Habis Ramadan, habis rasuah

Habis Ramadan, habis rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Pemakan rasuah beragama Islam pasti turut berpuasa. Harapannya, menjelang akhir Ramadan mereka akan beroleh satu kesedaran. Jika yang halal pun boleh dikawal tidak dimakan semasa puasa, apatah lagi yang haram selepas Ramadan.”

Rasuah ialah masalah berpanjangan manusia. Islam sangat tegas menentang rasuah yang biasanya terdedah peluangnya pada yang berjawatan. Lihat kisah teguran keras Nabi SAW ini:

Ertinya: Abu Humayd As Sa’idi RA menceritakan Rasulullah SAW pernah melantik seorang lelaki bernama Ibn al-Utbiyyah untuk mengutip zakat Bani Sulaym. Ketika mengumpulkan zakat itu, dia berkata kepada Rasulullah SAW: “Ini zakat untuk kamu dan ini pula hadiah (pemberian) orang kepadaku.” Rasulullah menempelaknya: “Mengapa engkau tidak duduk saja di rumah ibu bapamu menunggu orang menghantarkan hadiah padamu, jika kamu benar (diberi hadiah)?

Sesudah itu Rasulullah SAW berpidato. (Selepas memuji Allah, baginda bersabda): “Ada seorang petugas yang aku tugaskan memungut zakat, lalu dia berkata, “Ini zakat untuk kamu dan ini pemberian orang kepadaku. Mengapa dia tidak duduk saja di rumah ibu bapanya menunggu orang menghantarkan hadiah kepadanya?”

“Demi Allah! tiada seorang pun antara kalian yang mengambil secara tidak sah sesuatu harta, melainkan akan memikul dosanya pada hari kiamat kelak.” (Sahih Muslim, 1832).

Kadangkala pemakan rasuah beragama Islam bukan tidak tahu tentang dosa makan rasuah, namun dorongan yang membuak-buak kepada kesenangan duniawi menyebabkan benteng iman mereka hancur luluh sedangkan dunia hanyalah seperti bangkai kambing yang cacat telinganya. Jabir bin Abdullah RA pernah bercerita:

Ertinya: Jabir bin Abdullah RA menceritakan pada suatu hari Rasulullah SAW melalui sebuah pasar, sedang orang ramai mengekori baginda dari kiri dan kanannya. Baginda melewati bangkai seekor kambing kecil telinganya.

Baginda menghampiri dan memegang anak kambing itu pada telinganya lalu bersabda: “Siapakah di antara kamu yang mahu membeli ini dengan satu dirham?” Mereka menjawab: “Kami tidak mahu sedikit pun. (Jika diambil sekalipun) apa kami nak lakukan dengannya?”

Baginda bertanya lagi: “Sukakah kamu jika ia diberi percuma?” Mereka menjawab: “Jika ia hidup sekalipun kami tidak mahu, kerana anak kambing itu cacat. Kedua telinganya kecil. Tambahan pula ia sudah menjadi bangkai.”

Rasulullah SAW menyambung: “Demi Allah, sesungguhnya dunia ini lebih hina di sisi Allah SWT daripada anggapanmu terhadap bangkai ini.” (Sahih Muslim, 2957).

Oleh itu, demi untuk mengekalkan rasa benci dan jijik kepada dosa rasuah, umat Islam perlu selalu diingatkan tentangnya sehingga ia berakar umbi dalam jiwa sebagaimana jijiknya umat Islam kepada najis babi.

Analogi paling sesuai ialah latihan fizikal dan mental secara berterusan oleh anggota tentera.

Walaupun musuh belum menyerang, latihan berterusan tetap dijalankan kerana ia mampu menjadikan setiap anggota tentera kekal sihat, kuat dan sedia.

Datang sahaja musuh, mereka berjaya bangkit menangkis serangan dengan jaya dek kebiasaan berlatih.

Penulis sengaja memberi analogi tentera kerana sebelum Ramadan, negara digemparkan dengan tangkapan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap pegawai atasan tentera dengan pelbagai tuduhan rasuah serta penyalahgunaan kuasa.

Penulis berpandangan, antara cara praktikal melatih minda, mental dan iman orang Islam dalam menentang atau menolak rasuah ialah menerusi amalan berpuasa Ramadan.

Bagaimana agaknya puasa mampu menanamkan rasa jijik kepada rasuah?

Rahsia isu ini sebenarnya disebut Allah dalam ayat berkaitan puasa (al-Baqarah:183-188).

Mengapa sejurus selepas ayat berkaitan puasa, Allah menegaskan larangan makan harta orang secara batil dan tegahan menyogok para hakim (pemimpin) bagi mencapai sesuatu hasrat?

Perhatikan firman Allah: Ertinya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada para hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya). (al-Baqarah:188).

Sebelum ayat di atas (al-Baqarah 183-187), Allah membawa isu berkenaan rukun Islam ketiga atau puasa.

Ia menyentuh tentang kewajipan puasa, kelonggaran ketika puasa, al-Quran diturunkan dalam bulan Ramadan, kelebihan doa, waktu sahur, ibadah iktikaf dan kelonggaran untuk menyetubuhi pasangan pada malam Ramadan.

Bagaimana puasa mampu memandulkan rasuah? Lihat dua sudut ini:

Pertama: Puasa berperanan memupuk rasa sabar, syukur dan cakna seorang Islam kepada orang lain.

Rasa lapar dan letih ketika menjalani ibadah puasa menimbulkan rasa insaf betapa ramai lagi orang lain yang bukan hanya lapar sebulan kerana kemiskinan, tetapi boleh dikatakan sepanjang masa.

Rasuah pula sangat bercanggah dengan nilai kemanusiaan yang ada di sebalik falsafah puasa Ramadan.

Si pemakan rasuah biasanya terdedah kepada penindasan hak orang lain.

Muslim yang belajar daripada kesabaran, kelaparan dan kesusahan berpuasa pasti tidak sampai hati untuk menerima rasuah kerana dalam habuan itu ada penindasan terhadap orang lain.

Kedua: Sepanjang Ramadan kita dilatih untuk tidak makan harta halal yang kita miliki pada siang hari demi mematuhi arahan Allah.

Jika kita sanggup berbuat demikian pada siang Ramadan dengan harta sendiri, pastinya kita akan lebih cakna untuk tidak makan harta orang lain dalam pelbagai sudut negatifnya seperti menipu, menyogok serta makan rasuah. Ini hikmah yang nyata di sebalik isi kandungan ayat 188 di atas.

Mustahil sebenarnya untuk menghapuskan rasuah sama sekali kerana nafsu dan syaitan akan terus hidup bersarang dalam diri manusia selagi bumi berbumbungkan langit.

Ramadan seumpama kem latihan minda tahunan yang Allah sediakan untuk kita lebih berhati-hati menelan semua yang disuap masuk ke dalam tembolok kita.

Selepas ini jika anda yang ada kedudukan penting digoda untuk menerima rasuah, minta penangguhan sekejap dengan skrip ini:

“Beri saya masa untuk puasa sunat barang sehari dua sebelum mempertimbangkan tawaran manis beracun anda. Saya mahu tanya iman saya yang sudah menghayati falsafah puasa Ramadan yang lepas, adakah patut saya terima tawaran anda ini.”

Penulis percaya, orang Islam yang berpuasa dalam Ramadan akan segera berundur menolak tawaran berbisa rasuah.

Jika anda masih rakus menelan sahaja tawaran tersebut, itu tanda puasa anda dalam Ramadan hanya ritual atau rutin tahunan sesetengah manusia yang berasa dirinya Islam.

Ayuh kita berdoa agar habis sahaja Ramadan tahun ini, najis rasuah akan turut habis kesannya kepada jiwa Muslim.

-Penulis adalah Timbalan Pengarah Pembangunan Pelajar dan Libat Urus Komuniti Pusat Bahasa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN