Setiap individu mempunyai laluan kejayaan yang berbeza bergantung kepada latar belakang keluarga, peluang dan usaha yang dicurahkan sepanjang perjalanan hidup masing-masing.
Namun, dalam setiap kisah kejayaan, perkara yang sering menjadi persamaan adalah ketekunan, disiplin dan keberanian untuk mencuba walaupun tidak mempunyai jaminan hasil pada peringkat awal.
Bagi Azida Ahmad Azmi yang kini melanjutkan pengajian di Universiti Oxford, pencapaian itu menyimpan 1001 usaha yang dilakukannya bagi mencapai tahap tersebut.
Katanya, sejak awal lagi dia menyimpan impian untuk mengubah kehidupan melalui pendidikan, namun pada masa yang sama sering dibelenggu rasa ragu-ragu terhadap kemampuan dirinya untuk melangkah lebih jauh dalam bidang akademik.
“Saya memang mahu mengubah hidup melalui pendidikan sejak dari awal, tetapi ketika memulakan perjalanan ini, saya kurang yakin dengan diri dan sering tertanya-tanya sama ada saya benar-benar mampu melangkah sejauh ini atau tidak,” katanya yang juga penerima Biasiswa Chevening.
Pengorbanan Ibu Semarakkan Usaha
Azida membesar dengan melihat sendiri pengorbanan ibunya yang gigih bekerja bagi menyara keluarga termasuk melakukan dua pekerjaan dalam sehari demi memastikan keperluan asas dan pendidikan anaknya tidak terabai.

Ibunya bekerja keras siang dan malam demi menyara keluarga, dengan berniaga burger di pasar borong pada waktu malam sebelum meneruskan pekerjaan di sebuah warung makanan pada siang hari, hampir tanpa ruang untuk berehat.
Menurutnya, pengorbanan besar itu menjadi antara faktor utama yang membentuk dirinya sehingga ke hari ini. Sejak kecil, dia memahami setiap peluang pendidikan yang dinikmatinya hadir hasil titik peluh dan kesungguhan seorang ibu yang sanggup berkorban apa sahaja demi masa depan anak-anak tanpa pernah mengeluh.
“Walaupun ibu saya tidak berpeluang untuk menamatkan persekolahannya sehingga universiti, saya tetap bangga dengannya kerana membesarkan saya dan memberikan peluang pendidikan yang cukup,” ujarnya yang merupakan anak tunggal.
Malu Bertanya, Sesat Jalan
Selepas tamat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Azida menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Bahasa Inggeris Sebagai Komunikasi Antara Budaya di Universiti Teknologi MARA (UiTM) kampus Shah Alam
Seterusnya, dia melanjutkan pengajian peringkat sarjana di Universiti Columbia, Amerika Syarikat dalam bidang penyelesaian konflik dan kini di Universiti Oxford dalam bidang Antropologi yang menjadi kesinambungan kepada perjalanan akademiknya.
Menurutnya, perjalanan ke universiti berprestij tersebut tidak berlaku secara kebetulan atau bergantung kepada peluang semata-mata sebaliknya melalui usaha sendiri yang konsisten dalam mencari maklumat, peluang, dan panduan selepas tamat pengajian dalam negara.

“Saya hubungi lebih kurang 150 orang dari seluruh dunia untuk tanya secara terus macam mana proses sambung belajar di universiti seperti Columbia dan Oxford memandangkan saya tiada rujukan pada ketika itu,” katanya.
Proses tersebut mengambil masa sekitar enam hingga lapan bulan dengan komunikasi berterusan bersama individu berpengalaman dalam bidang akademik antarabangsa.
Pada ketika itu memang dia banyak bertanya kepada alumni dan mencari inisiatif sendiri kerana dia datang daripada keluarga yang tidak ada pengalaman menyambung pengajian tinggi.
Disiplin Kunci Utama
Azida berkata kunci utama untuk terus bertahan dalam persekitaran akademik yang kompetitif adalah disiplin diri yang tinggi dan konsisten dalam mengurus masa walaupun dalam keadaan jadual yang sangat padat.
Dia turut menetapkan rutin yang ketat termasuk waktu tidur yang tetap walaupun mempunyai pelbagai komitmen akademik, kepimpinan dan aktiviti luar yang perlu diuruskan secara serentak.
“Saya bangun awal setiap hari dan akan rancang jadual saya sebelum Subuh supaya saya tahu apa yang perlu disiapkan pada hari itu dan boleh kekal fokus sepanjang hari.
“Kalau kerja tidak siap pada hari itu, saya akan sambung pada keesokan hari tapi saya tetap akan ikut jadual yang saya sudah tetapkan” katanya.
Sewaktu di Universiti Columbia, Azida menerima Anugerah Kecemerlangan Dekan atas penglibatan dalam kepimpinan dan akademik termasuk dalam Lembaga Kehakiman Columbia yang mengendalikan kes disiplin pelajar universiti pada peringkat institusi.
Cabaran sesuaikan diri
Azida akui cabaran paling besar bermula sejak awal masuk ke universiti lagi berikutan dia masih belum biasa dengan suasana universiti dan perlu menyesuaikan diri dengan persekitaran akademik serta sosial yang berbeza daripada kehidupan sekolah menengah sebelum ini.
Cabaran itu menjadi lebih besar apabila dia melanjutkan pengajian ke luar negara kerana perbezaan latar belakang pelajar yang sangat ketara dari segi ekonomi, pengalaman hidup dan akses kepada peluang pendidikan sejak kecil.
Konsultasi Percuma
Azida kini aktif dalam advokasi pendidikan melalui inisiatif konsultasi percuma yang membantu pelajar berkaitan permohonan universiti, penulisan akademik, dan persediaan kemasukan ke institusi pengajian tinggi.
Dia juga menubuhkan dana bantuan pendidikan untuk pelajar kurang berkemampuan dan memerlukan sokongan kewangan kecemasan.
“Setakat ini lebih 2,000 pelajar saya sudah bantu sejak 2023 melalui konsultasi di bawah organisasi A Piece Of Education dan bimbingan yang saya jalankan sendiri.
“Saya juga akan semak setiap permohonan, buat temuduga ringkas sebelum saya tetapkan bantuan yang sesuai,” katanya.










