EOG 2026 perkasa legasi seni gamelan Melayu

EOG 2026 perkasa legasi seni gamelan Melayu

dalam edisi ke-12 penganjurannya, Festival Ensemble of Gamelan (EOG) 2026 membawa tema ‘Evolusi Gamelan’.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Penganjuran Ensemble of Gamelan (EOG) 2026 yang menghimpunkan penggiat dan pencinta seni gamelan dari seluruh negara di Universiti Teknologi Petronas (UTP) menjadi lambang kesinambungan warisan budaya Melayu yang terus hidup merentasi zaman.

Memasuki edisi ke-12 penganjurannya, festival tersebut membawa tema “Evolusi Gamelan” yang mengetengahkan perjalanan panjang seni gamelan daripada tradisi istana kepada ekspresi seni yang lebih kontemporari tanpa menghilangkan identiti asalnya.

Menurut Pengarah Projek EOG 2026, Muhammad Haikal Man Ghazali berkata, tema yang dipilih mencerminkan perkembangan seni gamelan yang sentiasa bergerak seiring perubahan zaman.

Katanya, EOG diwujudkan sebagai platform untuk memperlihatkan bagaimana warisan tradisional boleh terus relevan dalam landskap seni moden.

“EOG menjadi ruang mempertemukan tradisi dengan interpretasi baharu dalam menghidupkan warisan untuk masa kini.

“Penganjuran ini diterajui oleh Kumpulan Gamelan UTP Sanggar Kirana dengan kerjasama Unit Pemerkasaan Bakat, Bahagian Hal Ehwal Pelajar UTP sebagai usaha berterusan universiti dalam memupuk apresiasi terhadap seni warisan dalam kalangan generasi muda,” katanya.

penganjuran EOG turut membentuk kemahiran kepimpinan dan kreativiti.

Sanggar Kirana Penggerak Evolusi Gamelan Melayu

Katanya, perjalanan Sanggar Kirana turut dizahirkan melalui penerbitan album seperti Gatra Pertama, Gatra Kedua, Gatra Ketiga dan Tala Perunggu: Jilid Satu, sekaligus membuktikan yang gamelan bukan hanya warisan yang dipelihara namun seni yang terus berevolusi.

Kini, Sanggar Kirana berkembang menjadi ensembel berpengaruh dengan 47 ahli aktif daripada pelbagai bidang pengajian.

Katanya, kumpulan ini akan terus memperjuangkan muzik Gamelan Melayu sebagai bahasa seni yang hidup dan sentiasa berkembang mengikut peredaran zaman.

Dalam masa yang sama, detik bersejarah turut tercipta apabila UTP secara rasminya melancarkan UTP Gamelan Melayu Centre yang bertujuan memperkukuh usaha pemeliharaan, pendidikan, penyelidikan dan pembangunan bakat dalam bidang Gamelan Melayu.

Menurut Haikal, penubuhan pusat tersebut mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam memastikan seni Gamelan Melayu terus berkembang sebagai warisan budaya yang relevan, lestari dan dihargai oleh generasi masa hadapan.

11 Kumpulan Warnai Festival Gamelan Melayu

EOG 2026 juga berjaya menghimpunkan 11 kumpulan persembahan daripada pelbagai latar belakang termasuk institusi pengajian tinggi, sekolah, kumpulan seni dan warisan budaya.

Antara penyertaan yang mewarnai festival ini ialah Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Teknologi MARA, Akademi Seni

Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Kolej Islam Sultan Alam Shah, Sekolah Menengah Sains Gua Musang serta kumpulan seni seperti Badarsila, Gangsapura dan Warisan Sari yang dianggotai oleh adiguru Gamelan Melayu Terengganu.

setiap kumpulan membawa interpretasi tersendiri dan menjadikan EOG bukan hanya pentas persembahan tetapi sebagai ruang dialog.

Malah, setiap kumpulan membawa interpretasi tersendiri dan menjadikan EOG bukan hanya pentas persembahan tetapi sebagai ruang dialog yang mencantumkan tradisi dengan kreativiti baharu.

Selain itu, penglibatan pelajar dalam penganjuran EOG turut membentuk kemahiran kepimpinan, kreativiti dan disiplin menerusi pengalaman menguruskan program berskala besar.

“Pelajar bukan sahaja belajar tentang seni persembahan namun turut memperoleh pengalaman berharga dari segi pengurusan acara, kerja berpasukan dan kepimpinan,” katanya.

Festival ini diakhiri dengan persembahan penutup khas oleh kumpulan gamelan UTP Sanggar Kirana dan kumpulan Seni Persembahan UTP (Upag) sekali gus melengkapkan sebuah malam yang meraikan keindahan, evolusi dan kelangsungan warisan Gamelan Melayu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN