Sajian warisan Pahang bangkit memori rasa di Geo Resort & Hotel

Sajian warisan Pahang bangkit memori rasa di Geo Resort & Hotel

Ya Habibi Iftar Bufet Ramadan menggabungkan masakan Melayu tradisional dan sentuhan Asia Barat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMADAN kali ini, suasana berbuka puasa di tanah tinggi Genting Highlands pastinya lebih istimewa apabila Geo Resort & Hotel mempersembahkan ‘Ya Habibi Iftar Bufet Ramadan’, sebuah pengalaman kulinari berkonsepkan sentuhan Arab yang digabungkan dengan keunikan masakan Melayu tradisional.

Menampilkan lebih 150 jenis hidangan, bufet ini menjanjikan kepelbagaian rasa daripada pembuka selera hingga ke pencuci mulut. Tema Ya Habibi Iftar membawa pengunjung mengembara ke dunia Asia Barat dengan aroma rempah yang memikat, namun tetap mengekalkan jiwa dan warisan tempatan yang dekat di hati rakyat Malaysia.

Antara tarikan utama yang pastinya mencuri perhatian ialah Nasi Kambing Smokey yang dimasak sempurna dengan teknik khas bagi menghasilkan tekstur daging lembut dan beraroma, serta Shawarma Kayangan yang dihidangkan panas-panas dengan isian berempah dan sos istimewa. Setiap suapan memberi keseimbangan rasa yang kaya dan memuaskan.

Namun, satu hidangan yang mengangkat identiti Pantai Timur ialah Daging Opor Pahang, satu sajian tradisi yang jarang ditemui dalam bufet hotel. Keunikan opor ini terletak pada penggunaan santan segar yang dimasak perlahan bersama rempah ratus yang ditumbuk halus seperti ketumbar, jintan manis, jintan putih, buah keras serta campuran serai dan daun kunyit yang menaikkan aroma.

Daging diperap dengan bahan kisar sebelum dimasak perlahan agar seratnya menyerap kuah santan berempah. Renehan lama menghasilkan kuah pekat keemasan yang lemak berkrim, sedikit manis dan pedas seimbang. Daging kekal lembut, kuahnya kaya rasa, enak dinikmati bersama nasi putih panas atau nasi Arab.

Keistimewaan bufet ini turut diserikan dengan stesen live cooking yang sentiasa menjadi tumpuan. Aroma char kuey teow yang digoreng panas di hadapan pengunjung pasti membangkitkan selera, di samping aneka goreng-gorengan seperti pisang goreng rangup dan keropok lekor yang digoreng keemasan. Tidak ketinggalan hidangan ikonik Ramadan seperti murtabak dan roti john yang disediakan segar dari kuali.

Bagi penggemar hidangan laut, terdapat juga ikan bakar yang disajikan bersama air asam pedas manis yang menyelerakan. Pengunjung juga boleh menikmati yong tau fu dengan pelbagai sayur dan bebola segar.

Kesemua hidangan ini disempurnakan oleh hampir 12 orang cef berpengalaman yang berganding bahu memastikan setiap menu memenuhi standard kualiti terbaik.

Bufet Ramadan ini berlangsung dari 19 Februari hingga 15 Mac 2026 dengan harga RM158 (dewasa), RM79 (warga emas dan kanak-kanak bawah 12 tahun), manakala kanak-kanak enam tahun ke bawah makan percuma.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN