Sukan waktu malam bantu tingkat kualiti tidur dan kesegaran tubuh

Sukan waktu malam bantu tingkat kualiti tidur dan kesegaran tubuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bersukan pada waktu malam sering menjadi pilihan orang ramai, terutama bagi mereka yang sibuk bekerja pada siang hari.

Persoalan sama ada aktiviti fizikal pada waktu malam baik atau sebaliknya untuk kesihatan masih sering diperdebatkan.

Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dari Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Mohd. Zulkhairi Mohd. Azam berkata, bersukan pada waktu malam tidak membahayakan kesihatan dan malah memberi pelbagai manfaat, asalkan aktiviti dilakukan dengan cara yang betul dan mengikut kemampuan tubuh.

Pelbagai kajian menunjukkan aktiviti fizikal boleh dilakukan pada bila-bila masa, sama ada pagi, petang atau malam, kerana manfaatnya tetap sama.

“Yang paling penting ialah konsistensi. Tidak kira dilakukan pada waktu pagi atau malam, aktiviti fizikal tetap memberi kesan positif kepada kesihatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam konteks masyarakat Malaysia, beliau berkata kebanyakan individu lebih cenderung bersukan pada waktu petang atau malam kerana kekangan masa pada siang hari.

Kesan sukan malam

Dr. Mohd Zulkhairi berkata, bersukan terlalu lewat malam atau berpanjangan boleh memberi kesan negatif kepada tubuh.

Aktiviti yang bermula sekitar pukul 10 malam dan berakhir hampir tengah malam berisiko mengganggu ‘biological clock’ kerana badan memerlukan masa untuk pulih sebelum tidur.

“Terus tidur selepas bersukan atau makan boleh membahayakan, terutama bagi individu dengan masalah jantung kerana jantung masih bekerja dan metabolisme belum stabil sepenuhnya,” jelasnya.

Oleh itu, disarankan memberi tempoh satu hingga dua jam selepas bersukan atau makan supaya tubuh mempunyai masa menenangkan diri sebelum tidur.

Selain itu, memaksa diri bersukan ketika badan terlalu penat selepas seharian bekerja boleh meningkatkan risiko kecederaan kerana otot berada dalam keadaan keletihan.

Manfaat sukan malam

Walaupun sering dipersoalkan, sukan malam sebenarnya memberi pelbagai manfaat jika dilakukan dengan betul.

Sukan pada waktu malam boleh membantu meningkatkan kualiti tidur kerana seseorang lebih mudah mencapai fasa tidur yang mendalam (deep sleep).

Fasa tidur ini penting kerana badan menjalankan proses pemulihan otot dan tenaga selepas aktiviti fizikal.

Selain itu, sukan malam juga boleh menjadi ruang beriadah selepas seharian bekerja.

Aktiviti seperti berjoging, berbasikal, yoga atau permainan bola ringan bukan sahaja meningkatkan kecergasan fizikal, malah memberi manfaat kepada kesihatan mental kerana individu dapat melepaskan tekanan harian dan bersosial dengan rakan-rakan.

Dr. Mohd Zulkhairi menegaskan sukan malam tidak perlu bersifat kompetitif. Fokus utama ialah menjaga kesihatan, kesegaran dan kesejahteraan mental.

Amalan sebelum dan selepas sukan

Beliau turut menambah, pemanasan sebelum bersukan dan penyejukan selepas aktiviti adalah penting bagi memaksimumkan manfaat sukan malam.

“Pemanasan sebelum bersukan membantu otot dan sendi dalam keadaan bersedia, mengurangkan risiko kecederaan dan memudahkan badan bergerak. Cooling down pula mempercepat pemulihan badan selepas aktiviti,” jelasnya.

Ramai individu di negara ini tidak mengamalkan langkah ini, menyebabkan mereka mengalami sakit otot atau delayed onset muscle soreness (DOMS) pada keesokan hari.

Sukan pada waktu malam perlu dimulakan lebih awal, pada sekitar pukul 8 malam dan tidak berpanjangan sehingga lewat malam.

Selepas selesai bersukan, tempoh satu hingga dua jam sebelum tidur amat penting supaya tubuh dapat menenangkan diri dan metabolisme kembali stabil.

Individu yang sesuai untuk sukan malam

Bersenam pada waktu malam sesuai bagi orang dewasa yang sihat dan bebas masalah kesihatan kronik, dengan syarat tubuh bersedia, tidak terlalu letih dan cukup berehat sebelum memulakan aktiviti.

Bagi mereka yang mempunyai penyakit jantung, darah tinggi atau masalah pernafasan ringan, sukan malam boleh dilakukan dengan memilih aktiviti berintensiti rendah seperti berjalan laju, joging perlahan atau regangan.

Aktiviti ini selamat kerana tidak membebankan jantung dan tubuh secara berlebihan.

Namun, mendengar isyarat tubuh sangat penting. Apabila badan terlalu penat, berehat dianggap lebih wajar daripada memaksa diri bersukan.

Menurut Dr. Mohd. Zulkhairi, lebih baik melakukan sesuatu aktiviti fizikal daripada langsung tidak bersenam, kerana gaya hidup sedentari meningkatkan risiko penyakit seperti diabetes, tekanan darah tinggi, penyakit jantung dan obesiti.

Tujuan utama bersukan malam ialah untuk menjaga kesihatan fizikal, kesejahteraan mental dan interaksi sosial, bukan untuk bersaing secara kompetitif.

Dengan pendekatan ini, sukan malam boleh menjadi aktiviti sihat yang memberi manfaat menyeluruh kepada tubuh dan minda.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN