Gabungan tradisi, moden warnai bufet Ramadan Randau Rasa

Gabungan tradisi, moden warnai bufet Ramadan Randau Rasa

HIDANGAN aneka kuih-muih dalam buffet Ramadan Randau Rasa. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kebanyakan hotel dan restoran di negara ini memilih untuk menampilkan hidangan tradisi tempatan sebagai juadah berbuka puasa sepanjang Ramadan.

Berbeza dengan kebiasaan, bufet Ramadan di Randau Rasa kali ini tampil dengan gabungan menu berunsur nostalgia dan sentuhan moden, namun masih mengekalkan cita rasa tempatan sebagai tarikan utama.

Chef De’ Partie (CDP), Nur Sabrina Ramli berkata, antara menu signature atau paling unik yang diketengahkan ialah ikan patin Temerloh masak tempoyak pusaka Pahang.

Menurutnya, hidangan tersebut dipilih kerana menampilkan rasa tradisional Pantai Timur yang autentik serta jarang ditawarkan dalam bufet Ramadan berskala besar.

Selain itu, bufet Ramadan itu turut menampilkan kambing golek nusantara dan hidangan celup-celup tepung yang menjadi antara menu paling digemari pelanggan.

“Keistimewaan kambing golek ini ialah ia dimasak secara langsung di kaunter bufet, sekali gus membolehkan pelanggan menikmati hidangan panas dan segar,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tidak terhad kepada hidangan utama, pelbagai sajian sampingan turut disediakan termasuk buah-buahan tempatan, aiskrim roti serta aneka kudapan klasik yang membangkitkan nostalgia zaman kanak-kanak.

Katanya, menu seperti ayam korea dan ayam buttermilk turut diperkenalkan sebagai variasi moden bagi memenuhi selera generasi muda.

Antara lima menu pilihan yang sering mendapat sambutan ialah mee kari, pasta bolognese dan carbonara, aiskrim Malaysia, ikan, udang serta sotong bakar Portugis serta ayam madu bakar.

Menurut Chef Nur Sabrina, kepelbagaian menu itu memberi peluang kepada pelanggan menikmati gabungan hidangan tempatan dan barat dalam satu pengalaman berbuka puasa.

“Sebahagian menu ini merupakan ‘comfort food’ yang dekat di hati pelanggan, manakala sebahagiannya pula memberikan sentuhan premium untuk kelainan rasa,” katanya.

Katanya, konsep bufet Ramadan ini dirancang agar sesuai untuk semua peringkat usia, daripada kanak-kanak hingga golongan dewasa.

“Kanak-kanak biasanya lebih tertarik dengan pasta, ayam madu bakar dan aiskrim, manakala golongan dewasa pula menggemari hidangan tradisional seperti patin tempoyak dan kambing golek,” katanya.

Dengan konsep gabungan tradisional dan moden serta kepelbagaian menu yang disediakan, bufet Ramadan ini memberi pengalaman berbuka puasa yang lebih istimewa dan memuaskan kepada pelanggan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN