LELAKI tidak boleh menangis. Lelaki juga tidak boleh menunjukkan kelemahan. Sejak kecil, mereka diasuh untuk kekal ‘kuat’ agar cekal menghadapi apa jua bentuk masalah yang melanda.
Namun, tanpa disedari, norma dan tekanan sosial ini membentuk segelintir lelaki menjadi individu yang cenderung memendam perasaan, sukar meluahkan emosi serta mengelak daripada berdepan dengan konflik.
Golongan ini dikenali sebagai ‘avoidant’ iaitu individu yang memilih untuk menjauhkan diri secara emosi sebagai mekanisme pertahanan diri.
Avoidant atau gaya keterikatan mengelak merupakan salah satu daripada gaya keterikatan yang diperkenalkan oleh ahli psikologi British, John Bowlby.
Ia merujuk kepada satu bentuk tingkah laku seseorang yang gemar memendam perasaan sehingga cenderung menyendiri dan melarikan diri ketika berhadapan masalah.
Jika dibiarkan, sikap avoidant boleh menyebabkan lelaki berasa rendah diri sehingga sukar menerima kritikan dan memilih untuk menjauhkan diri daripada situasi sosial.
Bina ‘dinding emosi’ akibat trauma
Menurut Pakar Psikologi Sosial, Dr. Adnan Omar, antara punca utama lelaki mempunyai gaya keterikatan mengelak ialah hubungan kekeluargaan yang kurang erat serta trauma masa lampau.
Katanya, individu yang bersikap avoidant lazimnya pernah melalui situasi di mana mereka terlalu kerap dikritik, dipersenda atau direndahkan ketika menyuarakan pandangan.
Jelasnya, personaliti tersebut juga boleh terbentuk apabila ibu bapa kurang memberikan sokongan emosi seperti pujian dan galakan sewajarnya ketika anak-anak masih kecil.
Lama-kelamaan, lelaki akan membina ‘dinding emosi’ sebagai benteng bagi mengelakkan diri daripada terus terluka.
“Tidak dinafikan, ada kanak-kanak yang bersifat pendiam dan pemalu. Namun, sifat sebegini tidak sepatutnya dianggap negatif.
“Sebaliknya, apabila sifat tersebut dikritik, direndahkan atau dibuli, kanak-kanak ini akan membesar dengan perasaan tidak dihargai dan seterusnya membentuk personaliti avoidant,” katanya.
Lelaki kurang kongsi masalah
Pempengaruh, Zulaikha Zahran berkata, tanggapan lelaki lebih cenderung bersifat avoidant ada asasnya, namun ia bukan disebabkan faktor semula jadi sebaliknya berkait rapat dengan cara seseorang itu dibesarkan.
Beliau yang sering berkongsi mengenai ‘avoidant attachment’ di aplikasi TikTok berkata, ramai lelaki dididik untuk tidak menunjukkan emosi secara terbuka kerana tidak mahu dipandang lemah.
Katanya, keadaan itu menyebabkan lelaki kurang selesa untuk berkongsi masalah atau meluahkan perasaan sehingga menjejaskan keupayaan mereka mengurus emosi apabila dewasa.
“Sikap segelintir lelaki yang sukar berkongsi masalah menyebabkan mereka kurang mahir mengekspresikan perasaan apabila dewasa. Berbeza dengan wanita, mereka kebiasaannya diberi lebih ruang untuk berkongsi emosi.
“Namun, sifat avoidant tidak terhad kepada jantina. Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, bergantung kepada pengalaman dan pembelajaran emosi masing-masing,” katanya.
Latih diri bersikap lebih terbuka
Menurut Adnan, lelaki yang bersifat avoidant berkemungkinan berdepan cabaran besar dalam hubungan, sama ada percintaan, persahabatan mahupun kekeluargaan.
Katanya, perubahan hanya boleh berlaku jika lelaki itu sendiri berusaha untuk menjadi lebih terbuka dalam berkongsi dan menerima pandangan orang lain.
“Yakinlah yang pandangan sendiri mempunyai nilai dan manfaat. Namun, pada masa yang sama, fahami yang setiap pandangan mempunyai pelbagai dimensi dan sudut yang berbeza.
“Apabila seseorang tidak menerima pandangan kita, ia bukan bermaksud individu tersebut tidak menyukai kita atau bersikap negatif terhadap kita,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, cabaran lebih besar mungkin dihadapi dalam hubungan pasangan sekiranya seorang daripada mereka mempunyai personaliti avoidant.
“Jangan terlalu cepat mengkritik atau merendahkan pandangan pasangan. Sebaliknya, libatkan mereka dalam proses membuat keputusan dalam hubungan.
“Ada masanya, diam juga merupakan satu bentuk komunikasi yang baik. Tidak semua luahan memerlukan penilaian.
“Kadangkala, pasangan hanya ingin didengari tanpa dihakimi. Oleh itu, dengarlah dengan penuh empati,” katanya.











