Suatu ketika dahulu, perkahwinan dianggap sebagai fasa wajib dalam perjalanan hidup. Tamat belajar, dapat kerja tetap, kemudian berkahwin seolah-olah itu susunan yang tidak banyak berubah.
Namun hari ini, keutamaan itu semakin berganjak. Ramai anak muda memilih untuk menstabilkan pendidikan, kerjaya dan kewangan terlebih dahulu sebelum memikirkan soal mendirikan rumah tangga.
Pakar Antropologi dan Sosiologi dari Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohd Khairuddin Mohad Sallehhuddin berkata, peningkatan kos sara hidup khususnya di bandar besar menjadikan kestabilan kewangan sebagai pertimbangan utama sebelum seseorang membuat keputusan untuk berkahwin.

Beliau berkata, harga rumah yang tinggi, komitmen sewa bulanan, bayaran pinjaman pendidikan serta kos perbelanjaan harian memberi tekanan berterusan kepada golongan muda.
Ujarnya, dalam banyak keadaan, kenaikan pendapatan tidak seiring dengan peningkatan kos hidup.
“Dalam situasi ini, perkahwinan bukan sekadar komitmen emosi, tetapi juga tanggungjawab ekonomi jangka panjang yang melibatkan pasangan dan anak-anak,” jelasnya.
Katanya, struktur pasaran kerja masa kini juga semakin fleksibel dan tidak menentu. Pekerjaan kontrak serta ekonomi gig menyebabkan pendapatan tidak stabil.
Keadaan ini secara tidak langsung menimbulkan rasa tidak selamat untuk memikul komitmen besar seperti perkahwinan.
Budaya konsumerisme dan piawaian perkahwinan
Dalam masyarakat moden, majlis perkahwinan sering dikaitkan dengan pelamin mewah, jurugambar profesional, katering eksklusif dan hantaran bernilai tinggi.
Media sosial pula memperkukuhkan gambaran mengenai perkahwinan ialah acara berprestij dan simbol kejayaan sosial.
Dalam konteks ini, perkahwinan bukan lagi sekadar penyatuan dua individu, tetapi menjadi seakan-akan satu ‘projek sosial’ yang memerlukan modal ekonomi dan simbolik.
Tidak hairanlah ada anak muda yang berasakan diri mereka belum layak berkahwin kerana belum mampu memenuhi jangkaan tersebut.
Dr. Mohd Khairuddin berpandangan, budaya konsumerisme sudah mengubah makna perkahwinan daripada institusi sosial kepada satu bentuk persembahan sosial.
“Justeru, penangguhan perkahwinan sering kali bukanlah tanda menolak institusi itu, sebaliknya langkah rasional berdasarkan realiti semasa,” katanya.
Perubahan nilai generasi muda
Beliau berkata, jika dibandingkan dengan generasi terdahulu, anak muda hari ini jelas mempunyai keutamaan yang berbeza. Pendidikan tinggi, pembangunan kerjaya dan kebebasan individu sering diletakkan di hadapan.
Beliau berkata, perkahwinan pula dilihat sebagai komitmen besar yang mungkin mengehadkan mobiliti sosial dan fleksibiliti hidup. Tambahan pula, kesedaran terhadap isu perceraian dan konflik rumah tangga menjadikan ramai lebih berhati-hati sebelum membuat keputusan.
“Ketiadaan simpanan, aset atau kestabilan pekerjaan dianggap sebagai faktor yang boleh menggugat keharmonian rumah tangga. Maka, menangguhkan perkahwinan dilihat sebagai strategi yang lebih selamat dan terancang,” kata Dr. Mohd Khairuddin.
Implikasi sosial lebih luas
Fenomena ini bukan sekadar isu individu, malah mempunyai implikasi sosial yang lebih luas. Antaranya termasuk peningkatan usia perkahwinan pertama, penurunan kadar kelahiran dan perubahan struktur keluarga.
Dalam jangka panjang, perubahan ini boleh mempengaruhi demografi negara serta pola pembangunan sosial.
Dr. Mohd Khairuddin berkata, ketakutan terhadap komitmen perkahwinan bukan bermaksud nilai kekeluargaan semakin luntur. Sebaliknya, ia mencerminkan realiti ekonomi dan struktur sosial yang sudah berubah.
Katanya, generasi muda hari ini berdepan cabaran yang berbeza daripada generasi sebelumnya. Justeru, keputusan mereka perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas dan berstruktur.
Utamakan ibu bapa dahulu
Bagi sesetengah orang, apabila sudah mempunyai pekerjaan tetap, langkah seterusnya ialah berkahwin. Namun bagi Nur Haryati Mohd Roslan, 28, keutamaan hidupnya sedikit berbeza.

Menurut Haryati, selepas memperoleh pekerjaan, fokus utamanya adalah memastikan ibu bapanya yang semakin berusia berada dalam keadaan selesa dan terjaga.
“Tanggungjawab sekarang adalah ibu bapa dahulu kerana mereka sudah tua dan banyak berkorban untuk saya. Bila sudah bekerja, saya mahu gunakan rezeki itu untuk bantu mereka,” katanya.
Sebahagian besar pendapatannya digunakan untuk menampung keperluan harian dan kos perubatan ibu bapanya.
Dalam masa sama, dia juga perlu membayar ansuran kereta setiap bulan bagi memudahkan urusan ke tempat kerja.
Komitmen tersebut membuatkan dia perlu mengurus kewangan dengan teliti agar tidak terbeban. Walaupun mempunyai pekerjaan tetap, Haryati masih menganggap dirinya dalam kelompok B40 dan perlu lebih berhati-hati dalam membuat keputusan besar seperti perkahwinan.
Baginya, jodoh itu pasti ada. Namun buat masa ini, mengukuhkan kewangan dan menjaga ibu bapa adalah keutamaan sebelum memikirkan soal mendirikan rumah tangga.
Tidak terburu-buru soal kahwin
Berbeza pula dengan Stephanie Michael, 33, yang memilih untuk tidak terikat dengan jangkaan masyarakat yang usia 30-an adalah waktu sesuai untuk berumah tangga.

Sebagai seorang doktor, kerjaya menjadi fokus utamanya. Jadual kerja yang panjang, panggilan kecemasan dan tanggungjawab terhadap pesakit menuntut komitmen sepenuhnya.
“Menjadi doktor bukan sekadar pekerjaan, tetapi satu amanah besar. Saya tidak mahu membuat keputusan besar seperti perkahwinan hanya kerana tekanan usia,” ujarnya.
Stephanie menghormati mereka yang memilih untuk berkahwin lebih awal. Namun baginya, kebahagiaan tidak semestinya bergantung pada status perkahwinan.
Sebagai wanita berbangsa Cina, dia turut menjelaskan adat dan budaya perkahwinan dalam masyarakatnya lazimnya melibatkan kos yang tinggi iaitu daripada majlis besar, pertunangan, hantaran sehinggalah pelbagai persiapan lain.
“Dalam budaya saya, kos perkahwinan bukan kecil. Lebih baik kumpul duit secukupnya supaya tidak perlu berhutang dan menyusahkan sesiapa,” katanya.
Selain itu, Stephanie merancang menggunakan simpanannya untuk menyambung pengajian ke peringkat kepakaran.
Katanya, kos yuran, bahan rujukan dan tempoh latihan yang panjang memerlukan persediaan kewangan kukuh.
Baginya, pelaburan dalam pendidikan adalah langkah jangka panjang untuk meningkatkan profesionalisme dan kualiti rawatan kepada pesakit. Impian menjadi doktor pakar ingin direalisasikan terlebih dahulu sebelum memikul komitmen besar seperti perkahwinan.
Akhirnya, pilihan untuk berkahwin atau menangguhkan perkahwinan adalah keputusan peribadi.
Namun yang pasti, bagi generasi muda hari ini, soal perkahwinan bukan lagi sekadar tentang cinta sebaliknya ia turut berkait rapat dengan realiti kewangan, kerjaya dan tanggungjawab hidup yang semakin kompleks.










