Di sebuah lokasi yang mungkin tidak begitu dikenali ramai, tersimpan khazanah berharga yang menghubungkan kita dengan sejarah ulama Nusantara. Terletak di Madrasah Pak Kob, Kampung Pantai Chenor, sebuah galeri sederhana kini menjadi tempat menghimpunkan artifak yang sarat nilai spiritual dan sejarah.
Galeri Ulama Awla bukan sekadar ruang pameran biasa. Ia ibarat jendela masa yang membawa pengunjung menelusuri kehidupan dan perjuangan tokoh-tokoh agama yang pernah mencorakkan sejarah Islam di alam Melayu.
Antara artifak yang paling mencuri perhatian ialah sebuah tempat letak serban dan tasbih milik Sayyid Abdul Rahman Muhammad Al-Idrus, seorang ulama besar yang cukup berpengaruh pada zamannya.
Sayyid Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Tok Ku Paloh bukan sahaja dikenali sebagai tokoh agama, malah merupakan keturunan ke-32 Rasulullah SAW.
Pengaruhnya melangkaui bidang keilmuan apabila beliau turut menjadi guru kepada ramai tokoh pejuang Melayu yang bangkit menentang penjajahan Inggeris pada akhir abad ke-19.
Antara tokoh yang pernah berguru dengannya termasuk Datuk Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau, Haji Abdul Rahman Limbong serta Tok Janggut.
Menurut Mudir Madrasah Pak Kob, Ustaz Barkatullah Mohd. Bahari, artifak tempat letak serban dan tasbih itu bukan sekadar objek lama, tetapi simbol hubungan akrab antara guru dan murid dalam tradisi Islam.
Katanya, artifak tersebut pernah dihadiahkan oleh Tok Ku Paloh kepada seorang anak muridnya, Abdul Majid yang berasal dari Chenor.
“Pemberian itu bukan sekadar tanda penghargaan, malah melambangkan ikatan silaturahim yang erat antara seorang guru dan anak didiknya.
“Abdul Majid difahamkan menuntut ilmu dengan Tok Ku Paloh di Terengganu sekitar awal tahun 1900. Selepas tamat pengajian, beliau pulang ke Pahang sambil membawa bersama artifak tersebut.
“Sejak itu, barangan berkenaan diwarisi turun-temurun dan dijaga dengan penuh amanah oleh generasi seterusnya sehingga kini,” katanya.
Menurut Ustaz Barkatullah, tempat letak serban dan tasbih itu lazim digunakan oleh Tok Ku Paloh selepas solat atau selesai menyampaikan ilmu kepada para pelajarnya.
Ia mungkin kelihatan sederhana, namun nilai simboliknya sangat besar dalam menggambarkan kehidupan seorang ulama yang dihormati.
Lebih menarik, kajian yang dijalankan beliau turut menemukan ramai ulama dari Pahang, khususnya dari Chenor, pernah merantau jauh semata-mata untuk menuntut ilmu.
Perjalanan tersebut bukan mudah kerana mereka perlu meredah jalan laut dan darat untuk sampai ke Terengganu.
Namun, semangat menuntut ilmu mengatasi segala kesukaran, sekali gus melahirkan ramai ulama yang kemudiannya menyumbang kepada perkembangan Islam di Pahang.
Chenor sendiri akhirnya muncul sebagai salah satu pusat penyebaran ilmu Islam yang penting di negeri tersebut.
Dalam masa sama, sejarah turut membuktikan bahawa tokoh-tokoh pejuang Pahang bukan sahaja mempelajari ilmu agama, malah mendalami strategi perjuangan berteraskan akidah.
Nama-nama seperti Tok Gajah, Mat Kilau dan Datuk Bahaman bukan asing dalam sejarah penentangan terhadap penjajah Inggeris.
Mereka membawa semangat perjuangan yang berpaksikan ajaran Islam, hasil didikan ulama seperti Tok Ku Paloh.
Selain artifak milik Tok Ku Paloh, Galeri Ulama Awla turut menempatkan pelbagai koleksi lain yang tidak kurang menarik.
Antaranya termasuk rotan gelung milik Haji Abdul Rahman Limbong, kendi wuduk milik Waliyullah Tun Cik Leh, serta tempat hidangan milik Tok Ku Syed Saqqaf.
Turut dipamerkan ialah kitab-kitab karangan ulama terkenal seperti Tuan Tabal yang menjadi rujukan penting dalam dunia keilmuan Islam. Satu daripada koleksi yang paling bernilai ialah manuskrip al-Quran tulisan tangan yang berusia lebih 300 tahun.
Selain itu, terdapat juga naskhah berusia sekitar 200 tahun milik ulama tempatan dikenali sebagai Pak Minhat dan Lebai Din.
Kewujudan manuskrip ini membuktikan kehalusan seni serta ketekunan ulama terdahulu dalam memelihara kalam Allah.
Galeri ini juga menyimpan bekas hidangan dan wangian milik Tok Ku Syed Saqqaf, anak kepada Tok Ku Paloh.
Artifak tersebut dikatakan pernah dihadiahkan kepada seorang ulama dari Chenor, Haji Abdullah, sekali gus menggambarkan hubungan erat antara ulama Terengganu dan Pahang.
Menurut Ustaz Barkatullah, galeri ini dibuka kepada orang ramai bagi memberi peluang kepada generasi hari ini mengenali warisan ulama silam. Ia juga menjadi ruang untuk masyarakat melihat sendiri peninggalan tokoh-tokoh yang pernah memainkan peranan besar dalam perkembangan Islam di rantau ini.
Katanya, usaha pemuliharaan semua artifak dilakukan dengan penuh tanggungjawab dan beretika. Ini termasuk penjagaan manuskrip al-Quran tulisan tangan yang memerlukan perhatian khusus agar tidak rosak dimakan usia.
Segala usaha ini dilakukan supaya warisan berharga ini terus kekal dan dapat dihayati oleh generasi akan datang. Dalam dunia yang semakin moden, galeri seperti ini menjadi pengingat tentang pentingnya menghargai sejarah dan jasa tokoh terdahulu.
Ia bukan sekadar tempat menyimpan artifak, tetapi juga ruang untuk menghidupkan kembali semangat ilmu, perjuangan dan nilai yang pernah menjadi asas kekuatan masyarakat suatu ketika dahulu.










