Pemilihan rakan dalam kalangan kanak-kanak bukan sekadar soal bermain bersama, sebaliknya menjadi asas penting dalam pembentukan sahsiah, emosi dan identiti diri.
Pakar Psikologi Klinikal Kanak-Kanak dan Pengarah Urusan CPC International Konsultan Psikologi Hospital Pakar Salam Senawang, Dr. Noor Aishah Rosli berkata, kecenderungan memilih kawan bermula secara semula jadi berdasarkan persamaan minat dan rasa selesa.
Kanak-kanak cenderung berkawan dengan individu yang mempunyai hobi sama seperti bersukan, bermain anak patung atau melakukan aktiviti bersama.
Apabila wujud keserasian dalam aktiviti dan komunikasi, mereka berasa selesa dan cenderung meneruskan hubungan tersebut.
“Walaupun masih kecil, kanak-kanak sebenarnya ada logik akal untuk menilai sama ada seseorang itu sesuai dijadikan kawan atau tidak. Mereka boleh rasa jika kawan itu kedekut, tidak mahu berkongsi atau sebaliknya seorang yang baik,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagi kanak-kanak prasekolah, dunia mereka berpusat pada permainan, maka mereka memilih rakan yang selalu bermain bersama.
Murid sekolah rendah pula mula menghargai kawan yang setia, membantu, menemani ke tandas dan menyertai aktiviti bersama. Keserasian dan rasa senang menjadi faktor utama dalam menentukan persahabatan.
Tahap kefahaman kanak-kanak tentang pengaruh baik dan buruk berbeza mengikut usia dan kematangan.
Kanak-kanak berusia lima hingga enam tahun mudah meniru tingkah laku rakan tanpa menilai kesannya.
Bagi kanak-kanak yang lebih besar, walaupun mereka sudah tahu sesuatu perbuatan itu salah, keinginan untuk diterima dalam kumpulan membuatkan mereka sukar berkata tidak.
Pada usia ini, emosi lebih kuat berbanding pertimbangan rasional dan mereka takut disisih atau diejek jika tidak mengikut rakan.
Kesan segera dan jangka panjang
Menurut Dr. Noor Aishah, pengaruh rakan sebaya boleh memberi kesan segera terhadap tingkah laku.
Kanak-kanak mungkin berubah menjadi lebih nakal, tidak mendengar kata, menjerit atau memukul. Perubahan mendadak ini sering berpunca daripada peniruan tingkah laku rakan.
Prestasi akademik juga boleh terjejas apabila mereka lebih tertarik kepada perkara yang dianggap menyeronokkan seperti mengusik atau membuat bising, sehingga hilang fokus dalam pembelajaran.
Situasi ini berpotensi menimbulkan konflik antara ibu bapa dan guru.
Dalam jangka panjang, pengaruh rakan sebaya memberi kesan besar terhadap pembentukan identiti diri yang mula berkembang seawal usia lima tahun.
Sifat seperti penyayang, suka berkongsi atau kedekut mula terbentuk pada peringkat ini.
“Jika masalah kecil seperti mengambil barang tanpa izin tidak dibendung sejak awal, ia boleh berkembang menjadi perbuatan mencuri apabila dewasa,” katanya.
Kajian sosial turut menunjukkan pengaruh rakan sebaya sangat kuat pada usia 9 hingga 15 tahun.
Jika berkawan dengan rakan rajin dan gemar belajar, anak cenderung meniru sikap tersebut.
Sebaliknya, jika tersalah pilih rakan yang suka ponteng atau bercakap kasar, risiko terjebak dengan tingkah laku negatif lebih tinggi.
Fenomena ini selari dengan teori pembelajaran sosial oleh Albert Bandura, yang menjelaskan bahawa kanak-kanak belajar melalui pemerhatian dan peniruan.
Mereka meniru gaya belajar, percakapan dan tingkah laku individu di sekeliling.
Tanda anak terpengaruh
Antara tanda anak terpengaruh dengan rakan yang tidak sesuai ialah perubahan personaliti dan bahasa. Contohnya, anak yang sebelum ini tidak menggunakan kata-kata yang kurang sopan mula menyebut perkataan kasar yang dipelajari di sekolah.
Selain itu, anak mungkin menjadi lebih agresif, mudah melawan dan cepat marah apabila ditegur.
Perubahan mendadak ini wajar diberi perhatian kerana ia berkemungkinan berpunca daripada pengaruh rakan sebaya.
Katanya, setiap kanak-kanak datang daripada latar belakang keluarga berbeza.
“Ada yang terdedah kepada pertengkaran atau bahasa kasar di rumah, lalu mengulanginya di sekolah. Tingkah laku yang diperhati akan ditiru dan disebarkan dalam kelompok rakan,” katanya.
Peranan ibu bapa dan sekolah
Ibu bapa memainkan peranan penting dalam membimbing pemilihan rakan sejak anak berusia empat atau lima tahun. Nilai baik dan buruk perlu diterangkan dengan bahasa mudah dan diulang secara konsisten.
Penggunaan bahan visual seperti video pendidikan serta aktiviti role play bersama anak boleh membantu mereka memahami contoh tingkah laku yang betul.
Ibu bapa juga digalakkan untuk mengenali setiap rakan anak, mengetahui latar belakang mereka dan berkomunikasi secara santai tentang pergaulan di sekolah.
Pendekatan ini membantu ibu bapa memahami persekitaran sosial anak tanpa bersikap terlalu mengongkong.
Apabila rakan mengenali ibu bapa, mereka cenderung lebih berhati-hati dalam bertingkah laku.
Di sekolah pula, guru dan kaunselor boleh melaksanakan program kemahiran sosial dan pendidikan emosi seperti nilai hormat, berkongsi dan empati.
Aktiviti role play dalam kelas membantu murid memahami cara menjadi kawan yang baik.
Kaunselor juga boleh menjalankan saringan awal untuk mengenal pasti murid yang menunjukkan tingkah laku agresif supaya intervensi dapat dilakukan lebih awal.
Pilih rakan ke arah kebaikan
Katanya, kawan yang baik ialah yang mengajak melakukan perkara positif, seperti belajar bersama, bercakap sopan dan menolong guru.
Sebaliknya, rakan yang mengajak mencuri, memulaukan orang lain atau melawan guru adalah tanda persahabatan yang tidak baik.
Aktiviti seperti penceritaan kisah moral, permainan kad nilai murni dan lakonan situasi boleh memupuk nilai persahabatan yang sihat di rumah dan sekolah.
Kerjasama erat antara ibu bapa, guru dan kaunselor amat penting dalam membimbing anak memilih kawan yang baik.
Persahabatan yang sihat bukan sahaja menyokong pencapaian akademik, malah membentuk identiti dan emosi yang positif sejak kecil.









