Perubahan sikap anak yang tiba-tiba menjadi pendiam, sering termenung atau enggan ke sekolah tidak seharusnya dipandang ringan oleh ibu bapa.
Di sebalik perubahan tersebut, mungkin tersembunyi luka emosi yang tidak mampu diluahkan akibat kata-kata yang dianggap remeh, namun sebenarnya memberi impak besar kepada perkembangan diri kanak-kanak.
Kaunselor berdaftar, Nurfarahira Ahmad Yaccob berkata, buli dalam bentuk kata-kata atau ejekan pada usia tadika boleh memberi kesan mendalam terhadap pembentukan identiti anak.
“Kanak-kanak membina konsep kendiri berdasarkan perkara yang orang sekeliling kata tentang mereka.
“Jika mereka sering diejek, mereka akan mula percaya bahawa perkara itu adalah benar, lalu terbentuk ‘suara hati’ yang negatif dalam diri,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Katanya, pada usia antara tiga hingga enam tahun, kanak-kanak berada dalam fasa perkembangan psikososial yang kritikal.
“Dalam teori Erik Erikson, fasa ini dikenali sebagai initiative versus guilt. Jika emosi anak sering disakiti, mereka akan mula rasa bersalah untuk mencuba sesuatu yang baharu, menjadi pasif dan takut untuk bergaul,” katanya.
Keadaan ini boleh menyebabkan anak hilang keyakinan diri, malah ada yang mula mempersoalkan nilai diri sendiri seperti ‘saya tidak pandai’ atau ‘saya tidak cantik’.
Tanda awal anak jadi mangsa buli
Ibu bapa perlu peka terhadap perubahan emosi dan tingkah laku anak sebagai tanda awal berlakunya tekanan emosi.
Anak yang sebelum ini ceria boleh menjadi pendiam dan murung, sering termenung atau mengasingkan diri.
Sesetengahnya mengalami gangguan tidur seperti mengigau atau mimpi buruk, malah mula merendahkan diri sendiri melalui kata-kata yang mereka ungkapkan.
“Perubahan ini adalah ‘signal’ anak sedang berdepan tekanan emosi dan memerlukan perhatian segera daripada ibu bapa,” katanya.
Bantu pulihkan emosi anak
Ibu bapa perlu mengamalkan pendekatan emotion coaching bagi membantu anak memahami dan mengurus emosi mereka.
Menurutnya, pendekatan ini bukan sahaja membina empati, malah menguatkan hubungan antara ibu bapa dan anak.
“Ibu bapa perlu terlebih dahulu menyedari emosi anak dan melihatnya sebagai peluang untuk mendekati mereka.
“Dengar dengan empati, beri ruang anak bercerita dan bantu mereka menamakan perasaan yang dialami,” katanya.
Ibu bapa juga perlu menetapkan had serta membimbing anak mencari penyelesaian secara berhemah.
“Contohnya, ibu bapa boleh bertanya sama ada tindakan bergaduh itu baik atau bagaimana perasaan rakan yang disakiti. Ini membantu anak memahami kesan perbuatan mereka terhadap orang lain,” katanya.
Jangan bertindak terburu-buru
Nurfarahira berkata, ibu bapa perlu kekal tenang dan tidak bertindak emosional apabila mengetahui anak menjadi mangsa buli.
“Langkah pertama adalah validasi. Dengar cerita anak supaya mereka rasa selamat dan dibela.
“Selepas itu, ibu bapa boleh berbincang dengan tadika atau sekolah dan mengambil pendekatan profesional untuk menyelesaikan isu,” katanya.
Tindakan terburu-buru atau menyerang pihak lain hanya akan memberi contoh negatif kepada anak.










