Guna fon telinga lebih 80 minit sehari boleh jejas pendengaran

Guna fon telinga lebih 80 minit sehari boleh jejas pendengaran

PENGGUNAAN fon telinga yang tidak terkawal boleh jejas pendengaran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Penggunaan fon telinga atau fon kepala sudah menjadi trend dalam kalangan masyarakat kita.

Kanak-kanak dan remaja menggunakannya untuk sesi pembelajaran selain bermain permainan video dan mendengar muzik.

Manakala, golongan dewasa pula lebih cenderung menggunakan fon telinga ketika bekerja, menjawab panggilan telefon, mengikuti mesyuarat dalam talian serta sebagai hiburan ketika bersenam.

Namun, penggunaan secara kerap melebihi 80 minit sehari dan pada tahap bunyi maksimum berisiko menjejaskan kesihatan pendengaran.

Audiologist di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), Dalilawati Mohd. Kassim berkata, jika tabiat itu berterusan dalam jangka masa panjang, ia boleh mengakibatkan masalah pendengaran kekal kepada individu.

Bagaimanapun, situasi itu boleh dielak dengan mengamalkan beberapa langkah selamat dalam penggunaan gajet elektronik tersebut.

Antaranya ialah memastikan tahap bunyi tidak melebihi 60 peratus daripada kapasiti maksimum selain mengehadkan tempoh penggunaannya.

“Jika perlu menggunakannya sehingga tiga jam untuk mesyuarat, kelas atau persidangan, ambil rehat berkala setiap 30 hingga 60 minit bagi memberikan telinga masa pemulihan,” katanya baru-baru ini.

Dalilawati berkata, faktor-faktor lain yang menjejaskan pendengaran seseorang ialah penuaan, genetik, pendedahan kepada persekitaran bising, jangkitan telinga, kesan penyakit tertentu, komplikasi ketika lahir dan trauma atau kecederaan.

Gejala

Masalah pendengaran biasanya bermula pada tahap ringan sebelum menjadi semakin teruk.

Antara gejalanya ialah telinga berdesing berterusan, sukar memahami percakapan orang lain di tempat bising, pertuturan tidak jelas, malah sering meminta orang lain untuk bercakap dengan lebih perlahan, jelas dan kuat.

Bukan itu sahaja, pesakit cenderung meninggikan bunyi televisyen atau radio.

Sehubungan itu, individu yang mengalami gejala ini disaran mendapatkan pemeriksaan doktor dengan segera.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN