Pesta bendang jadi pentas budaya Kedah ke mata dunia

Pesta bendang jadi pentas budaya Kedah ke mata dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEUNIKAN budaya dan kehidupan masyarakat desa di Kedah terus menjadi perhatian apabila Pesta Bendang Antarabangsa Kampung Matang Kenanga di Jerlun berjaya menarik penyertaan pelajar antarabangsa dari pelbagai negara.

Bukan sahaja berpeluang memahami budaya masyarakat setempat dengan lebih dekat, peserta turut menikmati pengalaman menyertai sukan tradisional, menikmati juadah kampung serta menyaksikan sendiri keindahan sawah padi yang menjadi identiti Kedah.

Bahkan, program anak angkat yang turut diadakan sempena pesta itu memberi peluang kepada peserta mempelajari lebih dekat budaya masyarakat setempat.

Kebanyakan peserta yang terdiri daripada pelajar Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) menyifatkan program tersebut sebagai pengalaman baharu dan sukar dilupakan.

Pelajar dari Nigeria, Abdul Salam, 25, berkata, pengalaman paling menarik adalah apabila dia perlu memakai kain pelikat ketika bermaim permainan tradisional.

“Di negara saya, hanya wanita memakai kain sarung, jadi pada mulanya saya fikir agak sukar untuk saya memakainya dan bergerak dalam permainan itu. Namun selepas mencuba sendiri, saya dapati ia tidak sesukar.

“Apabila saya muat naik video menarik di media sosial saya, ramai rakan-rakan di negara asal tertarik dengan budaya Malaysia,” katanya.

 

BAHASA BUKAN PENGHALANG
Pelajar dari Pakistan, Roman Khan, 22, teruja dengan layanan keluarga angkat dan juadah tradisional yang disediakan sepanjang program berlangsung.

“Paling istimewa saya dapat minum air kelapa buat kali pertama selain mempelam yang disediakan keluarga angkat,” katanya.

Seorang lagi pelajar, Aji Sira, 23, menyifatkan penduduk kampung di kawasan itu sebagai sangat mesra walaupun berdepan kekangan bahasa.

“Mereka tetap cuba berkomunikasi walaupun tidak fasih berbahasa Inggeris selain melayan kami dengan baik dan menyediakan makanan sepanjang berada di sini,” katanya.

Dia tidak kekok tinggal bersama keluarga angkat kerana cepat menyesuaikan diri sejak menetap di negara ini bagi menyambung pelajaran.

JADI ACARA TAHUNAN
Penganjuran Pesta Bendang Antarabangsa Kampung Matang Kenanga pada tahun ini tampil dengan beberapa pembaharuan termasuk penyertaan peserta antarabangsa dari hampir 22 negara.

Menurut Pengarah Program, Abd. Hadi Omar, antara kelainan diperkenalkan adalah permainan baharu berasaskan jerami seperti ‘Istana Takeshi’ dan ‘Jerami Soccer Challenge’.

“Kami juga menyediakan Teratak Kampung Matang Kenanga serta muzium mini untuk menyambut tetamu dengan juadah tradisional seperti cekodok, kopi O dan biskut empat segi sebagai tanda penghargaan kepada pengunjung.

“Edisi kelima ini berskala lebih besar kerana kita turut menerima penyertaan pelajar antarabangsa buat tahun kedua,” katanya.

Tambahnya, program anak angkat yang diadakan turut menjadi platform merapatkan hubungan antara penduduk kampung dengan peserta antarabangsa.

Sementara itu, warga emas, Rokiah Teh, 80, gembira menerima kehadiran pelajar luar negara yang disifatkan mudah mesra dan gemar menikmati makanan kampung.

“Walaupun tak pandai bahasa Inggeris, anak saya bantu berkomunikasi dengan mereka.

“Mereka sempat memberitahu mahu datang lagi pada musim cuti,” katanya.

Ahli Parlimen Jerlun, Dr. Abdul Ghani Ahmad berkata, program tradisional itu bukan sahaja mampu menghidupkan semula budaya, malah menjadi tarikan pelancongan baharu.

“Jerami sangat dekat dengan kehidupan penduduk Kedah terutama di Jerlun keran kebanyakannya terlibat dalam penanaman padi.

“Apabila elemen itu dipopularkan semula melalui pelbagai aktiviti dan pameran, ia mampu menjadi daya tarikan kepada pengunjung termasuk dari luar negara,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN