Kenapa ada wanita sukar tinggalkan lelaki 'red flag'?

Kenapa ada wanita sukar tinggalkan lelaki ‘red flag’?

RAMAI wanita sukar meninggalkan kekasih atau suami yang mempunyai ciri-ciri red flag atau toksik kerana faktor emosi yang kompleks.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ramai wanita sukar meninggalkan kekasih atau suami yang mempunyai ciri-ciri red flag atau toksik kerana faktor emosi yang kompleks.

Cinta, harapan untuk perubahan, ketakutan bersendirian, tekanan keluarga, kebergantungan kewangan, dan rasa malu sering menjadi penghalang utama.

Ada juga yang terperangkap dalam fasa ‘trauma bonding’, iaitu keadaan di mana kitaran pujuk-rayu dan penderaan emosi menjadikan mangsa semakin sukar melepaskan diri.

Dalam banyak keadaan, wanita percaya pasangan akan berubah, sedangkan corak tingkah laku sebenarnya semakin memburuk.

Pakar psikologi dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Madya Dr. Fauziah Mohd. Saad berkata, manipulasi emosi atau gaslighting menyebabkan mangsa meragui penilaian diri sendiri.

Katanya, keadaan itu membuatkan mereka berasa seolah-olah terlalu sensitif atau membesar-besarkan isu sehingga lama-kelamaan, keyakinan diri semakin terhakis sehingga sukar membuat keputusan untuk keluar daripada hubungan tersebut.

TANDA-TANDA LELAKI TOKSIK

“Tanda amaran paling jelas dalam hubungan biasanya bermula dengan sifat terlalu mengawal. Pasangan cuba mengongkong pergerakan, menentukan pakaian, malah menghadkan pergaulan dengan rakan dan keluarga.

“Pada awalnya ia mungkin kelihatan seperti sikap mengambil berat, tetapi lama-kelamaan ia berubah menjadi kawalan yang menyesakkan.

“Cemburu melampau tanpa asas munasabah juga merupakan red flag yang ketara. Setiap interaksi dengan orang lain dipersoalkan, mesej diperiksa dan tuduhan dilempar tanpa bukti. Sikap ini bukan tanda cinta, sebaliknya tanda ketidakstabilan emosi dan kurang kepercayaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dr. Fauziah berkata, manipulasi emosi dan menyalahkan pasangan atas semua perkara turut menjadi petunjuk bahaya kerana konflik diputar belit sehingga mangsa berasa bersalah walaupun bukan puncanya. Individu sebegini jarang mengakui kesilapan sendiri.

Jelasnya, kurang empati dan tidak menghormati perasaan pasangan juga tanda penting. Apabila seseorang meremehkan emosi pasangannya atau memperlekehkan tangisan serta kebimbangan, itu menunjukkan kekurangan kematangan emosi yang serius.

“Sikap panas baran atau agresif, termasuk secara verbal, tidak boleh dipandang ringan. Jeritan, makian atau ancaman adalah bentuk penderaan emosi yang boleh berkembang menjadi penderaan fizikal jika tidak dibendung.

“Satu lagi red flag ialah tidak konsistensi antara kata dan perbuatan. Janji manis sering ditabur, tetapi tindakan tidak pernah selari. Corak ini mencipta harapan palsu yang membuatkan mangsa terus menunggu perubahan,” katanya.

Beliau juga menyatakan, untuk membezakan perangai biasa dengan sikap berpotensi berbahaya, kita perlu melihat kepada corak. Semua manusia melakukan kesilapan sekali-sekala. Namun individu matang mampu mengakui kesalahan dan berusaha berubah.

Sebaliknya, sikap berbahaya berlaku secara berulang dan konsisten. Pasangan enggan bertanggungjawab, malah menyalahkan orang lain atas tingkah lakunya. Corak yang berulang adalah petunjuk paling jelas bahawa masalah itu bukan kebetulan.

APA PERLU DILAKUKAN?

Dr. Fauziah memberitahu, apabila menyedari red flag, langkah awal ialah berbincang secara jelas tentang batas dan harapan. Komunikasi yang tegas tetapi tenang boleh membantu menilai reaksi pasangan terhadap teguran.

Katanya, penting untuk mencatat atau sekurang-kurangnya menyedari corak tingkah laku yang berlaku. Catatan ini membantu melihat gambaran sebenar dan mengelakkan diri daripada terperangkap dalam penafian.

Ujar beliau, mendapatkan pandangan pihak ketiga yang dipercayai seperti keluarga atau rakan rapat juga amat membantu. Perspektif luar selalunya lebih objektif dan mampu melihat perkara yang kita abaikan.

“Jika hubungan melibatkan unsur penderaan emosi atau fizikal, bantuan profesional perlu segera dicari. Kaunselor atau pakar psikologi boleh membantu merancang langkah keselamatan dan pemulihan,” katanya.

TANDA LELAKI TIDAK HORMAT BATAS PERIBADI

Satu daripada tanda lelaki tidak menghormati batas peribadi ialah mendesak untuk mengetahui semua perkara tanpa memberi ruang privasi. Telefon diperiksa, akaun media sosial dipantau, dan setiap pergerakan mahu diketahui.

“Individu sebegini juga cenderung memaksa keputusan, sama ada berkaitan fizikal, kewangan, atau komitmen. Tekanan untuk bersetuju walaupun tidak rela menunjukkan kurangnya rasa hormat terhadap autonomi pasangan,” kata Dr. Fauziah.

Katanya, golongan lelaki toksik tidak menerima perkataan ‘tidak’. Dalam hubungan sihat, persetujuan adalah asas utama. Jika ‘tidak’ gagal dihormati, itu tanda bahaya yang serius.

Sejarah hubungan lampau juga boleh menjadi petunjuk. Jika seseorang menceritakan semua bekas pasangan sebagai punca masalah tanpa sedikit pun refleksi diri, itu menunjukkan kurang kebertanggungjawaban emosi.

Corak lama sering berulang jika tidak disedari dan diperbaiki. Tanpa kesedaran diri, seseorang akan mengulangi dinamika toksik yang sama dalam hubungan baru.

KESAN HUBUNGAN TOKSIK

Dr. Fauziah berkata, kesan hubungan toksik terhadap emosi sangat mendalam. Mangsa boleh kehilangan keyakinan diri kerana sering dipersalahkan dan direndahkan.

Katanya, kebimbangan berlebihan dan rasa takut menjadi teman harian. Setiap tindakan terasa seperti berjalan di atas kulit telur, takut mencetuskan kemarahan pasangan.

“Kebergantungan emosi juga boleh berlaku. Mangsa merasakan hanya pasangan itu sumber kasih sayang, walaupun dalam masa sama menjadi punca penderitaan.

“Dalam jangka panjang, simptom tekanan dan kemurungan mungkin muncul. Harga diri terjejas dan kesihatan mental merosot jika keadaan berlarutan.

“Bagi menjaga keselamatan diri tanpa menimbulkan konflik, tetapkan sempadan secara tegas tetapi tenang. Kurangkan pendedahan maklumat peribadi jika pasangan menunjukkan kecenderungan mengawal,” katanya.

Pastikan ada rangkaian sokongan seperti keluarga atau rakan yang mengetahui situasi sebenar.

Jika berlaku ancaman, simpan bukti komunikasi dan utamakan keselamatan fizikal serta emosi. Tiada hubungan yang berbaloi jika keselamatan dan maruah diri menjadi taruhan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN