Jika berkunjung ke negeri Kedah, tidak sah rasanya jika tidak singgah ke Menara Alor Setar yang menjadi antara mercu tanda paling ikonik di negeri jelapang padi itu.
Menara setinggi 165.5 meter ini bukan sahaja berfungsi sebagai menara telekomunikasi, malah turut menjadi tarikan pelancongan utama sejak dibuka kepada umum pada tahun 1997.
Ia juga merupakan antara menara telekomunikasi tertinggi di negara ini dan diuruskan oleh Telekom Malaysia Berhad.
Dari jauh lagi, struktur menara ini jelas di tengah bandar Alor Setar, seolah-olah menjadi titik tumpu landskap sekitarnya.
Setibanya di kawasan perkarangan, saya tidak melepaskan peluang merakam gambar dengan latar belakang menara yang cukup megah.

Perasaan seronok mula terasa apabila melangkah masuk ke dalam lif untuk menuju ke bahagian atas. Pergerakannya pantas dan dalam sekelip mata, saya sudah berada di dek pemerhatian.
Dari ketinggian kira-kira 88 meter, pemandangan bandar Alor Setar terbentang luas. Sawah padi menghijau jelas kelihatan, terutama ketika musim tertentu, sekali gus menggambarkan identiti Kedah sebagai jelapang padi.
Menariknya, terdapat lima set binokular yang disediakan untuk membolehkan pengunjung melihat kawasan sekitar dengan lebih dekat walaupun dari jarak jauh.
Selain menikmati panorama, reka bentuk menara ini sendiri membawa makna tersendiri.
Ia diinspirasikan daripada serumpun padi, manakala tiang utamanya melambangkan tiang seri, simbol kekuatan dan ketahanan rakyat negeri Kedah.
Bagi yang ingin pengalaman lebih istimewa, pengunjung boleh meneruskan lawatan ke bahagian Skyview yang menawarkan dua dek utama.
Antaranya termasuk Skyview Revolving Glass Hall serta Observation Deck yang memberikan sudut pandang menyeluruh bandar dari aras tinggi.

Selain itu, terdapat juga ruang pada ketinggian 100 meter yang sering digunakan untuk pelbagai acara seperti seminar, kursus dan majlis rasmi.
Tidak ketinggalan, restoran berputar pada aras 94 meter turut menjadi tarikan, membolehkan pengunjung menikmati hidangan sambil menyaksikan panorama yang berubah secara perlahan.
Lebih menarik, tarikan baharu dikenali sebagai Star View di Open Deck pada ketinggian 105 meter menawarkan pengalaman unik melalui dua kotak kaca yang menghadap arah berbeza.
Kotak kaca ini dihiasi dengan warna rasmi negeri Kedah iaitu hijau dan kuning, sekali gus memberikan pengalaman visual yang lebih menarik kepada pengunjung.
Kemudahan ke bahagian ini turut dipertingkatkan dengan ruang menunggu yang selesa serta lif hidraulik yang memudahkan pergerakan ke aras atas.
Suasana di atas cukup tenang dan sesuai untuk bergambar atau sekadar menikmati pemandangan dari perspektif berbeza.
Menjelang waktu senja, pemandangan menjadi lebih memukau apabila langit berubah warna dan lampu-lampu bandar mula menyala.
Sebelum turun, saya sempat meluangkan masa di ruang pameran yang memaparkan sejarah pembinaan menara ini serta peranannya kepada negeri Kedah.
Bagi saya, Menara Alor Setar bukan sekadar tempat melihat pemandangan, tetapi satu destinasi santai yang menggabungkan elemen sejarah, keindahan dan identiti negeri dalam satu pengalaman.
Jika anda merancang percutian ke utara, jangan lepaskan peluang untuk singgah dan menikmati sendiri keindahannya.










