MACAM budak-budak? Tidak sedikit pun tersinggung jika ada yang memperli saya sedemikian hanya kerana bermain Lego.
Bata plastik kecil berwarna-warni yang boleh dicantumkan antara satu sama lain itulah adalah antara permainan saya waktu kecil dahulu. Malah, anak-anak saya juga masih bermain Lego tatkala usia sudah mencecah remaja.
Justeru, apabila dipelawa untuk menyertai aktiviti bersama Lego baru-baru ini, saya tidak teragak-agak menolaknya. Saya begitu teruja untuk kembali semula ke zaman kanak-kanak!
Dinamakan Build Your Dream Ride Autoshop Experience, aktiviti keluarga ini memerlukan mereka membentuk dan mencipta kenderaan impian menggunakan bata serta komponen Lego. Tidak kisahlah sama ada membina kereta lumba, trak atau apa sahaja kenderaan mengikut kreativiti masing-masing.
Bukan sahaja dalam bentuk model, malah mereka sampai boleh berimaginasi yang rekaan tersebut ‘hidup’ menjadi realiti hingga boleh dibawa ke litar lumba. Ada enam misi perlu diselesaikan para peserta untuk merealisasikan impian menjadi seorang pereka dan pelumba kereta.

Misi pertama adalah ‘bina makmal kenderaan’ di mana peserta memilih dan memadankan komponen-komponen modular Lego bagi menghasilkan sebuah kenderaan. Bukan setakat boleh bergerak di atas jalan, malah mereka berpeluang mencetuskan kreativiti mencipta kenderaan yang mungkin boleh terbang atau bergerak dalam air.
Seterusnya adalah ‘sedia untuk bergerak.’ Peserta perlu memilih tayar yang sesuai untuk beberapa model kenderaan yang disediakan.
Contohnya, kalau kereta sport, sudah tentu tayar lumba lebih sesuai dipasang padanya. Begitu juga kalau trak, pastinya tayar bersaiz besar dan boleh digunakan di laluan off-road jadi pilihan, terpulanglah pada imaginasi sendiri.
Misi ketiga, ‘zon uji’ untuk memastikan kenderaan mampu bergerak pantas dan selamat dengan dilepaskan di litar bercerun. Kalau ‘gagal’, mungkin ada komponen yang tidak sesuai dan mereka berpeluang menggantikan atau mengubah suai apa yang patut.
Kemudian mereka ke ‘warnai kenderaan impian.’ Misi ini memerlukan para peserta mewarnakan kenderaan masing-masing.
Kalau mahu lebih kreatif, boleh sahaja cipta logo sendiri atau lakar Jalur Gemilang pada badan kenderaan bagi mencetuskan semangat patriotik. Seterusnya, misi yang ditunggu-tunggu iaitu ‘berlumba dengan penuh semangat.’

Setiap seorang disediakan go-kart berkuasa bateri yang diselaraskan mengikut ketinggian dan berat badan masing-masing. Misinya adalah menamatkan lapan pusingan dalam masa 10 minit.
Pemenang bukanlah siapa yang sampai dahulu ke garisan penamat litar sejauh 200 meter itu sebaliknya yang mana boleh menghasilkan masa terpantas. Ingatkan sayalah yang paling hebat dapat mengalahkan peserta lain termasuk kanak-kanak.
Rupa-rupanya semua hebat-hebat belaka. Daripada 10 pelumba, saya di kedudukan kelapan!
Misi terakhir, bergambar dengan figura pelumba mini Lego 3D dan pos di akaun media sosial.
Selepas selesai semua misi yang memakan masa tidak sampai dua jam, peserta boleh menebus figura bersama trofi emas.
Pengarah Pemasaran Singapura, Malaysia dan APAC Travel Retail, Kumpulan Lego, Ágnes Molnár berkata, pihaknya percaya bermain adalah cara paling berkuasa untuk kanak-kanak meneroka dunia, mencetuskan kreativiti dan membina keyakinan diri.
“Kempen Build Your Dream Ride memberi peluang kanak-kanak menjadi ‘pemandu’ dengan membina dan menyesuaikan kenderaan impian mereka,” katanya.
Ia berlangsung hingga 30 Jun di KF Kiddy Circuit, Mid Valley Megamall Kuala Lumpur dan Mid Valley Southkey Johor Bahru.











