Tengking boleh ganggu perkembangan anak, punca lewat bercakap

Tengking boleh ganggu perkembangan anak, punca lewat bercakap

menengking anak bukan sahaja tidak membantu, malah boleh menyebabkan mereka semakin takut berkomunikasi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Masih ramai ibu bapa yang menganggap meninggikan suara mampu mendisiplinkan anak yang mengalami kelewatan pertuturan, sedangkan tindakan itu sebenarnya boleh menjejaskan perkembangan emosi dan komunikasi mereka.

Kaunselor berdaftar, Nurfarahira Ahmad Yaccob berkata, speech delay atau kelewatan pertuturan ialah keadaan apabila keupayaan kanak-kanak menghasilkan bunyi atau menyebut perkataan tidak seiring dengan tahap perkembangan umur mereka.

Tanda awal yang perlu diberi perhatian ialah apabila kanak-kanak berusia setahun masih belum mampu menyebut perkataan mudah seperti “mama” atau “baba”, manakala pada usia dua tahun masih belum boleh menggabungkan dua perkataan menjadi ayat ringkas.

“Jika anak masih bergantung sepenuhnya kepada bahasa isyarat, kerap merengek untuk menyatakan kehendak atau tidak memberi respons apabila namanya dipanggil, ibu bapa disaran mendapatkan pemeriksaan daripada pakar atau terapis pertuturan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Cabaran ibu bapa

Beliau berkata, cabaran terbesar yang sering dihadapi ibu bapa ialah keletihan emosi atau emotional burnout yang berpunca daripada jurang komunikasi antara ibu bapa dan anak.

Situasi ini dapat digambarkan apabila anak mahukan sesuatu tetapi tidak mampu meluahkannya melalui kata-kata, lalu menzahirkan kehendak tersebut melalui amukan atau tantrum yang luar biasa.

Dalam keadaan ini, ibu bapa terpaksa ‘bermain teka-teki’ setiap hari untuk memahami apa yang diinginkan oleh si kecil.

Keadaan itu menjadi lebih mencabar apabila ibu bapa menerima tekanan daripada ahli keluarga atau masyarakat yang gemar membandingkan perkembangan anak mereka dengan kanak-kanak lain.

“Tekanan yang berterusan ini akhirnya boleh membawa kepada emotional burnout,” katanya.

Beliau turut menjelaskan meninggikan suara kepada anak yang mengalami kelewatan pertuturan bukan sahaja tidak membantu, malah boleh menyebabkan mereka semakin takut untuk berkomunikasi.

“Apabila anak dimarahi atau ditengking, otak mereka akan memasuki mod takut dan bertahan. Dalam keadaan itu, bahagian otak yang bertanggungjawab memproses bahasa akan terganggu,” jelasnya.

Akibatnya, anak bukan sahaja sukar mempelajari perkataan baharu, malah ada yang memilih untuk terus berdiam diri kerana menganggap percubaan untuk bercakap itu sesuatu yang menakutkan.

Bertindak agresif

Nurfarahira berkata, sesetengah kanak-kanak akan bertindak balas secara agresif seperti memukul, menggigit atau membaling barang, manakala sebahagian lagi memilih untuk mengasingkan diri, mengelakkan kontak mata dan menjadi terlalu bergantung kepada ibu bapa.

Sehubungan itu, ibu bapa perlu menggunakan pendekatan komunikasi secara tenang dengan merendahkan paras badan supaya berada pada aras mata anak ketika bercakap.

“Gunakan nada suara yang lembut dan sebutkan perkataan secara perlahan serta jelas. Contohnya, duduk di sebelah anak, tunjukkan objek yang dimaksudkan dan sebut satu demi satu perkataan supaya mereka lebih mudah memahami,” katanya.

Beliau turut menegaskan keadaan emosi ibu bapa memainkan peranan penting dalam menentukan cara mereka berinteraksi dengan anak.

Tekanan akibat beban kerja, kurang rehat atau konflik keluarga boleh menyebabkan ibu bapa lebih mudah hilang kesabaran sehingga tanpa sedar melepaskan kemarahan kepada anak.

“Ibu bapa juga perlu menjaga kesihatan emosi sendiri. Jika tekanan semakin sukar dikawal, perlu mendapatkan bantuan daripada kaunselor supaya kesejahteraan mental dapat dipelihara,” katanya.

Perlu sokongan keluarga

Sokongan persekitaran merupakan ekosistem paling penting dalam membantu perkembangan kanak-kanak kelewatan pertuturan.

Menurut beliau, ibu bapa khususnya pasangan suami isteri perlu berfungsi sebagai satu pasukan dalam menguruskan cabaran ini.

Jika si ibu kelihatan penat, si bapa wajar segera mengambil alih tugas bagi memberi ruang kepada pasangan untuk berehat dan mengurangkan ketegangan emosi.

Dalam masa yang sama, ahli keluarga terdekat juga perlu memainkan peranan dengan menghentikan budaya melabel serta mengelakkan perbandingan perkembangan anak dengan kanak-kanak lain.

Apabila persekitaran rumah dipenuhi dengan suasana yang tenang, komunikasi dua hala tanpa tekanan serta sokongan yang konsisten, emosi anak akan lebih stabil dan rasa selamat akan terbentuk.

Rasa selamat itu menjadi asas penting yang menyokong perkembangan otak kanak-kanak, seterusnya membantu mereka lebih berani untuk berkomunikasi dan mula mengeluarkan suara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN