Dalam wacana seni foto, fotografi pendedahan lama (long exposure) merupakan satu teknik khusus yang membolehkan jurufoto merakam peredaran masa dalam sekeping gambar.
Secara asasnya, teknik ini merujuk kepada proses membiarkan pengatup (shutter) kamera terbuka untuk satu tempoh yang berpanjangan, kebiasaannya bermula dari beberapa saat hingga mencecah beberapa minit.
Berbeza dengan fotografi konvensional yang membekukan satu detik secara serta-merta, pendedahan lama bertindak merekodkan kesinambungan pergerakan dalam ruang masa tersebut.
Untuk mengaplikasikan teknik ini dengan jayanya, disiplin teknikal dan kelengkapan yang tepat adalah diwajibkan. Asas paling utama ialah penggunaan tripod yang kukuh bagi menjamin kestabilan mutlak.
Memandangkan penderia (sensor) kamera didedahkan kepada proses rakaman untuk tempoh yang panjang, sebarang gegaran fizikal yang kecil sekalipun akan menjejaskan ketajaman elemen statik. Selain itu, jurufoto perlu bergantung sepenuhnya pada mod manual kamera.

Tetapan kepekaan cahaya (ISO) perlu direndahkan pada tahap minimum, manakala bukaan lensa (aperture) dikecilkan bagi mengawal kuantiti cahaya yang masuk, seterusnya mengelakkan gambar menjadi terlalu terang (overexposed).
Keistimewaan utama pendedahan lama ini paling jelas terbukti melalui penghasilan jejak cahaya (light trails). Apabila teknik ini digunakan terhadap objek bercahaya yang bergerak, seperti deretan kenderaan di jalan raya, kamera tidak merakam bentuk fizikal kenderaan tersebut.
Sebaliknya, ia merakam pergerakan lampu kenderaan itu sebagai garisan cahaya yang berterusan.

Kesan visual yang terhasil memberikan satu interpretasi yang surealis dan sangat dinamik. Coretan cahaya yang meliuk-lentuk mencipta ilusi pergerakan dan tenaga kinetik, menghasilkan kontras yang ketara apabila digabungkan bersama elemen persekitaran seperti bangunan dan landskap yang kekal statik.
Melalui pendekatan akademik dan manipulasi teknikal ini, pendedahan lama mengangkat medium fotografi melangkaui rakaman dokumentasi, menjadikannya satu medium seni yang menterjemahkan halaju dan masa kepada satu bentuk visual yang bernilai tinggi.
Penulis ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Fotografi dan Pengimejan Kreatif Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara Perak.










