurangan kolagen menyebabkan tisu yang rosak tidak dapat dipulihkan sepenuhnya, sekaligus membentuk lekukan kekal pada permukaan kulit.
Ketua Pegawai Eksekutif Klinik Lovina, Mejar (B) Dr. Hamidah Mohd. Salleh berkata, pembentukan parut berlekuk berlaku apabila kolagen yang dihasilkan tidak mencukupi untuk mengisi semula kawasan kulit yang mengalami kerosakan.
“Apabila berlaku luka atau keradangan, badan akan menghasilkan kolagen untuk membaiki kawasan tersebut. Namun, jika kolagen tidak mencukupi, kulit akan sembuh dalam keadaan berlekuk dan membentuk atrophic scar,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut beliau, jerawat batu merupakan penyebab utama kerana keradangan berlaku jauh di dalam lapisan dermis sehingga merosakkan struktur kulit.
Selain jerawat, keadaan itu juga berpunca daripada cacar air, folikulitis, bisul, luka akibat kemalangan, pembedahan atau kecederaan yang melibatkan lapisan kulit yang lebih dalam.
Tabiat memicit jerawat
Menurut Dr. Hamidah, tabiat memicit jerawat ketika masih aktif menjadi antara punca utama yang meningkatkan risiko pembentukan parut berlekuk.
“Apabila jerawat dipicit ketika masih aktif, keradangan boleh menjadi lebih dalam dan menyebabkan kerosakan tisu yang akhirnya meninggalkan parut kekal,” jelasnya.
Individu yang mengalami jerawat dalam tempoh lama tanpa mendapatkan rawatan, mempunyai faktor genetik yang menyebabkan kulit lebih mudah berparut serta perokok juga berisiko mengalami parut berlekuk kerana proses penyembuhan kulit menjadi lebih perlahan.
Katanya, parut berlekuk terbahagi kepada beberapa jenis seperti ice pick scar, boxcar scar dan rolling scar, yang masing-masing mempunyai bentuk, kedalaman serta kaedah rawatan berbeza.
“Setiap jenis parut memerlukan kaedah rawatan yang berbeza. Justeru, pemeriksaan oleh doktor penting bagi mengenal pasti jenis parut sebelum rawatan yang sesuai dapat diberikan,” katanya.
Rawatan bergantung pada jenis parut
Ujarnya, pemilihan rawatan bergantung pada jenis, kedalaman dan tempoh parut terbentuk, justeru setiap pesakit memerlukan rawatan yang berbeza.
Antara rawatan estetik yang digunakan termasuk chemical peel, teknik TCA CROSS, microneedling, dermapen, laser karbon dioksida (CO2), subcision, suntikan filler serta penggunaan skin booster dan biostimulator yang bertujuan merangsang pembentukan kolagen baharu.
Namun begitu, kebanyakan pesakit memerlukan gabungan beberapa kaedah rawatan, terutama bagi parut yang telah lama terbentuk kerana ia lebih sukar dipulihkan berbanding parut yang masih baharu.
“Lebih awal rawatan dimulakan, lebih baik hasil yang diperoleh. Parut yang baharu lebih mudah dirawat berbanding parut yang sudah lama,” katanya.
Menurut beliau, pesakit lazimnya mula melihat perubahan selepas tiga hingga enam sesi rawatan yang dilakukan secara berkala dengan jarak kira-kira empat minggu bagi setiap sesi.
Walaupun begitu, beliau menegaskan bahawa parut berlekuk tidak dapat dihilangkan sepenuhnya kerana kerosakan pada struktur kulit telah berlaku.
“Parut tetap parut. Sasaran rawatan adalah untuk memperbaiki tekstur kulit sehingga sekitar 50 hingga 70 peratus bergantung kepada tahap keterukan asal,” katanya.
Elak rawat sendiri
Antara kesilapan yang sering dilakukan oleh individu yang mempunyai parut berlekuk ialah mencuba pelbagai produk atau rawatan tanpa mendapatkan nasihat doktor, menggosok kulit secara berlebihan, menggunakan air panas serta mengabaikan penggunaan pelindung matahari.
Menurutnya, tindakan itu bukan sahaja mengganggu proses penyembuhan kulit, malah boleh memburukkan keradangan dan menjejaskan keberkesanan rawatan.
Selepas menjalani rawatan, pesakit disarankan mengamalkan rutin penjagaan kulit yang sesuai, termasuk menggunakan pelembap, vitamin C dan pelindung matahari.
Mereka juga perlu mengamalkan pemakanan seimbang bagi menyokong proses pembentukan kolagen serta penyembuhan kulit.
Beliau menjelaskan bahawa tiada ubat khusus yang mampu menghilangkan parut berlekuk kerana keadaan itu melibatkan kehilangan tisu pada lapisan kulit yang lebih dalam.
“Rawatan estetik diperlukan untuk merangsang pembentukan kolagen baharu, manakala suplemen hanya membantu menyokong proses penyembuhan dan bukannya menghilangkan parut,” katanya.
Dr. Hamidah turut menasihatkan individu yang mempunyai parut berlekuk supaya tidak bertangguh mendapatkan rawatan kerana apabila usia meningkat, penghasilan kolagen semakin berkurangan, kulit kehilangan keanjalan dan parut menjadi lebih ketara.
“Rawatan parut ialah pelaburan untuk kesihatan kulit pada masa hadapan. Semakin lama dibiarkan, semakin sukar untuk mendapatkan hasil yang memuaskan.
“Jangan takut mendapatkan rawatan, tetapi pastikan ia dilakukan oleh doktor yang bertauliah dan di tempat yang sesuai,” katanya.










